Selamba, Meriah Dan Menghiburkan
April 28, 2009
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
WAJAH kacak dan jelita artis yang terbabit menjayakan Minggu Setiausaha di Hotel Istana, baru-baru ini.
Kemunculan sekumpulan lelaki terpilih dalam pelbagai cabang dunia hiburan memeriahkan acara Minggu Setiausaha
DEWAN Grand Ballroom Hotel Istana dihias indah dengan bunga-bungaan segar menandakan ada acara istimewa sedang berlangsung. Di luar dewan kelihatan sekumpulan jejaka yang kelihatan segak menyarung tuksedo sambil kerlipan cahaya lensa tidak henti-henti menyimbah wajah mereka.
Senyuman tidak henti-henti menghiasi wajah mereka. Ada ang dikenali dan ada juga pertama kali dilihat. Namun satu perkara yang dikongsi lelaki-lelaki ini adalah mereka yang berjaya mencipta nama dan populariti menerusi bakat yang dimiliki.
Lebih menarik acara hari itu bukan saja menghimpunkan pelakon, penyanyi dan model dari Malaysia tetapi juga membabitkan selebriti dari negara seberang. Itulah kelainan yang ditampilkan Hotel Istana untuk persembahan Minggu Setiausaha tahun ini.
Bukan saja menyatukan dua negara malah hidangan yang disajikan juga berkonsepkan cita rasa Indonesia iaitu makanan Padang yang cukup terkenal di Sumatera Barat. Andai kebanyakan hotel lain selesa menampilkan seorang penyanyi untuk menghiburkan penonton namun acara ini membariskan ramai penyanyi hebat yang memiliki vokal tersendiri.
Terbuai keasyikan mendengar alunan vokal Faizal Tahir yang berduet bersama pemenang pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH), Nazatul Farihin yang menyampaikan lagu Cuba. Walaupun baru pertama kali digandingkan bersama, dua penyanyi ini kelihatan serasi dan tidak nampak kekok di atas pentas.
KALI kedua Jaclyn dan Rio bergandingan menyanyikan lagu Ceritera Cinta.
Mengulangi kejayaan yang pernah dilakar Nazatul sewaktu membuat persembahan sulung di pentas berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008), 12 April lalu, ujian kedua ini dilalui gadis dari Sungai Petani ini dengan jayanya terutama apabila membabitkan lontaran suara ketika menyanyikan bahagian bernada tinggi.
Sebutir lagi bintang yang sememangnya menyinar di persada hiburan, Azharina meneruskan persembahan single terbarunya berjudul, Rawan sebelum pentas di ambil alih Rio Febrian yang menyampaikan lagu yang diangkat dari album terbarunya iaitu Aku Bertahan.
Rio turut berduet bersama penyanyi bersuara lantang dari Malaysia, Jaclyn Victor menyanyikan lagu Ceritera Cinta. Penyanyi lain yang turut memukau penonton menerusi persembahan mereka termasuklah Naib Juara Indonesian Idol, Delon, Irwansyah, Siti Sarah dan Ello.
Acara meriah yang dikendalikan dua pengacara berpengalaman iaitu Afdlin Shauki dan AC Mizal ini turut diselang selikan dengan sesi bermesra bersama penonton.
FAHRIN menunjukkan aksi ‘Sehati Berdansa’ bersama pasangannya.
Kalau sudah namanya persembahan Minggu Setiausaha, pastinya kebanyakan tetamu yang hadir adalah golongan Hawa.
Untuk permainan pertama yang dinamakan Sehati Berdansa, setiap selebriti yang diundang di pentas, perlu mencari pasangan untuk menari bersama mereka berdasarkan genre lagu yang berkumandang. Sesi ini memang melucukan kerana ada di antara pasangan malang itu memang tidak boleh menari. Sudahnya ada di antara mereka main ‘belasah’ saja asalkan ada pergerakan.
Pada acara kedua pula, setiap pasangan perlu melakonkan aksi klip video untuk lagu yang dimainkan. Ini juga membuatkan tetamu yang hadir ‘pecah perut’ menahan gelak menyaksikan aksi selama pasangan berkenaan menghidupkan watak masing-masing.
Pun begitu, tidak dapat dinafikan kemampuan pasangan Afdlin dan AC menghidupkan acara dengan lawak jenaka mereka yang selamba sewajarnya mendapat pujian. Sikap gila-gila serta dialog spontan kedua-dua mereka juga banyak membantu.
Medan promosi diri di Malaysia
PELUANG yang terbentang di depan mata tidak harus dibiarkan begitu saja. Justeru, apabila ditawarkan untuk membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha di Malaysia, perkara itu disambut oleh artis Indonesia yang terbabit dengan segala senang hati.
Malah, mereka melihat perkara itu dalam erti kata yang lebih luas kerana menerima tawaran itu bererti mereka memberi peluang untuk penggemar muzik di Malaysia menikmati hasil kerja mereka.
“Rasa teruja kerana selain membuat persembahan saya juga berpeluang mempromosikan muzik saya di sini. Mungkin selepas ini saya akan menjayakan showcase saya sendiri buat peminat, siapa tahu,” kata Rio yang pernah berduet bersama Erra Fazira menerusi lagu Nada Cinta.
Pendapat itu turut disokong Ello yang menyifatkan kemunculan mereka itu sebagai salam pengenalan buat peminat di negara ini.
“Saya memang sudah lama ingin ke Malaysia kerana saya tahu saya juga mempunyai peminat di sini. Jadi kesempatan ini saya akan gunakan sebaiknya untuk mendekatkan diri bersama mereka ,”ujar jejajak kacak ini.
Antara selebriti yang turut memeriahkan majlis ini adalah Awal Ashaari, Fahrin Ahmad, Aqasha, Kamal Adli, Fizo, Farid Kamil, Samuel Rizal, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Didi Riyadi dan Ariffin Putra.
Berita Harian
Tiada Pilih Kasih
April 27, 2009
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Artis jarang dapat tempat di radio dan TV berpeluang buat persembahan pada AIM16
TIDAK ada pilih kasih diamalkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), ketika menentukan siapakah yang paling layak untuk membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 Mei nanti.
Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, dalam memilih barisan artis yang akan membuat persembahan, kriteria utama yang diperlukan adalah mereka mestilah berbakat tetapi sering terlepas pandang untuk membuat persembahan dalam acara seperti itu.
“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi atau kumpulan muzik berbakat besar serta melahirkan produk berkualiti tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio, televisyen dan peminat.
“Jadi pentas AIM16 menjadi tempat untuk mereka menyerlahkan bakat sekali gus menyinar dalam industri hiburan,” katanya kepada Hip.
Katanya, ramai yang membuat tanggapan salah kepada AIM kerana sering melihat acara itu sebagai tempat untuk mempromosikan produk penyanyi dan kumpulan muzik yang baru dalam dunia muzik tanah air.
“Memang benar kami turut memainkan peranan dalam mempromosikan produk artis tetapi dalam hal membuat persembahan, kami sebenarnya lebih selektif dan beberapa kriteria lain juga diambil kira.
“Sebagai contoh walaupun artis itu popular dan diakui mampu membuat persembahan yang hebat di konsert misalnya, namun itu bukanlah jaminan untuk mereka kelihatan hebat di kaca televisyen.
“Malahan, saya sendiri pernah memuji persembahan sebuah kumpulan yang sewaktu menyaksikan konsertnya secara live namun selepas melihat kembali di kaca televisyen, barulah saya dapat lihat kelemahan mereka di sana sini,” jelasnya.
Ketengahkan single terbaik bukan popular
Jennifer berkata apa yang dikatakannya nanti bukanlah berniat untuk menuding jari pada mana-mana pihak cuma sekadar menyatakan rasa kesal kerana sikap skeptikal sesetengah pihak terhadap dunia hiburan yang sebenarnya memberikan kesan tidak sihat terhadap perkembangan industri itu sendiri.
“Kita sering melihat ada sesetengah tempat yang melarang artis membuat persembahan. Ini berbeza dengan artis atau band dari Indonesia yang sering menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk buat persembahan.
“Ini secara tidak langsung mereka sebenarnya membuat latihan memperbaiki kelemahan. Disebabkan itulah kita sering mendengar atau melihat persembahan yang sempurna daripada mereka kerana mereka berlatih hari-hari iaitu dengan cara membuat persembahan di konsert.
“Dari segi lagu, saya cuba mengelak untuk penyanyi terbabit menyampaikan lagu popular mereka. Mungkin saya melihat single lain yang berpotensi untuk ketengahkan, seperti yang pernah kami lakukan untuk kumpulan Estranged apabila kami meminta mereka menyanyikan lagu Velocity berbanding lagu Itu Kamu,” jelas Jennifer.
Pada malam itu nanti barisan penyanyi atau kumpulan yang akan membuat persembahan terdiri daripada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar dan Rossa.
Penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia,Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz. Manakala Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor.
Jennifer menjelaskan bahawa ketelitian dalam memilih artis untuk membuat persembahan bukan atas dasar terlalu menjaga prestij acara itu.
“Alasan sebenar adalah saya tidak mahu artis itu nanti yang terpaksa menerima kecaman dan merosakkan karier mereka sekiranya persembahan mereka gagal malam itu,” jelas sekali gus memperbetulkan tanggapan silap pelbagai pihak.
Persembahan barisan artis malam itu nanti akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman iaitu Ramli MS.
Berita Harian
Tugasan Mengejut 20 Lelaki Kacak
April 25, 2009
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
Rap
TIRAI pembukaan majlis sambutan Minggu Setiausaha Hotel Istana yang berlangsung Rabu lalu, gah dan hangat dengan kehadiran 20 artis lelaki kacak serta bergaya mengenakan sut Lord’s Tailor. Kemunculan mereka hasil gabungan artis dua negara, Malaysia dan Indonesia.
Seperti dijanjikan penyelaras publisiti majlis, Bill Bora, dengan kerjasama syarikat rakaman dan pihak pengurusan, masing-masing berjaya menerbangkan Rio Febrian, Delon, Ello, Irwan Syah, Samuel Rizal, Didi Riyadi dan Ariffin Putra dari Indonesia.
Dari Malaysia pula, Faizal Tahir, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awalludin Ashaari, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli dan Fizo. Sementara AC Mizal dan Afdlin Shauki selaku pengacara.
Penampilan istimewa Jaclyn Victor, Azharina, Shila ND Lala dan Siti Sarah yang turut membuat persembahan pada hari itu. Walaupun pada mulanya Bill berasa bimbang sambutan awal kurang memberangsangkan, tetapi akhirnya dia menarik nafas lega kerana pada hari itu semua meja penuh.
Masakan tidak, kerana bukan senang untuk bertemu dan beramah mesra dengan semua artis popular itu kerana terikat dengan komitmen masing-masing. Daripada luar sehingga ke dalam dewan mereka tidak melepaskan peluang bergambar dengan artis pujaan apa lagi dengan artis Indonesia yang biasanya hanya dilihat menerusi sinetron yang disiarkan di sini.
Pada majlis itu, Faizal Tahir berduet dengan Juara Bintang Idola Berita Harian, Nazatul Farahin Mohd Hussin, menyanyikan lagu Cuba. Irwan Syah tampil menyanyi bersama Shila menerusi lagu My Heart. Menyemarakkan lagi majlis, Rio Febrian muncul bersama Jaclyn Victor dengan lagu yang pernah dirakamkan bersama, Ceritera Cinta.
Delon, bintang yang dilahirkan menerusi program Indonesia Idol (2004) menghiburkan hadirin dengan lagunya, Adinda dan Rio Febrian juga menyanyi lagu solo terbarunya, Aku Bertahan. Ello dengan gayanya yang tersendiri turut membuat persembahan bersama Siti Sarah dengan lagu mereka, 1′ll Feel Good. Azharina yang bergaya dengan gaun petang rona merah menyampaikan dua lagu, Rawan dan Rasa.
Manakala barisan pelakonnya pula tampil di pentas untuk acara cabutan bertuah dan diminta menghiburkan bos serta setiausaha menerusi permainan ala program Sehati Berdansa dan membuat drama sebabak klip video. Oleh itu mereka diminta memilih pasangan masing-masing ke pentas.
Namun, di sebalik segala keindahan yang ditampilkan kepada sekalian yang hadir pada majlis itu, rupanya ada agenda tersembunyi. Ada artis tidak tahu mereka perlu bekerjasama menggayakan sut tajaan Lord’s Tailor untuk menjayakan Minggu Setiausaha di hotel itu apabila butik pakaian lelaki terkenal itu selaku penaja utama.
Mereka tidak kisah untuk bekerjasama dengan butik itu kerana menghargai sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada mereka. Cuma mereka agak terkilan kerana tiada siapa beritahu yang mereka perlu menjayakan Minggu Setiausaha itu kerana pada mulanya mereka diberitahu perlu hadir dengan pakaian yang direka khas untuk muncul pada majlis anjuran butik itu sendiri.
Pada saat akhir baru tahu mereka dikehendaki menggayakan pakaian itu pada Minggu Setiausaha selepas membacanya di akhbar dan gambar mereka terpampang pada kain rentang hotel itu. Sudahlah begitu, mereka juga tidak diberitahu mengenai atur cara dan ‘tugasan’ mereka dalam majlis itu.
Segala yang berlaku secara tiba-tiba dan atas nama profesionalisme serta menjaga adab sebagai orang Melayu, dalam senyum kelat mereka terpaksa akur kehendak penganjur.
Seperkara lagi ia bukan majlis amal. Pihak hotel mengenakan bayaran RM290++ dan RM350++ untuk seorang. Semua meja penuh namun atas alasan menghargai sokongan Lord’s Tailor, memberi publisiti dan promosi kepada semua artis terbabit, mereka muncul secara percuma.
Permulaan atur cara yang sangat hebat apabila semua artis bergambar solo dan beramai-ramai di pentas luar dewan berlatarkan tirai merah dan jambangan bunga memercikkan kemewahan majlis. Sebaik atur cara bermula, semua artis melangkah dengan begitu segak dan bergaya masuk ke tengah dewan.
Kemunculan mereka menerima tepukan gemuruh hadirin apatah lagi bukan mudah bertemu artis pujaan terutama yang datang dari seberang.
Namun langkah yang dianggap gah, hebat dan bergaya itu hanya setakat itu saja apabila tiada ruang khusus disediakan untuk mereka duduk menyaksikan perjalanan majlis itu. Selepas bergambar seketika dengan hadirin, semua artis dilihat terpaksa berlegar di luar dewan. Artis Indonesia yang menginap di hotel itu khabarnya terpaksa menunggu di bilik masing-masing sementara menunggu giliran mereka membuat persembahan.
Manakala artis lain pandai-pandailah membawa diri sehingga majlis berakhir sekitar jam empat petang. Bayangkan sepanjang hampir empat jam sepanjang acara berlangsung, mereka mundar-mandir tanpa tujuan. Ada yang terpaksa membuang perasaan malu mengambil inisiatif sendiri mencari tempat duduk dengan menumpang di meja hadirin.
Alasan tidak disediakan meja dan kerusi untuk artis kerana kononnya konsep acara hari itu mereka dikehendaki bermesra dengan hadirin. Bukankah suatu alasan yang tidak logik dan janggal sepanjang majlis itu berlangsung artis terpaksa berjalan dari meja ke meja, menayang muka mereka.
Secara profesionalnya, adakan satu sesi khas untuk hadirin bermesra dan bergambar dengan artis. Atau paling tidak, hadirin boleh mendekati artis yang mereka minati. Bukannya dengan cara artis itu terpaksa mundar-mandir dalam dewan itu. Penganjur juga tidak menyediakan makan untuk artis. Apa jua alasan diberikan penganjur, mereka melayan artis seperti tiada harga diri.
Sesungguhnya dalam limpahan populariti yang diterima, semua artis itu masih tahu menghargai jasa pelbagai pihak yang banyak membantu membentuk penampilan diri mereka tetapi ada pula yang seolah-olah mempergunakan mereka demi kepentingan sendiri.
Ketika ditemui selepas majlis berakhir, Bill menjelaskan dia terpaksa berulang-alik hampir empat bulan untuk bertemu syarikat rakaman dan pengurusan artis di Indonesia sebelum mereka memberikan persetujuan muncul pada majlis ini.
“Untuk menjalinkan persahabatan artis dua negara, saya gabungkan artis Indonesia dan Malaysia membuat persembahan. Mereka bersetuju kerana sebelum ini pun Jaclyn Victor pernah merakamkan lagu duet dengan Rio Febrian. Saya sediakan sut Lord’s Taylor untuk mereka. Manakala tiket penerbangan dan penginapan oleh Hotel Istana.
“Sempena kedatangan mereka ke sini juga, artis yang ada album seperti Ello, Delon dan Rio Febrian mengambil peluang itu mempromosikan album baru mereka. Mereka yang berlakon pula saya uruskan janji temu mereka dengan produser filem dan drama tempatan. Mungkin boleh buat filem atau drama usaha sama dua negara.
“Kemunculan artis tempatan pula sebagai sokongan kepada Lord’s Tailor yang selalu menaja sut untuk mereka. Untuk hari ini, setiap sut yang ditaja berharga RM3,500 hingga RM5,000 dan diberi terus kepada artis. Mereka juga tahu tiada bayaran. Penyanyi pun membuat persembahan percuma kerana mereka sudah lama teringin hendak berduet dengan penyanyi Indonesia. Inilah yang dikatakan ’sama-sama menang’.
“Penganjur juga tidak menyediakan meja dan makanan untuk artis kerana mereka sudah makan awal. Konsep majlis ini artis perlu menghiburkan setiausaha. Jika artis duduk, nanti dikatakan tidak mesra,” katanya.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;
Harian Metro