Medan Pertemuan Pelakon Veteran
September 23, 2008
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
Rap
LUMRAH hidup bergelar anak seni, masa muda dipuja, namun menjelang usia senja bukan saja peminat hilang entah ke mana malah paling menyedihkan ada dipinggirkan keluarga sendiri.
Bukan membuka pekung di dada, tetapi itu hakikat yang berlaku kepada segelintir artis veteran yang dahulunya mencipta nama di Studio Jalan Ampas, Singapura. Saat produksi Cathay Keris dan Shaw Brothers menutup pintu bisnes mereka, ketika itulah juga sebilangan artis kita hilang hala tuju kerana hanya bergantung harap kepada bidang lakonan.
Nama Z Roslee mungkin tidak sepopular Allahyarham Tan Sri P Ramlee, malah ramai generasi muda tak mengenalinya. Z Roslee atau nama sebenarnya Zainal Abdul Wahab ialah pelakon ternama era 60-an.
Kali pertama berlakon, Z Roslee mendapat kepercayaan menjadi hero bergandingan dengan Latifah Omar dalam filem Chelorong Cheloreng dan sempat beraksi dalam 11 filem antaranya Tajul Ashikin dan Pontianak.
“Kalau ikutkan hati saya memang rindu hendak berlakon lagi. Tetapi apakan daya kudrat saya sudah tiada dan menghidap pelbagai penyakit. Kalau dulu, pelakon dipuja ramai tetapi apabila usia tua hanya kenangan yang tinggal mengubat kerinduan.
“Paling membuatkan saya terkilan, apabila sakit begini anak dan menantu hilang entah ke mana. Bukannya hendak ambil tahu, jenguk pun tidak. Kalau hendak dikira saya pun ada juga cucu dan cicit, tetapi semuanya buat tidak endah.
“Sebenarnya saya sukar hendak bergerak apatah lagi datang ke Kuala Lumpur. Tetapi mengenangkan rakan artis dan kesempatan yang ada, saya datang juga ke sini biarpun terpaksa menyewa teksi dari Kampung Majidee, Johor Bahru ke Kuala Lumpur dengan bayaran RM500,” katanya.
Z Roslee ialah sebahagian daripada artis veteran dan kurang upaya yang diraikan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2008 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Tan Sri Jins Shamsudin; Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof; Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Ahmad Puad Onah dan beberapa presiden persatuan seni.
Berkongsi pendapat sama, Ahmad C berkata, dia juga rindu untuk berlakon kerana itulah yang menjadi ‘jiwanya’ sebelum ini. Kalau ada tawaran dia tidak menolak untuk kembali aktif, tetapi terbantut kerana dia sekarang menetap di Johor Bahru.
“Saya tinggal jauh di ceruk kampung Tanjung Buai, Kota Tinggi dan tidak mempunyai telefon. Kalau ada apa-apa berita, anak saudara saya akan menyampaikannya kepada saya.
“Kalau diikutkan, saya letih untuk berjalan jauh. Tetapi demi Seniman, saya datang juga ke majlis ini walaupun terpaksa menaiki bas dari Johor ke Kuala Lumpur,” katanya yang kali terakhir berlakon dalam filem Anak Raja Buloh Betong pada 1969.
Bagi balu pengarah tersohor Salleh Ghani, Raja Hamidah pula berkata, dia bersyukur dengan pemberian itu dan berterima kasih kepada Seniman kerana masih lagi mengingatinya dan arwah suami.
“Ini kali kedua saya menerima sumbangan daripada Seniman dan mereka sering menjemput saya menghadiri aktiviti yang diadakan. Saya juga gembira kerana dalam majlis sebegini dapat peluang beramah-mesra dengan rakan artis yang sudah lama tidak bertemu mata.
“Mengenai persiapan raya pula, saya serahkan kepada anak-anak untuk menguruskannya. Walaupun ada yang berumah tangga, tetapi mereka tidak lupa tradisi beraya di rumah saya dulu sebelum menziarahi orang lain,” katanya.
Artis yang menerima sumbangan kali ini ialah Karim Latiff, P Param, Z Roslee, Rahimah Alias, Mariani Ismail, Ahmad C, Ramli Mohamed (Limra), Zaiton Sameon, Jaafar Wira, Ariff Shah, Latifah Omar, Sazali P Ramlee, Yusof Chong, Azean Irdawaty, Kesuma Booty, Sudiro Sukiman, Kuswadinata dan Sharifah Aminah Abdullah.
Tidak ketinggalan balu artis veteran juga turut menerima sumbangan ini iaitu Kalsom Idris balu kepada Ismail Din, Raja Hamidah Raja Saat (Salleh Ghani), Wan Rahimah Wan Embong (M Amin), Mahyun Ismail (Hussain Abu Hassan), Noraishah Mohd Rashid (Yazid Sobrani), Rohani Abdullah (Zainuddin Zimbo) dan Norasmah Jamaludin (Nazri Omar).
Sementara itu Mustapha berkata, majlis yang diadakan secara tahunan ini bukan sekadar untuk menyampaikan sumbangan kepada artis veteran dan mereka yang memerlukan, tetapi juga sebagai platform untuk beramah-mesra dan berkongsi pendapat dalam suasana santai dan selesa.
“Jika tahun lalu, ia berjaya mengundang lebih 300 orang sehingga terpaksa menambah meja di saat akhir, kali ini kita sediakan meja yang lebih banyak dan Alhamdulillah lebih 350 orang menjayakan majlis ini.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu Seniman menjayakan majlis ini terutama penaja korporat dan rakan artis sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun barangan.
“Selain itu, kita juga terharu dengan kehadiran ramai artis veteran walaupun uzur, sanggup datang berkerusi roda memeriahkan majlis ini. Malah ada yang terpaksa menyewa teksi dan menaiki bas dari Johor semata-mata menjayakan majlis yang diadakan,” katanya.
Mustapha menyifatkan majlis ini berjalan lancar dan puas hati dengan komitmen yang ditunjukkan semua ahli jawatankuasa Seniman termasuk timbalannya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berkerja keras sebelum Ramadan lagi.
Walaupun melepaskan kedudukan sebagai Presiden Gafim baru-baru ini, Mustapha masih memegang jawatan Presiden Seniman sehingga tempohnya berakhir tahun depan.
Mengenai masa depannya sebagai presiden, Mustapha menyerahkan kepada ahli menentukan. Jika masih dipilih dia bersedia menerajui Seniman untuk penggal akan datang.
Harian Metro