Terkedu Apabila Aril Tersingkir
April 29, 2009
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ARIL terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada AF7.
Peminat mahu yang popular bukan peserta paling berbakat
SUDAH menjadi hakikat realiti program Akademi Fantasia (AF), apabila kuasa undian di tangan penonton, maka tiada pihak berhak untuk mempertikaikan kuasa mereka dalam menentukan siapa sepatutnya peserta yang boleh kekal meneruskan saingan.
Akibatnya terjadilah insiden peserta kurang berbakat terus maju, manakala mereka yang berpotensi ditunjuk jalan keluar.
Minggu ketujuh AF musim terbaru yang rancak diperbualkan ketika ini, contoh terbaik memperlihatkan betapa kuasa undian di tangan peminat mampu merampas impian peserta berbakat untuk terus menghiburkan penonton.
Suasana di Dewan Sri Putra Bukit Jalil jadi senyap seketika apabila penonton bagai terkedu setelah Aril diumumkan pelajar seterusnya yang harus meninggalkan akademi.
Aril, dilihat antara sebab utama mengapa AF7 masih boleh bernafas, menerusi persembahannya yang mantap pada saban minggu. Selain Hafiz, Aril ialah peserta yang menjadi perhatian apabila hadir dengan pakej yang menarik, serta bakat yang terserlah.

DARI kiri, Aril, Yazid dan Akim.
Lalu, apabila namanya diumumkan peserta yang perlu menarik beg keluar daripada dewan, timbul isu apa sebenarnya yang diinginkan peminat? Apabila tamat persembahan pelajar minggu itu, Hafiz berkongsi jumlah undian dengan Isma iaitu 17 peratus, Aishah dan Yazid masing-masing 15 peratus, Akim (14 peratus), manakala Claudia dan Aril kedua-duanya memperolehi 11 peratus.
Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata, Aril terpaksa meninggalkan AF7 walaupun perbezaan undiannya dengan Claudia adalah cukup sedikit.
“Saya gembira dengan konsert pada malam ini yang menunjukkan peningkatan semua pelajar, manakala peratusan undian juga semakin seimbang apabila tiada peserta jauh meninggalkan yang lain. Namun kita kena akur dengan peraturan yang mengatakan, peserta dengan undian terendah harus disingkirkan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat konsert.
Sabtu lalu, Aril membakar pentas dengan persembahan bertenaganya menyampaikan lagu Nakal daripada kumpulan Gigi. Rata-rata pengkritik malam itu, Datuk Khatijah Ibrahim, Adibah Noor dan Adlin Aman Ramlie menyukai persembahannya.

CLAUDIA, Aishah dan Isma meneruskan langkah ke konsert seterusnya.
Selain Aril, Akim dengan lagu Situasi (Bunkface) turut mencuri perhatian, manakala Yazid dengan lagu With Or Without You (U2) buat kali pertama menunjukkan persembahan meyakinkan.
“Diharapkan media dan penulis blog boleh membantu mengingatkan peminat, jika mereka asyik ingin membantu peserta bukan pilihan, peserta yang berbakat akan terkeluar daripada saingan,” katanya.
Ketika ditanya apakah Astro mempunyai perancangan untuk mengadakan undian masuk pelajar yang tersingkir, Khairul Mizan berkata, dia tidak mempunyai hak untuk mengumumkan perkara sebegitu.
Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina pula berkata, dia bingung memikirkan kehendak peminat rancangan terbabit.
“Aril antara ikon yang kami mahu lahirkan daripada program AF7. Dia mewakili penyanyi yang kita inginkan dalam industri muzik hari ini. Malangnya, dengan sistem undian diberikan sepenuhnya kepada peminat, kita tidak tahu apa yang mereka mahukan,” kata Tiara.
Aril tidak mahu lemah semangat
PENYINGKIRAN peserta yang dilihat berbakat dalam rancangan AF sebelum konsert akhir memang sudah beberapa kali berlaku. Linda Nanuwil pernah merasai pengalaman itu pada AF2, manakala Idayu pula mengalaminya pada musim ketiga.
Lalu, apakah Aril juga mengharapkan nasib serupa menyebelahinya?
Kata anak muda berusia 24 tahun dari Kuala Lumpur itu, dia tidak berani hendak mengulas persoalan mengenai harapan untuk melihat undian masuk diadakan sekali lagi oleh AF7.
Akui Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, dia tidak terlalu kecewa apabila terkeluar daripada program realiti terbabit, dan dia juga tidak dapat menjangka rentak undian pengundi AF.
“Ada masanya, pelajar yang berbakat seperti rakan saya, Rubisa, terkeluar juga,” katanya.
Padanya, mungkin peminat tidak mengundi dirinya bukan kerana soal tidak berbakat, sebaliknya mereka ingin memberikan peluang kepada rakannya yang lain meneruskan perjuangan.
Ditanya apakah kerana ‘attitude’ yang sering kali dikaitkan dengan dirinya, sebagaimana yang diperkatakan oleh pengkritik, Aril memberitahu, sikap seperti itu perlu ada pada seseorang penghibur yang berada di pentas.
“Apabila berada di pentas, kita perlu tunjukkan pesona kita kepada peminat. Tetapi, apabila berada di luar, tidaklah kita perlu bersikap demikian.
“Saya sendiri tentunya berbangga apabila pengkritik memuji sikap saya yang dilihat perlu ada pada seorang penghibur. Jadi, saya tidak rasa kerana ‘attitude’, peminat tidak menyukai saya,” ujarnya.
Mengenai perancangan selepas ini, jejaka yang petah menjawab segala pertanyaan ini memberitahu, dia akan mengikut rancangan yang diatur oleh Astro Entertainment.
Dari segi muzik pula, katanya tidak salah jika dia ingin mencuba pelbagai bentuk muzik lain selain genre muzik yang menjadi kesukaannya, pop, sebagaimana yang dipersembahkan kumpulan Padi.
“Jika kita mahu menjadi penghibur yang baik, tidak salah sekiranya kita mencuba pelbagai genre muzik. Begitupun, sudah tentulah saya tahu di mana kekuatan saya,” katanya sempat berada selama 61 hari dalam akademi terbabit.
Berita Harian
Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?
April 27, 2009
Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.
Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).
Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.
Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.
TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.
Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?
Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?
Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.
Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.
Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.
Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.
Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.
Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.
Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.
Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.
Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.
OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).
Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.
Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.
Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.
Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.
Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.
Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.
Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.
Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;
Harian Metro
Tiada Pilih Kasih
April 27, 2009
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Artis jarang dapat tempat di radio dan TV berpeluang buat persembahan pada AIM16
TIDAK ada pilih kasih diamalkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), ketika menentukan siapakah yang paling layak untuk membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 Mei nanti.
Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, dalam memilih barisan artis yang akan membuat persembahan, kriteria utama yang diperlukan adalah mereka mestilah berbakat tetapi sering terlepas pandang untuk membuat persembahan dalam acara seperti itu.
“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi atau kumpulan muzik berbakat besar serta melahirkan produk berkualiti tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio, televisyen dan peminat.
“Jadi pentas AIM16 menjadi tempat untuk mereka menyerlahkan bakat sekali gus menyinar dalam industri hiburan,” katanya kepada Hip.
Katanya, ramai yang membuat tanggapan salah kepada AIM kerana sering melihat acara itu sebagai tempat untuk mempromosikan produk penyanyi dan kumpulan muzik yang baru dalam dunia muzik tanah air.
“Memang benar kami turut memainkan peranan dalam mempromosikan produk artis tetapi dalam hal membuat persembahan, kami sebenarnya lebih selektif dan beberapa kriteria lain juga diambil kira.
“Sebagai contoh walaupun artis itu popular dan diakui mampu membuat persembahan yang hebat di konsert misalnya, namun itu bukanlah jaminan untuk mereka kelihatan hebat di kaca televisyen.
“Malahan, saya sendiri pernah memuji persembahan sebuah kumpulan yang sewaktu menyaksikan konsertnya secara live namun selepas melihat kembali di kaca televisyen, barulah saya dapat lihat kelemahan mereka di sana sini,” jelasnya.
Ketengahkan single terbaik bukan popular
Jennifer berkata apa yang dikatakannya nanti bukanlah berniat untuk menuding jari pada mana-mana pihak cuma sekadar menyatakan rasa kesal kerana sikap skeptikal sesetengah pihak terhadap dunia hiburan yang sebenarnya memberikan kesan tidak sihat terhadap perkembangan industri itu sendiri.
“Kita sering melihat ada sesetengah tempat yang melarang artis membuat persembahan. Ini berbeza dengan artis atau band dari Indonesia yang sering menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk buat persembahan.
“Ini secara tidak langsung mereka sebenarnya membuat latihan memperbaiki kelemahan. Disebabkan itulah kita sering mendengar atau melihat persembahan yang sempurna daripada mereka kerana mereka berlatih hari-hari iaitu dengan cara membuat persembahan di konsert.
“Dari segi lagu, saya cuba mengelak untuk penyanyi terbabit menyampaikan lagu popular mereka. Mungkin saya melihat single lain yang berpotensi untuk ketengahkan, seperti yang pernah kami lakukan untuk kumpulan Estranged apabila kami meminta mereka menyanyikan lagu Velocity berbanding lagu Itu Kamu,” jelas Jennifer.
Pada malam itu nanti barisan penyanyi atau kumpulan yang akan membuat persembahan terdiri daripada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar dan Rossa.
Penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia,Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz. Manakala Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor.
Jennifer menjelaskan bahawa ketelitian dalam memilih artis untuk membuat persembahan bukan atas dasar terlalu menjaga prestij acara itu.
“Alasan sebenar adalah saya tidak mahu artis itu nanti yang terpaksa menerima kecaman dan merosakkan karier mereka sekiranya persembahan mereka gagal malam itu,” jelas sekali gus memperbetulkan tanggapan silap pelbagai pihak.
Persembahan barisan artis malam itu nanti akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman iaitu Ramli MS.
Berita Harian