Terkedu Apabila Aril Tersingkir
April 29, 2009
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ARIL terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada AF7.
Peminat mahu yang popular bukan peserta paling berbakat
SUDAH menjadi hakikat realiti program Akademi Fantasia (AF), apabila kuasa undian di tangan penonton, maka tiada pihak berhak untuk mempertikaikan kuasa mereka dalam menentukan siapa sepatutnya peserta yang boleh kekal meneruskan saingan.
Akibatnya terjadilah insiden peserta kurang berbakat terus maju, manakala mereka yang berpotensi ditunjuk jalan keluar.
Minggu ketujuh AF musim terbaru yang rancak diperbualkan ketika ini, contoh terbaik memperlihatkan betapa kuasa undian di tangan peminat mampu merampas impian peserta berbakat untuk terus menghiburkan penonton.
Suasana di Dewan Sri Putra Bukit Jalil jadi senyap seketika apabila penonton bagai terkedu setelah Aril diumumkan pelajar seterusnya yang harus meninggalkan akademi.
Aril, dilihat antara sebab utama mengapa AF7 masih boleh bernafas, menerusi persembahannya yang mantap pada saban minggu. Selain Hafiz, Aril ialah peserta yang menjadi perhatian apabila hadir dengan pakej yang menarik, serta bakat yang terserlah.

DARI kiri, Aril, Yazid dan Akim.
Lalu, apabila namanya diumumkan peserta yang perlu menarik beg keluar daripada dewan, timbul isu apa sebenarnya yang diinginkan peminat? Apabila tamat persembahan pelajar minggu itu, Hafiz berkongsi jumlah undian dengan Isma iaitu 17 peratus, Aishah dan Yazid masing-masing 15 peratus, Akim (14 peratus), manakala Claudia dan Aril kedua-duanya memperolehi 11 peratus.
Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata, Aril terpaksa meninggalkan AF7 walaupun perbezaan undiannya dengan Claudia adalah cukup sedikit.
“Saya gembira dengan konsert pada malam ini yang menunjukkan peningkatan semua pelajar, manakala peratusan undian juga semakin seimbang apabila tiada peserta jauh meninggalkan yang lain. Namun kita kena akur dengan peraturan yang mengatakan, peserta dengan undian terendah harus disingkirkan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat konsert.
Sabtu lalu, Aril membakar pentas dengan persembahan bertenaganya menyampaikan lagu Nakal daripada kumpulan Gigi. Rata-rata pengkritik malam itu, Datuk Khatijah Ibrahim, Adibah Noor dan Adlin Aman Ramlie menyukai persembahannya.

CLAUDIA, Aishah dan Isma meneruskan langkah ke konsert seterusnya.
Selain Aril, Akim dengan lagu Situasi (Bunkface) turut mencuri perhatian, manakala Yazid dengan lagu With Or Without You (U2) buat kali pertama menunjukkan persembahan meyakinkan.
“Diharapkan media dan penulis blog boleh membantu mengingatkan peminat, jika mereka asyik ingin membantu peserta bukan pilihan, peserta yang berbakat akan terkeluar daripada saingan,” katanya.
Ketika ditanya apakah Astro mempunyai perancangan untuk mengadakan undian masuk pelajar yang tersingkir, Khairul Mizan berkata, dia tidak mempunyai hak untuk mengumumkan perkara sebegitu.
Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina pula berkata, dia bingung memikirkan kehendak peminat rancangan terbabit.
“Aril antara ikon yang kami mahu lahirkan daripada program AF7. Dia mewakili penyanyi yang kita inginkan dalam industri muzik hari ini. Malangnya, dengan sistem undian diberikan sepenuhnya kepada peminat, kita tidak tahu apa yang mereka mahukan,” kata Tiara.
Aril tidak mahu lemah semangat
PENYINGKIRAN peserta yang dilihat berbakat dalam rancangan AF sebelum konsert akhir memang sudah beberapa kali berlaku. Linda Nanuwil pernah merasai pengalaman itu pada AF2, manakala Idayu pula mengalaminya pada musim ketiga.
Lalu, apakah Aril juga mengharapkan nasib serupa menyebelahinya?
Kata anak muda berusia 24 tahun dari Kuala Lumpur itu, dia tidak berani hendak mengulas persoalan mengenai harapan untuk melihat undian masuk diadakan sekali lagi oleh AF7.
Akui Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, dia tidak terlalu kecewa apabila terkeluar daripada program realiti terbabit, dan dia juga tidak dapat menjangka rentak undian pengundi AF.
“Ada masanya, pelajar yang berbakat seperti rakan saya, Rubisa, terkeluar juga,” katanya.
Padanya, mungkin peminat tidak mengundi dirinya bukan kerana soal tidak berbakat, sebaliknya mereka ingin memberikan peluang kepada rakannya yang lain meneruskan perjuangan.
Ditanya apakah kerana ‘attitude’ yang sering kali dikaitkan dengan dirinya, sebagaimana yang diperkatakan oleh pengkritik, Aril memberitahu, sikap seperti itu perlu ada pada seseorang penghibur yang berada di pentas.
“Apabila berada di pentas, kita perlu tunjukkan pesona kita kepada peminat. Tetapi, apabila berada di luar, tidaklah kita perlu bersikap demikian.
“Saya sendiri tentunya berbangga apabila pengkritik memuji sikap saya yang dilihat perlu ada pada seorang penghibur. Jadi, saya tidak rasa kerana ‘attitude’, peminat tidak menyukai saya,” ujarnya.
Mengenai perancangan selepas ini, jejaka yang petah menjawab segala pertanyaan ini memberitahu, dia akan mengikut rancangan yang diatur oleh Astro Entertainment.
Dari segi muzik pula, katanya tidak salah jika dia ingin mencuba pelbagai bentuk muzik lain selain genre muzik yang menjadi kesukaannya, pop, sebagaimana yang dipersembahkan kumpulan Padi.
“Jika kita mahu menjadi penghibur yang baik, tidak salah sekiranya kita mencuba pelbagai genre muzik. Begitupun, sudah tentulah saya tahu di mana kekuatan saya,” katanya sempat berada selama 61 hari dalam akademi terbabit.
Berita Harian
Aril Tersingkir Konsert Ketujuh AF
April 26, 2009

Aril
KUALA LUMPUR: Impian Khairil Azam Pilus atau Aril, untuk beraksi sebagai finalis program realiti popular Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) berakhir apabila tersingkir pada konsert ketujuh , malam tadi.
Pada konsert di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini, Aril membawa lagu Nakal nyanyian asal Kumpulan Gigi.
Pengumuman penyingkiran dibuat pengacara AF7, AC Mizal pada konsert itu.
Peserta dari Kuala Lumpur itu hanya mampu bertahan setakat minggu ketujuh mengikut jejak rakannya, Nas Adila, Rini, Obri, Zizi, Rubisa, Sidi dan Qhaud yang tersingkir awal. Persembahan peserta dinilai pengkritik tetap, Datuk Khadijah Ibrahim, Adlin Aman Ramlie dan penyanyi Adibah Noor sebagai pengkritik undangan.
Peserta berusia 24 tahun itu tidak mampu menawan hati pengundi apabila menjadi mangsa undian khidmat pesanan ringkas (SMS) paling rendah. Dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada enam rakan masih bertahan, sekali gus memberi laluan kepada mereka meneruskan perjuangan.
Peserta yang kekal ialah Aishah Bujang, 18, (Sarawak), Afiq Hakim Ahmad, 18, (Johor Bahru), Claudia Fay Geres, 24, (Sarawak), Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, (Sarawak), Ismaliza Ismail, 30, (Kuala Lumpur), dan Mohd Yazid Kamal Ibrahim, 22, (Johor Bahru).
Berita Harian
Populariti Siti Belum Dicabar
April 14, 2009
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff, Zul Husni Abdul Hamid, Farihad Shalla Mahmud & Zaidi Mohamad
bhnews@bharian.com.my
PENYANYI Wanita Popular kekal milik Siti 12 kali berturut-turut.
Kemenangan muka baru dalam ABPBH 2008 menunjukkan perubahan sikap peminat
TIRAI Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah pun dilabuhkan jam 11.30 malam, Ahad lalu, apabila keputusan terakhir Bintang Paling Popular diumumkan pengacara Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira. Begitupun, pastinya peminat masih hangat membicarakan mengenai anugerah edisi ke-22 itu selepas satu nama baru, Ahmad Nabil Ahmad, dinobat pemenang tiga trofi, termasuk kategori utama berkenaan.
Ia umpama mengulangi pencapaian bekas Bintang Paling Popular sebanyak tiga kali (ABPBH 2005 – 2007), Mawi, yang sebaik saja beberapa bulan keluar daripada Akademi Fantasi musim ketiga, dia terus menggenggam tiga trofi (Artis Baru Lelaki Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Bintang Paling Popular) pada ABPBH 2005.
Akhirnya, benteng yang dibina kukuh oleh Raja SMS itu runtuh dengan kelucuan yang dihadirkan peserta Raja Lawak musim kedua ini. Peminat memilih untuk memahkotakan seorang artis komedi, pada kali ini, berbanding penyanyi, penyampai radio, pengacara televisyen mahupun pelakon.
Selepas Mawi melakukannya selama tiga tahun, kini giliran Nabil pula menghuni tempat cukup istimewa itu. Lebih bermakna, dengan gelaran yang baru diterima, Nabil memandu pulang kereta Nissan Sylphy 2.0L bernilai RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, menerima set barang kemas Rafflesia bernilai RM150,000 dan set perabot tajaan Empire Classic Furniture bernilai RM30,000.
Bukan hanya Nabil yang berjaya merubah keputusan anugerah itu, pada acara yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Arena of Stars Genting Highlands, bahkan beberapa nama lain turut mencipta kejayaan tersendiri apabila berdaya menguis turun pemenang sebelum ini.
QUE berkongsi kegembiraan dengan isteri tersayang.
Pelakon Noorkhiriah, umpamanya, menongkah arus untuk muncul pemenang kategori Artis Komedi Wanita Popular, selepas pemenang edisi sebelumnya, Sheila Rusly, gagal disenarai ke peringkat akhir. Begitu juga aktres Maya Karin, yang berbekalkan filem Duyung, merampas semula trofi Pelakon Filem Wanita Popular yang pernah dijulang pada ABPBH 2005 daripada tangan Fasha Sandha.
Que Haidar pula, setelah bertahun mencuba, akhirnya pulang dengan trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, mengetepikan pemenang edisi sebelumnya, Rusdi Ramli. Dalam kategori yang dianggap cukup kuat, Que yang baru saja bergelar suami kepada pereka tari Linda Jasmine, membuktikan usaha kerasnya sekian lama memberikan habuan yang bukan kepalang.
Populariti Lagu Untukmu yang menjuarai beberapa acara pertandingan, benar-benar meletakkan kumpulan Meet Uncle Hussain pada kedudukan teratas dalam kategori Artis Berkumpulan / Duo Popular. Calon terkemuka lain seperti Hujan, Estranged dan M Nasir & Malique juga tidak mampu menahan kemaraan mereka.
Stacy yang menjadi artis pembuka tirai ABPBH 2008 bersama Anita Sarawak, terus menyusun langkah kemas untuk bergelar penghibur terkenal selepas membuka mata peminat pada Anugerah Juara Lagu Ke-23. Dia meneruskan tradisi peserta AF mengungguli kategori Artis Baru Wanita Popular selepas Farah melakukannya pada ABPBH 2005 dan Mila pada ABPBH 2007.
JAMAL Abdillah berbual dengan Datuk A Rahman Hassan.
Kategori lain masih menyaksikan calon yang sama masih diangkat peminat sebagai pemenangnya. Fara Fauzana terus unggul dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular, manakala Faizal Ismail dan Aznil Nawawi menguasai kategori lelakinya.
Dynas dan Rosyam turut mengelakkan trofi yang dimenangi mereka dalam kategori Pelakon TV Wanita / Lelaki Popular, manakala kumpulan Rabbani menjulang trofi Artis Nasyid Popular sebanyak lapan kali berturut-turut, sejak ABPBH 2001.
Namun begitu, siapa yang dapat menafikan kehebatan Datuk Siti Nurhaliza apabila penyanyi itu menaiki pentas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular sebanyak 12 kali berturut-turut. Sejak memenanginya kali pertama pada ABPBH 1996, si penyanyi Di Taman Teman ini tidak pernah melepaskan piala berkenaan ke tangan penyanyi lain.
Dengan keputusan yang menampakkan gelombang perubahan pada ABPBH 2008, peminat nyata semakin berani membuat perubahan pada kedudukan senarai populariti artis kesukaan mereka kali ini. Mereka tidak lagi terikut-ikut dengan corak undian sebelum ini, sebaliknya dengan gah pendirian yang jelas untuk menyatakan pilihan masing-masing.
Keputusan itu sendiri juga turut memberikan harapan kepada nama baru untuk sama-sama meraih populariti, apabila benteng kebal yang dibina beberapa calon sudah dibuktikan kemungkinannya untuk tumbang. Sudah semestinya, jika mereka disokong produk yang baik lagi popular, tidak kiralah filem, lagu, rancangan TV ataupun radio, sampul surat yang mengandungi nama pemenang itu satu hari nanti mungkin mencatatkan nama mereka di dalamnya.
Mungkin mesej yang harus juga direnung artis muda daripada ABPBH kali ini, usah jerat diri anda dalam kontroversi yang memualkan kerana cerita yang tidak sedap didengar juga mampu mempengaruhi pengundi.
Berita Harian