Heliza Sedia Dikritik – Mahu Versatil Dalam Bidang Seni
September 23, 2008
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana@kosmo.com.my

DIRINYA yang lemah-lembut, penuh sifat kewanitaan, sopan santun dan bertudung, sementelah wajahnya masih ’segar’ kerana belum pernah muncul di layar lebar melayakkan dirinya menjadi heroin filem terbaru penerbit popular, David Teo.
Biarpun dia bukanlah pelakon wanita bertudung pertama berlakon dalam produksi David, namun kemunculan Heliza menerusi filem, Syurga Cinta mencipta sejarah tersendiri apabila dia menjadi heroin filem David yang berunsurkan Islam.
Sememangnya David pernah menerbitkan filem berunsur Islam, Syukur 21, namun merupakan produksi sulung Metrowealth Movies Sdn. Bhd., itu tidak menampilkan watak heroin.

PERTAMA kali muncul di layar perak, Heliza digandingkan dengan Awal Ashaari.
Merealisasikan imej gadis yang bercirikan muslimah sejati untuk filem terbaru arahan Ahmad Idham, bekas finalis program Akademi Fantasia (AF) musim kelima ini
Syurga Cinta bakal menyaksikan Heliza menjebakkan diri dengan lakonan sedangkan pencapaiannya dalam bidang nyanyian nasibnya belum nampak arah tujunya.
Bagi Heliza, terjun ke kancah perfileman bukanlah sesuatu yang direncanakan sejak kembali meneruskan pengajiannya di kampus.
Walaupun nyanyian masih menjadi fokus tetapi sebagai anak seni yang masih tercari-cari arah untuk menempa nama, peluang yang datang tidak sanggup dilepaskan begitu sahaja.
“Rasanya tak salah saya mencuba, lagipun bukan senang untuk mendapat peluang begini. Skripnya bagus, ke arah keagamaan dan membawa nilai-nilai yang baik.

MELAKONKAN watak yang tidak lari jauh daripada sikap dirinya yang sebenar, Heliza merasakan tiada salah dia mengasah bakatnya dalam dunia lakonan.
Mengenai nyanyian, saya bakal tampil dengan single terbaru karya Aidit Alfian tidak lama lagi.
“Buat masa ini, banyak perancangan terpaksa ditangguhkan kerana saya kuliah saya di Sabah,” jelas Heliza yang menghabiskan jadual penggambarannya sebelum pengajian semester barunya Universiti Malaysia Sabah bermula, Julai lalu.
Gadis berkulit cerah ini juga optimis. Tahu lakonan bukan fokusnya, tetapi dia tidak menolak untuk menjadi versatil.
“Bukan dalam bidang seni sahaja, dalam bidang-bidang lain begitu juga. Saya sedar menjadi versatil itu sesuatu yang bukan mudah, ia sangat mencabar. Saya pula sekadar ingin mempelbagaikan bidang, hidup kita sekali sahaja,” jelasnya mudah.
Nama pun pendatang baru pasti banyak cabaran yang perlu didepani. Bagi Heliza, persefahaman yang jelas bersama penerbit, pengarah dan pelakon mengenali ‘tahap’ lakonan dan batasan dirinya, sebagai gadis yang sememangnya bertudung perlulah dititik-beratkan.
Beruntungnya Heliza, watak Syuhadah tidak memaksanya menjadi orang sangat jauh berbeza dengan peribadinya. Cuma, tingkahnya yang agak agresif dan kasar perlu dilembutkan bagi menyesuaikan dengan muslimah sejati itu.
“Itu yang saya tengah belajar tetapi sebenarnya, berlakon ni lebih susah daripada apa yang saya gambarkan. Bila baca skrip senang tapi nak dapatkan intonasi yang tepat, susah sebenarnya. Nasib baik, pengarah dan pelakon lain, Awal contohnya, banyak memberikan tunjuk ajar,” beritahu Heliza yang sedia dikritik jika lakonannya tidak mendatangkan impak.

FILEM Syurga Cinta mempertaruhkan isu keagamaan generasi baru masa kini.
Filem ke-29 David Teo ini sebenarnya awal-awal lagi menempah kontroversi.
Syurga Cinta kononnya dikatakan meniru konsep filem Mualaf, karya Yasmin Ahmad, plotnya turut bercerita tentang orang Cina yang memeluk Islam.
Namun, walaupun pihak penerbit dan pengarah filem ini, Ahmad Idham bertegas menjelaskan kebenaran, tersiratnya, permainan kontroversi itu ada baiknya. Setidak-tidaknya, Syurga Cinta mudah bermain di bibir ramai. Kedatangan media secara beramai-ramai pada majlis pelancaran Syurga Cinta yang diadakan di restoran milik David di Mines Resort City, baru-baru ini, cukup membuktikan dakwaan itu.
“Terima kasih kerana tidak jemu memberikan sokongan kepada filem saya, seperti saya pernah saya jelaskan sebelum ini, saya bukan tiru mana-mana filem tetapi pernah memberi contoh sedemikian agar orang mudah faham,” pinta David.

Termasuk Syurga Cinta, ini filem kedua David yang menggunakan agama Islam sebagai pengisian. Walaupun filem pertamanya itu, Syukur 21 tidak mencapai tahap kutipan yang memberangsangkan, penerbit ini tidak serik untuk mengulangi konsep cerita yang hampir serupa.
Bezanya, Syurga Cinta lebih urban dan dekat di hati generasi muda. Diselitkan dengan kisah cinta seorang gadis yang menitik-beratkan nilai-nilai seorang muslimah sejati dalam kehidupan seharian serta, Syurga Cinta juga tidak terpinggir daripada kancah kehidupan muda-mudi hari ini yang bangga mengaku moden dan mengikut peredaran zaman.
“Terus-terang saya katakan, filem ini bukan filem dakwah yang berat. Kami bukan mahu mengajar penonton sebaliknya menampilkan realiti kehidupan masa kini. Adakah cara hidup seorang anak Melayu itu mengamalkan cara hidup Islam yang sebenarnya atau Islamnya seseorang itu kerana Melayunya,” tegas Ahmad Idham, selaku pengarah filem ini.
Tambahnya juga, Syurga Cinta cenderung bersifat sahsiah diri. Soal agama terlalu universal dan ada sensitif untuk dikupas. Lantas sebagai pengarah, Idham berjanji dua elemen itu akan diadunkan seindah mungkin.
Kosmo