2 Wanita Hadapi Maut Kerana Suntikan Punggung
February 12, 2009
FLORIDA: Gara-gara mengidamkan punggung seperti dimiliki penyanyi dan pelakon berdarah latin, Jennifer Lopez, dua wanita kini berjuang untuk hidup selepas suntikan kosmetik mencantikkan punggung mereka, tidak bertindak seperti diharapkan.
Sebaliknya ia menyebabkan Andrea Lee, 30, mengalami kegagalan buah pinggang selepas ‘diracun’ dengan apa yang dipercayai silikon industri dan rakannya, Zakiya Teagle, 33, juga dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Florida selepas organ dalamannya berhenti berfungsi.
Polis di Tampa, Florida, kini memburu doktor palsu yang melakukan prosedur kosmetik itu ke atas kedua-dua wanita berkenaan.
Sharhonda Lindsay, 32, melarikan diri sebaik mangsa dikejarkan ke hospital dengan kecederaan serius disebabkan suntikan yang diberikan olehnya.
Menurut polis, Lindsay, yang tidak ada lesen perubatan atau pengalaman melakukan pembedahan kosmetik, melakukan ’suntikan punggung’ itu di rumahnya bulan lalu.
Lee dan Teagle membayar lebih ΰ300 (RM1,562)) untuk mendapatkan siri suntikan silikon yang diharap dapat menaikkan bentuk dan saiz punggung mereka.
Rakan kedua-duanya berkata, mereka berharap untuk mendapatkan punggung seperti dimiliki Lopez.
Penyiasat berkata, Lindsay menggunakan botol plastik dan mangkuk Tupperware untuk mencampurkan cecair pepejal yang sudah larut. Seorang daripada mangsa menerima 40 suntikan dalam masa 90 minit dan seorang lagi 20 suntikan dalam lingkungan waktu sama.
Detektif berkata, kedua-dua mangsa memberitahu mereka disuntik dengan bahan silikon yang digelar ‘Hydrogel’, tetapi berasa silikon industri yang kuat digunakan untuk tujuan itu. – Agensi
Berita Harian