Rindu Suasana Di Lokasi

September 23, 2008




Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


SENATOR Tan Sri Jins Shamsudin bertanyakan khabar Rahimah Alias.

Artis veteran luah perasaan pada majlis buka puasa anjuran Seniman

MENYEBUT sebahagian nama ini barangkali membuatkan dahi berkerut cuba mengingati siapa mereka. Tetapi industri hiburan tidak akan pernah sesekali melupakan jasa insan yang banyak memberi sumbangan untuk memperkasakan kedudukan dunia seni tempatan.

Roda kehidupan pernah meletakkan mereka di puncak kemasyhuran tetapi masa bersilih ganti, roda itu juga kini membawa mereka ke sebuah daerah perjalanan yang berbeza – jauh dari kesibukan ketika aktif sebagai anak seni dulu.

Namun jika sudah bergelar insan seni, dilontar ke mana sekali pun kecintaan itu tidak akan pernah mati sebaliknya terus menyubur sekali pun kudrat semakin membatasi langkah.

Bertemu seniman veteran, Ahmad C pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2008 anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini, meluahkan keinginannya untuk kembali berlakon jika ada penerbit yang sudi menghulurkan tawaran.

Kali terakhir membintangi Anak Raja Buloh Betong pada 1969, Ahmad berkata, keinginan untuk kembali ke lokasi masih membara cuma jarak dan lokasi membatasi kemahuannya itu.


BERBEZA generasi, namun Ahmad C, Kuswadinata, Imuda dan Z Roslee bersatu di bawah payung Seniman.

Kini menetap di Tanjung Buai, Kota Tinggi, Johor, Ahmad berkata, keinginan itu terpaksa dipendam lantaran kesukaran untuk menghubunginya.

“Memang terasa rindu untuk kembali berlakon. Tetapi saya tahu susah untuk penerbit menawarkan watak kerana saya tinggal jauh dan susah untuk dihubungi.

“Kalau ada yang membuat penggambaran di kawasan berdekatan dan sudi mempelawa saya berlakon, saya tidak akan menolak.

“Dari segi tenaga, saya masih kuat dan mampu untuk bekerja di lokasi cuma mungkin kesempatan itu belum datang kerana ramai yang tidak tahu bagaimana mahu menghubungi saya,” katanya.


AZEAN Irdawaty disapa Mustapha yang prihatin dengan keadaan kesihatannya.

Kali kedua menerima sumbangan Aidilfitri dari Seniman, Ahmad C berkata, keinginan untuk bersama teman yang sudah lama tidak ditemuinya membuatkan dia sanggup menaiki bas ke Kuala Lumpur.

Ditemani anak saudaranya, Ahmad C berkata, kesempatan berbuka puasa bersama teman seangkatannya dulu menyuburkan semula nostalgia ketika mereka masih muda.

Perasaan yang sama turut dikongsi pelakon veteran, Z Roslee atau nama sebenarnya, Zainal Abdul Wahab. Hajat hati katanya, mahu lagi ke lokasi tetapi apakan daya kudratnya sudah tidak termampu.

Lumpuh sejak tiga tahun lalu, malah sebelah kakinya juga dipotong disebabkan diabetis, Z Roslee yang memuncak namanya menerusi filem pertama lakonannya, Chelorong Cheloreng pasrah dengan apa yang ditakdirkan untuknya.

Ketika zaman kemuncaknya, Z Roslee yang kini menetap di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pernah membintangi 11 filem.

“Dulu arwah bapa melarang saya jadi pelakon. Katanya, bukan keturunan kami bermain wayang. Disebabkan tidak mahu dia tahu saya tukar nama kepada Z Roslee.

“Pernah juga ayah perasan wajah saya ketika membaca Gelanggang P Ramlee, tetapi melihat nama kami berbeza dia diamkan saja,” katanya.

Majlis yang diadakan buat kali keenam itu menyaksikan 18 anak seni menerima sumbangan, selain tujuh balu penggiat seni sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka membangunkan industri hiburan.

Penerima sumbangan hari raya Aidilfitri kali ini ialah Karim Latiff, Param, Z Roslee, Rahimah Alias, Mariani Ismail, Ahmad C, Ramli Mohammad (Limra), Zaiton Sameon, Jaafar Wira dan Ariff Shah.

Turut tersenarai sebagai penerima sumbangan ialah seniwati Latifah Omar, Sazali P Ramlee, Yusof Chong, Azean Irdawaty, Kesuma Booty, Sudiro Sukirman, Kuswadinata dan Sharifah Aminah.

Sementara itu, tujuh balu penggiat seni yang menerima sumbangan ialah Kalsom Idris (balu Ismail Din), Raja Hamidah Raja Saad (Salleh Ghani), Wan Rahimah Wan Embong (M Amin), Mahyon Ismail (Hussain Abu Hassan), Noraishah Mohd Rashid (Yazid Sobrani), Rohani Abdullah (Zainuddin Zimbo) dan Norasmah Jamaludin (Nazri Omar).

Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof berkata, senarai penerima dipilih berdasarkan keperluan dan keadaan kesihatan untuk meringankan beban mereka tatkala 1 Syawal datang.

Katanya, majlis itu selain meraikan penerima sumbangan juga menjadi medan mempertemukan semua ahli Seniman yang selama ini jarang berkesempatan untuk bersua muka kerana masing-masing mempunyai agenda kerjaya sendiri.

“Alhamdulillah, acara ini mendapat sambutan yang cukup membanggakan malah yang membuatkan kami terharu apabila syarikat korporat turut bersama membantu melicinkan perjalanannya.

“Sekurang-kurangnya dengan pemberian kecil ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang memerlukan dan pada masa sama berkongsi keprihatinan sesama anggota masyarakat.

“Lebih membuatkan kami terharu pelakon seperti Ahmad C, Mat Sentul dan beberapa orang lagi sedia melapangkan waktu dan datang jauh dari Johor untuk meraikan majlis ini,” katanya.

Mustapha berkata, wang itu adalah sebahagian daripada dana RM700,000 yang dipunyai Seniman dan diletakkan di bawah Amanah Raya Berhad (ARB) untuk pengurusan aktiviti persatuan.

Katanya, sekali pun mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, Seniman tetap berhati-hati dalam perbelanjaan supaya tidak disalahgunakan dan akhirnya memusnahkan persatuan.

“Untuk sesebuah persatuan bergerak, kedudukan kewangan yang kukuh perlu dan Seniman bertuah kerana ARB banyak membantu perancangan serta memastikan aliran kewangan yang baik,” katanya.

Berita Harian

Post a Comment









© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid