120 Pesakit Terima Sumbangan IJN
September 23, 2008
Oleh LIAU PEI WEN
KUALA LUMPUR 22 Sept. – Sebanyak 120 pesakit di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini menerima sumbangan barangan termasuk duit raya daripada Yayasan IJN sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengerusi Yayasan IJN, Toh Puan Dr. Aishah Ong berkata, separuh daripada penerima tersebut ialah kanak-kanak yang menghadapi masalah seperti jantung berlubang dan injap sempit sejak dilahirkan.
”Kanak-kanak ini menerima baju raya, alat permainan dan kuih-muih sementara pesakit dewasa pula akan diberikan sumbangan berbentuk kain pelikat dan kain batik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan itu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Dana Yayasan IJN, Datin Julie Haniff Mohd. Ali, Pengurus Yayasan IJN, Alawiyah Yussof dan Duta Yayasan IJN yang juga artis terkenal, Sheila Majid.
Aishah berkata, sumbangan dan duit raya yang bernilai RM15,000 tersebut disumbangkan oleh ahli-ahli yayasan serta syarikat korporat yang prihatin kepada kehidupan mereka yang kurang bernasib baik.
Beliau berkata, sumbangan tersebut akan membawa keceriaan kepada pesakit IJN yang telah menerima rawatan lebih daripada satu bulan malah mungkin terpaksa menyambut hari raya di di pusat tersebut.
”Kami juga membekalkan makanan berbuka puasa dan sahur kepada ahli keluarga dan rakan-rakan pesakit yang menjaga pesakit di sini,” kata beliau.
Menurutnya, usaha Yayasan IJN untuk meringankan beban pesakitnya akan diteruskan menjelang perayaan Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina.
Sementara itu, Sheila berkata, dia sangat gembira kerana dipilih menjadi Duta Yayasan IJN dan berpeluang menunaikan tanggungjawab sosialnya untuk membantu pesakit yang memerlukan.
”Saya terharu melihat kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit di sini dan berharap sumbangan yang dihulurkan dapat menceriakan suasana hari raya mereka,” katanya.
Utusan Malaysia