Wardina Hamil Lagi

June 19, 2008




Oleh AQMAR ALLADAD


WARDINA bakal dikurniakan anak ketiga.

TERKEJUT juga melihat kelibat Wardina Saffiyah Fadlullah pada majlis memperkenalkan pelakon-pelakon drama pendek bersiri popular, Impian.

Ini kerana sekilas pandang, Wardina kelihatan sedikit berisi seperti sedang hamil.

Namun, setelah diperhatikan dengan teliti, memang benar pelakon jelita ini sedang hamil.

Rupa-rupanya Wardina sudah lima bulan hamil dan bakal menimang anaknya yang ketiga. Itulah dikatakan rezeki baginya yang tidak langsung merancang untuk mendapat cahaya mata.

“Memang saya tak rancang tetapi seronok juga dan ini dikatakan rezeki jadi terima saja lah,” ungkapnya dengan penuh senyuman manis.

Wardina, 29, yang sudah memiliki dua orang anak iaitu Amna Nafeesa, 5, Azra Sareera, 2, hasil perkongsiannya bersama suami, Ikhwan Johari, 33, menegaskan bakal berhenti berehat seketika daripada kerjayanya itu apabila usia kandungannya mencecah tujuh bulan.

Petah menuturkan bicara Wardina memberitahu, pada awal kandungan dirinya begitu penat sekali kerana sibuk dengan tugas harian seperti bidang pengacaraan untuk program Malaysia Hari Ini (MHI) dan juga penggambaran Impian yang sebenarnya merupakan Impian Illyana musim ketiga yang diberi nafas baru.

Beritahu Wardina, dia terpaksa mengambil pemandu khas untuk membawanya ke lokasi penggambaran MHI kerana dia tidak berdaya dan sering kemurungan setelah penat seharian mencari rezeki.

Namun, Wardina bersyukur kerana mempunyai suami yang cukup memahami keadaan dirinya ketika itu.

“Awal kandungan dulu memang tak larat. Bayangkan pagi di MHI lepas itu ke lokasi penggambaran. Balik pun dah lewat pagi kemudian esoknya kena buat MHI lagi,” ujarnya.

Menyentuh mengenai Impian, hanya Wardina pelakon asal Impian Illyana yang kekal.


WARDINA (kiri) bersama pelakon baru siri drama Impian, Diana Amir.

Walaupun berdampingan dengan barisan pelakon baru seperti Diana Amir, Al-Hafiz, Tiz Zaqyah dan Kamal, Wardina tetap gembira membintanginya.

“Watak yang diberikan memang sesuai dengan diri saya. Lagipun dalam siri ini saya seorang wanita hamil jadi memang sekarang ini pun saya hamil. Maka tak susah untuk bawakan watak sebegitu,” jelasnya lagi.

Tambahnya, “Saya berbangga kerana walaupun mereka muda dan masih baru, tetapi mereka mudah memberikan kerjasama dan tahu apa yang perlu dilakukan.”

Merupakan sebuah drama interaktif, Impian memberi peluang kepada penonton untuk meneka kesudahan jalan cerita yang dipaparkan setiap hari.

“Bagi saya, drama ini bukan sekadar hiburan, tetapi banyak mesej yang cuba ditonjolkan, selain daripada persoalan kekeluargaan.

“Setidak-tidaknya, ia memberi manfaat dan mengajak penonton berfikir daripada ketawa kosong,” ujarnya lagi.

Tawaran terhad kerana bertudung

Memandangkan Wardina kini lebih menonjol dalam bidang pengacaraan adakah dia tidak lagi ingin serius dalam lakonan?

Ini kerana Wardina lebih menyerlah dan selesa dalam bidang pengacaraan seperti rancangan Carta Nasyid siaran TV9 dan Ibu Mithali di Astro.

“Buat masa kini rezeki dan tawaran dalam bidang lakonan untuk saya memang tiada, ia lebih banyak kepada hos rancangan sahaja,” jawabnya dengan tenang.

Wardina menjelaskan mungkin disebabkan imejnya yang bertudung sepanjang masa, maka watak lakonan juga haruslah bersesuaian dan terhad.

“Bukan mudah untuk cari watak yang langsung tidak membuka tudung. Ia perlu mempunyai kreativiti supaya jalan cerita yang ada itu sesuai dengan saya,” katanya yang mula memakai tudung sejak 2002 lagi.

Kosmo

Post a Comment




© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid