Kenapa Ibu Que Menangis Dan Terkilan?

February 17, 2009




Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 17 FEB 2009:  Kesedihan bercampur kegembiraan tergambar pada wajah Puan Rahmah Hussein, 55,  tatkala melihat anak kesayangannya, Tengku Iskhan Tengku Haidar atau Que Haidar, 29, selamat melangsungkan perkahwinannya dengan Linda Jasmine Murad Hashim, 36, dalam majlis pernikahan serta persandingan mereka Sabtu lalu.

Malah, wanita yang telah membesarkan Que dengan penuh kasih sayang itu menangis melihat anak kelimanya daripada 10 beradik kesemuanya telah pun mendirikan rumahtangga dengan wanita pilihan hati dalam majlis yang bersejarah itu.

“Sebagai ibu saya cukup gembira dan bersyukur dengan perkahwinan Que. Tidak kiralah siapa pun wanita pilihannya, saya tetap akan setuju serta merestuinya.

“Awalnya memang saya sendiri tidak percaya, Que akan mengahwini Linda. Apabila dia bawa Linda jumpa kami semua pada hari raya tahun lalu dan perkenalkan Linda sebagai teman wanitanya, kami semua terperanjat.

“Sebab, Linda adalah seorang guru tarian yang terkenal. Semua orang mengenalinya. Tapi, apabila Que sekali lagi mengesahkan tentang perkara itu, barulah saya mempercayainya.

“Sepanjang mengenali Linda, dia seorang yang begitu lemah-lembut serta pandai mengambil hati kami semua. Saya
harap dia akan dapat menjaga makan minum Que dengan baik dan saya juga mendoakan supaya perkahwinan mereka akan kekal hingga ke anak cucu,” katanya dengan sebak.

Jelas Rahmah, sebagai ibu, dia juga berasa lega apabila dapat melihat Que berkahwin serta mendirikan rumahtangga.

“Sekarang tinggal lagi 3 orang adik-beradik Que yang belum berkahwin. Yang lain, sudah lepas. Cuma ada satu perkara yang membuatkan saya cukup terkilan. Kalaulah arwah ayah Que masih ada, tentu dia akan rasa turut bahagia dan gembira dengan perkahwinan anaknya ini,” katanya.

Tentang gosip yang tidak enak timbul mengenai Que sejak kebelakangan ini, Rahmah berkata, dia tidak kisah apa yang orang cakap tentang anaknya itu.

“Sebagai ibu, saya tahu siapa Que sebenarnya dan dia sentiasa jelaskan banyak perkara tentang apa yang berlaku terhadap dirinya,” kata Rahmah.

Sementara itu, kakak Que, Tengku Rashidah Tengku Haidar, 39, pula berkata, selepas ini giliran pihak pengantin lelaki pula mengadakan majlis resepsi di Felda Taib Andak iaitu pada 15 Mac depan.

“Konsep perkahwinan di sana nanti akan berasaskan kepada gotong-royong. Lagipun, memang itu kehendak masyarakat kampung di sana. Mereka mahu meraikan majlis kenduri Que nanti dibuat secara rewang,” katanya.

 

Murai

Post a Comment









© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid