Adi Putra Tidak Wajar Dapat Keistimewaan
January 24, 2008
Surat 1 SAYA berasa tertarik dan amat menyokong tulisan NFM dari Terengganu dalam Forum Utusan Malaysia siaran 23 Januari mengenai isu Adi Putra.
Masyarakat mengetahui akan kepintaran Adi Putra dalam Matematik. Pada mulanya saya berasa bangga apabila seorang kanak-kanak di negara ini mampu mencipta formula Matematik baru yang sehebat dengan ahli pemikir matematik masa lampau. Namun, sejak akhir-akhir ini, saya berasa kurang senang dengan sikap ibu bapa dan Adi Putra sendiri.
Manakan tidak, mereka terlalu berbangga dengan kebolehan luar biasa anak mereka. Pada masa yang sama Adi Putra sering kali merungut untuk belajar di sekolah rendah biasa atas alasan sudah mengetahui sukatan pelajaran Matematik di sekolah yang bersesuaian dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya.
(Sedangkan seperti kata NFM, kepintarannya hanya dalam Matematik dan tidak subjek lain. Maka tidak wajar untuk mendapat keistimewaan sehingga belajar ke universiti).
Selain itu, ibu bapa Adi Putra mendesak Kementerian Pelajaran dan universiti sehinggakan meminta kedua-dua pihak berkenaan menyediakan ‘hitam dan putih’ bagi memastikan Adi Putra memperoleh keistimewaan yang sewajarnya. Bukankah ini menyusahkan pihak-pihak yang berkaitan?
Apakah disebabkan kepintaran Adi Putra dalam Matematik dia boleh memperoleh segala-galanya dengan mudah tanpa ada usaha yang gigih?
Ingatlah, ramai lagi insan termasuk kaum lain yang cemerlang dalam pelbagai aspek. Namun, mereka tidak pernah mempersoalkan apa yang dibuat oleh kerajaan apatah lagi membangga diri.
Saya merupakan seorang pelajar yang akan menduduki peperiksaan STPM pada hujung tahun ini dan apabila tamat persekolahan nanti belum tentu saya akan berjaya ke universiti disebabkan faktor-faktor tertentu. Selain itu, ramai lagi pelajar lepasan SPM dan STPM yang ingin ke universiti.
Sebagai seorang yang beragama Islam, Adi Putra dan ibu bapanya harus bersikap merendah diri serta sentiasa bersyukur atas kurniaan Allah s.w.t. Mungkin kebijaksanaan itu ujian Allah s.w.t terhadap hambaNya. Bersikap merendah diri dan sentiasa bersyukur merupakan sesuatu yang dituntut oleh agama.
Oleh yang demikian, tiada kerugian yang bakal dialami oleh Adi Putra sungguhpun dia belajar di sekolah biasa sahaja. Saya percaya sekiranya dia berbuat sedemikian, dia boleh menjadi pelajar contoh dan inspirasi kepada pelajar lain. Timbalah ilmu seperti insan biasa lain agar Adi Putra dapat merasa perit jerih yang dilalui dalam mencapai cita-cita dan kejayaan ibarat “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.”
- MOHD. HAFIZZY ABDULLAH,
Kuala Lumpur.
Surat 2 SAYA setuju dengan pendapat NFM dari Terengganu dalam ruangan Forum 23 Januari berhubung kemelut pelajar pintar bernama Adi Putra. Keluarga Adi Putra sebenarnya bertanggungjawab untuk memastikan Adi Putra menerima pendidikan di mana-mana sekolah kerajaan, sama seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya.
Kelebihan yang dimiliki oleh Adi Putra dalam menguasai bidang Matematik adalah satu anugerah dari Allah s.w.t. Tidak perlu keluarganya meminta kelebihan dan keistimewaan yang lain pula dari mana-mana pihak.
Mungkin ada ramai lagi kanak-kanak yang seusia dengannya di luar sana yang memiliki kelebihan seperti itu atau kelebihan yang lain tetapi tidak mendapat tempat di media – tetap meneruskan persekolahan dan menerima pendidikan seperti kanak- kanak yang lain.
Apa pun kelebihan yang Adi Putra miliki, beliau tetap kanak-kanak seperti biasa yang jika terlalu dimanjakan dan dituruti sahaja apa kemahuannya, akan mendatangkan mudarat kepada dirinya sendiri.
Jika keluarga adik Adi Putra berkemampuan dari segi ekonomi, saya cadangkan mereka menghantar sahaja Adi Putra ke luar negara untuk menerima pendidikan yang mereka fikirkan lebih baik dan bersesuaian dengan anaknya.
- FM STEREO,
Kuantan.
Utusan Malaysia
2 Responses to “Adi Putra Tidak Wajar Dapat Keistimewaan”
Adi putra ni macam banyak sangat benda dia tak puas hati. Kalau da boleh buat formula sendiri, memang takda tujuan la nak pergi belajar lagi.
Saya ingin melihat kerja2 Adi diterbitkan di jurnal-jurnal bertaraf dunia, itupun jikalau kerja-kerjanya sehebat seperti yang diwar-warkan. Tidak guna jika hanya disebut-sebut. Membazir ruang surat khabar.
By NEA on Nov 7, 2008
keistimewaan? … korang yakin ke dia yg nak atau makbapak dia?
adi – nothing special, just a boy that know math better than other his frenz…
telur 1 biji riuh 1 kg.. wkakaka..
By Nazi370 on Nov 9, 2008