Mama Hot!

November 19, 2008




Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Rozita Che Wan dan Zahnita.

Rozita Che Wan teruja anak dapat 5A UPSR, Zahnita lebih utamakan rumah tangga

MENYEMARAKKAN kehangatan dan mood filem James Bond: Quantum Of Solace yang masih hebat ditayangkan di pawagam, dua selebriti jelita, Rozita Che Wan dan Zahnita dijelmakan bagaikan Bond Girls versi Melayu.

Bertemakan Shaken But Not Stirred majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu kota baru-baru ini diadakan bersempena majlis tahunan kedua anjuran Malaysian Oil & Gas Services Council.

Menjadi peneman dua ibu jelita ini ialah Saleh Nor yang dijelmakan sebagai James Bond lengkap dengan sut tajaan Alpha Angle. Selain bergelar model sambilan, Saleh juga bertugas sebagai eksekutif jualan di Habib Jewels Sdn Bhd.

Syarikat barang kemas terkemuka negara itu yang semakin gigih membina reputasi itu juga menjadi penaja hadiah utama cabutan bertuah berupa koleksi barang kemas bertatahkan berlian Proudly South African.

Rozita dan Zahnita juga bergaya mewah dengan koleksi barangan kemas Habib. Masing-masing mempunyai aura dan pesona biarpun sudah mempunyai anak. Tidak hairan pihak Habib sudi memanggil mereka untuk menjadi penyeri majlis itu. Hadir dengan gaun rona hitam ciptaan Rizman Ruzaini dan Calvin Thoo, kelibat mereka menarik perhatian ramai tetamu dan lensa kamera.


ROZITA (kanan) dan Zahnita di samping ‘James Bond’ Melayu digayakan Saleh Nor.

Dua peragawati tinggi lampai ini juga berkongsi cerita baru mereka buat tatapan pembaca Hip. Bagi Rozita, dia baru saja mendapat khabar gembira apabila anak sulungnya Ammar Effendy mendapat kejayaan sebanyak 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Sebagai ibu tunggal, pelakon filem dan drama yang semakin popular ini berasa sangat bertuah kerana banyak perkara membahagiakan datang mendekati dirinya termasuklah prestasi membanggakan anaknya di sekolah.

“Sebagai ibu, saya berasa gembira dan terharu kerana dapat mendidik anak dengan baik biarpun sering sibuk di lokasi penggambaran. Kejayaan dia (Ammar) bukan disebabkan saya tetapi atas inisiatif dan kesedarannya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Tidak sia-sia juga saya mengambil cuti September lalu sepanjang peperiksaan ini berjalan kerana berniat ingin memberi sokongan moral kepadanya.

“Saya perhatikan dia sangat bertanggungjawab kepada dirinya, sangat berdikari dan tahu rutin belajarnya. Sesibuk mana saya berlakon, saya akan cuba memantau pelajarannya. Jika mendapat cuti, bekas suami saya juga masih meluangkan masa untuk membantu anak-anak saya membuat ulang kaji di rumah saya,” katanya yang memberitahu Ammar memang tidak berminat menjadi pelakon sepertinya kerana dia mahu menjadi juruterbang macam bapanya.

April 2009 ini genaplah tiga tahun usia pembabitan Rozita dan biarpun lewat memacu kerjaya seni, duta produk Rorine dan Garnier ini begitu kencang menerima rezeki tak putus-putus. Kontraknya bersama Rorine dipanjangkan tiga tahun lagi. Kata Rozita, mungkin ini rezeki kedua-dua anaknya hingga membuatkan dia tidak menang tangan.

BMW Sport beli sendiri bukan ditaja VIP

SEMUA sudah sedia maklum, Rozita juga sering dikaitkan dengan golongan VIP dan selebriti. Kali terakhir dia dikaitkan dengan pelakon Zizan. Namun yang jelas sudah tiada apa-apa lagi antara mereka.

Gosip terbaru mengenai aktres yang menggayakan busana Rizman Ruzaini ini dia dikatakan mendapat tajaan kereta BMW daripada seorang suami kepada selebriti popular. Bagaimanapun, Rozita menafikan sekeras-kerasnya gosip itu. Yang jelas, Rozita mampu memiliki kereta BMW 3 Series M Sport.

Celah Rozita, dia hairan kenapa selalu saja menjadi sasaran dan mangsa dikaitkan dengan golongan VIP. Bagaimanapun dia akur kerana inilah harga yang perlu dibayar apabila menjadi figura umum yang semakin meledak di pentas seni.

Hip mendapat tahu, gara-gara dikaitkan dengan golongan elit ini, ada isteri kalangan VIP yang menghubungi sebuah penerbitan akhbar kerana marahkan Rozita.

“Kalau ada yang mengatakan dia (suami kepada artis popular itu) itu menaja kereta kepada saya memang tidak berasas. Ini kerana saya memang tidak pernah berjumpa dengannya. Kadang-kadang jadi bosan hidup saya apabila asyik dikaitkan dengan gosip membabitkan VIP. Saya sendiri tertanya-tanya kenapa saya yang menjadi subjek utama apabila muncul isu VIP ini.

“Alhamdulillah saya masih mampu berdikari tanpa bantuan orang lain. Kalau saya tidak terbabit dengan penggambaran sekalipun dan hanya muncul mempromosikan produk Rorine, dalam jangka masa lapan hari sebulan pun saya boleh menyara hidup dan anak-anak,” katanya yang sudah menonton filem James Bond terbaru bersama adiknya, Ayu Raudhah.

Ditanya mengenai susuk badannya yang semakin kurus disebabkan penyakit yang dialaminya, Rozita menidakkan alasan sakit itu.

Menurut Rozita, dia kurus kerana mungkin disebabkan tekanan bekerja dan ingin memiliki berat badan ideal. Beratnya kini ialah 48 kilogram.

“Saya kalau boleh tak nak komen lagi mengenai kisah sakit yang ditanggung ini. Apa yang boleh saya cakap, saya kini sihat walafiat. Sebagai selebriti memang saya perlu menjaga badan dan kini saya hanya makan dua kali sehari (tengah hari dan malam) tanpa perlu menambah. Kalau terlebih makan, secara automatik saya akan termuntah,” katanya yang hanya meminum Milo kalau berasa lapar.

Kurang minat untuk berlakon semula

BERLAINAN pula dengan Zahnita Hussein Wilson yang sudah mengurangkan aktiviti lakonan. Zahnita mula berlakon di usia 17 tahun dan pernah berlakon dua filem iaitu Kuliah Cinta dan Gila-Gila Pengantin Remaja.

Mengakui sudah tidak merindukan dunia lakonan, Zahnita kini lebih fokus kepada rumah tangga dan hanya aktif dibidang modeling.

“Masa mula berlakon dulu memang saya akui teruja dan semakin hari saya mula sedar apa sebenarnya yang saya mahu di dalam hidup ini. Mungkin juga saya akan mempertimbangkan tawaran berlakon andai diberi peluang cuma saya akui saya lebih cerewet. Apatah lagi saya harus bijak mengimbangi kerjaya dan rumah tangga.

“Tahun depan genap empat tahun usia perkahwinan kami. Alhamdulillah, saya masih bahagia melewati kehidupan berumah tangga ini. Tidak seperti kawan-kawan selebriti lain yang kahwin sekejap kemudian cerai. Rumah tangga saya tidak diganggu dan saya minta simpang daripada berlaku perkara yang tidak molek,” kata Zahnita yang anggun dengan busana tajaan Calvin Thoo.

INFO: Zahnita Berkahwin dengan Abd Zackery Ghouse Abdul Gafoor, 30 tahun Dikurniakan seorang anak berusia dua tahun bernama Zahrafeena

INFO: Rozita Che Wan Asal: Alor Star, Kedah Umur: 35 tahun Status: Ibu tunggal dua cahaya mata Drama: Antaranya Bara Yang Ku Genggam, Susuk, Ai Di Beijing, Diari Ramadan Raffique dan Ayyad Filem: Sepi, Dunia Baru The Movie, Kantoi, Jangan Tegur, Sifu & Tonga dan Misteri Balan-Balan The Movie.

Berita Harian

Post a Comment




© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid