XY10: Kerlipan Bintang Remy

December 13, 2008




Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my


Remy

Azam 2009 kerja keras

BAKAT anak muda ini makin menarik perhatian produser drama dan filem. Tidak hairan, kelibatnya dalam pentas lakonan pantas makin ketara. Tidak salah beliau mampu membarisi senarai angkatan pelakon baru tanah air.

Biarpun namanya semakin meniti di bibir peminat, pelakon dan model, Mohd Zalimie Ishak atau lebih mesra dipanggil Remy Ishak tidak mahu leka hingga menggugat prinsip perjuangan seninya.

Dalam nada merendah diri, Remy menganggap perjuangannya masih jauh dan banyak perkara perlu diperbaiki.

“Semuanya bermula selepas lakonan saya dalam filem Anak Halal ditayangkan pada September 2007.

“Ketika ini, saya masih menjalani penggambaran drama Awan Dania yang ditayangkan di Astro. Mungkin selepas drama bersiri ini, ada tawaran filem menunggu tetapi masih belum ada hitam putih,” katanya yang memegang peran juruteknik simulasi penerbangan dalam drama Awan Dania.

Mengulas pembabitannya dalam dunia seni, Remy teringat bagaimana beliau menjalani uji bakat untuk filem tetapi disebabkan faktor tertentu, projek itu tertangguh akhirnya. Insiden itu hampir membuatkan anak muda ini berputus asa.

Namun, berkat kesabaran, akhirnya Remy diterima berlakon filem pertama, Anak Halal.

“Sebagai pelakon baru, saya masih lagi bertatih dan banyak perkara harus saya pelajari.

“Syukur kerana bakat lakonan saya diterima. Ia secara tidak langsung memberi keazaman kepada saya melakukan yang terbaik pada masa depan,” katanya yang meminati lakonan dan personaliti pelakon dan model tempatan, Maya Karin.

Bersama XY10 minggu ini, Remy Ishak menyingkap personaliti dirinya.

Terangkan perkembangan terkini Remy?

Saya sedang mengikuti penggambaran drama Awan Dania. Pada masa sama, saya mengintai tawaran berlakon filem yang sedang dalam perbincangan.

Bagaimana Remy melalui kehidupan bergelar selebriti?

Mungkin ramai menganggap gelaran selebriti menjanjikan keseronokan. Tidak sukar selepas berkecimpung dalam bidang ini, namun saya bersyukur berjaya melaluinya dengan tenang. Saya tidak melihat pada aspek populariti kerana mahu peminat menilai saya dari segi bakat.

Kongsi sedikit personaliti Remy?

Saya seorang yang sederhana tetapi agak memilih dalam apa juga situasi kerana inginkan yang terbaik.

Di sebalik tirai hidup Remy yang mungkin orang tidak tahu?

Mungkin orang yang tidak kenal menganggap saya sombong, sedangkan saya tidak begitu. Saya akan setia pada hanya seorang jika sudah menemuinya. Sama juga dalam minat, saya akan memberi fokus pada satu perkara saja.

Adakah Remy boleh dikategorikan sebagai lelaki romantik?

(Tergelak). Oh, saya memang tidak arif menilainya kerana bagi saya orang sekeliling kita yang patut memberikan jawapan itu.

Seksi mengikut persepsi anda?

Sudah disogok oleh masyarakat yang memutuskan seksi itu pada kecantikan dan paras rupa. Saya juga berfikir begitu tetapi saya tertarik pada sikap, pertuturan dan gaya lemah-lembut.

Fesyen pilihan Remy Ishak?

Simple tetapi selesa dipakai. Kebiasaannya, saya gemar menggayakan street fashion. Tetapi jika memerlukan saya mengenakan tuksedo atau bergaya formal, semestinya saya mengikut tema majlis.

Ciri-ciri wanita pilihan Remy Ishak?

Saya seorang yang cerewet. Bagi saya, wanita itu lebih menarik andai memiliki sifat penyayang, memahami kedudukan saya, sabar dengan sikap saya serta tahu kehendak diri ini.

Perkara yang ingin dicapai sebelum menamatkan zaman bujang?

Semestinya saya berharap mengukuhkan bakat saya dalam bidang seni dan mempunyai kedudukan kewangan stabil. Ini penting untuk memastikan segala-galanya sempurna sebelum mendirikan rumah tangga.

Perancangan Remy Ishak pada 2009?

Sebenarnya ada impian yang saya ingin gapai sebelum usia mencecah 28 tahun. Tahun depan, saya akan mencapai usia 27 tahun. Menjadi azam saya untuk bekerja keras dan mahu bintang saya berkelipan daripada ribuan bintang lain. Bukan populariti yang dicari, sebaliknya watak dan bakat yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

INFO:
Nama: Mohd Zalimie Ishak
Nama komersial: Remy Ishak
Umur: 26 tahun
Tarikh lahir: 11 April 1982
Tempat lahir: Port Dickson, Negeri Sembilan
Tinggi: 179 sentimeter
Berat: 73 kilogram
Saiz baju: M
Saiz kasut: 9

Berita Harian

Post a Comment




© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid