Winnie Kok Kini Winnie K
August 31, 2008
SELEPAS lama menanti akhirnya dia muncul. Kali ini bukan sahaja dengan album baru malah dengan nama baru, Winnie K atau dahulu dikenali dengan nama Winnie Kok.
Kau Ada Di Sini merupakan album sulungnya dalam bahasa Melayu selepas menghasilkan tiga buah album Mandarin.
Diterbitkan di Indonesia oleh Trinity Optima Productions yang turut dinaungi penyanyi Rossa dan kumpulan Ungu, album ini mendapat sambutan memberansangkan di sana.
Lagu Aku Ada Di Mana juga merupakan single pertama Winnie yang dicipta oleh Dewiq yang menjadi siulan para pendengar di negara seberang.
Walaupun diterbitkan oleh syarikat di Indonesia, album ini memuatkan lagu-lagu ciptaan komposer terkenal tempatan antaranya Ajai, Tam Spider, Cat Farish, Audi Mok dan Nurul.
Bertemakan cinta, 12 lagu dimuatkan dalam albumnya ini dengan kebanyakan lagu-lagu yang ditampilkan berentak rancak.
Antara lagu-lagu lain yang ditampilkan adalah Di Taman Magis, Sampai Bila, Kekasih Gelapmu, Cahayakan Cinta dan Tak Bisa Memilih.
Winnie turut berkolaborasi dengan Cat Farish, Shazee dan Caprice untuk lagu-lagu Keahirnya, Untuk Kita Bersatu dan Hatiku Tak Tahan Lagi.
Album: Kau Ada Di Mana – Winnie K
Edaran: Warner Music Malaysia
Utusan Malaysia
Terus Kekal Identiti Rap
August 26, 2008
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Rap
KITA berjaya akhirnya. Kemenangan kumpulan One Nation Emcees (ONE) di konsert akhir Gang Starz 2 (GS2), malam kelmarin, bagai menebus kembali maruah negara selepas tahun lalu peserta tuan rumah tewas di gelanggang sendiri di tangan wakil Indonesia, The Lima.
Barangkali ada yang menganggap keputusan itu berat sebelah, namun biarkan mereka dengan andaian masing-masing. Apa yang nyata, kemenangan ONE yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3 itu sesuatu yang cukup dinanti-nantikan rakyat negara ini dan ia keputusan yang ‘neutral’.
Mengapa dikatakan sebegitu rupa, kerana ONE bukan saja mendapat undian SMS (khidmat pesanan ringkas) penonton paling tinggi, malah turut meraih mata selesa juri profesional mewakili 50 peratus.
Dari segi persembahan, ternyata kumpulan ini mempunyai ramai penyokong setia dan ia terbukti setiap kali nama ONE dilaungkan pengacara, Fara Fauzana dan Faizal Tahir, ribuan penonton menjerit simbolik tanda sokongan mereka.
Kejayaan ONE ini sekali gus membenarkan mereka membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai, AS$100,000 (RM330,000) berserta trofi dan kontrak rakaman.
Penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.
Kumpulan dianggotai Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), 21, Nur Hasan Baias (Jojoe), 32, Mohd Norzaidi Edris (Zydee), 26, dan Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae), 25, turut menerima hadiah sumbangan Hotlink selaku penaja rasmi iaitu wang tunai RM10,000 dan pakej pelancongan ke Bali atas sejarah yang dilakar mereka sebagai peserta paling banyak menerima undian SMS sepanjang empat bulan GS2 berlangsung.
Mimi mewakili peserta ONE berkata, walaupun gembira dengan kejayaan mereka, dia melihat kemenangan itu sebagai satu tekanan kerana sedar tanggungjawab bertambah berat selepas ini.
“Sebagaimana yang dijanjikan, kami akan meneruskan perjuangan dan merencanakan karier seni yang lebih serius. Namun, buat masa ini kami mengambil peluang untuk berehat selepas empat bulan bertungkus-lumus menjayakan program ini.
“Jika berpeluang merakamkan album, kami mahu mengetengahkan konsep krump & blues selain terus mengekalkan identiti kami sebagai kumpulan rap.
“Berhubung wang yang dimenangi, kami mempunyai perancangan untuk membuka perniagaan selain membantu keluarga,” katanya.
Pada persembahan malam itu, ONE membawakan lagu Give It To You, Kuda Hitam, Madu & Racun dan Don’t Phunk With My Heart secara medley.
Bagaimanapun, gimik persembahan bersama penyanyi veteran, Datuk Jeffrydin menerusi lagu Kenanganku dan Mas Mona memperlihatkan daya kreativiti yang tinggi daripada kumpulan ini.
Sementara itu Farid berkata, secara keseluruhan GS2 mengalami peningkatan baik dari segi jumlah undian dan penonton jika dibandingkan tahun lalu.
“Banyak yang kita pelajari daripada musim lepas. Melalui pemerhatian kami berpuas hati dengan penganjuran musim ini. Ramai orang sudah kenal apa itu GS.
“Dari segi undian dan rating juga mengalami peningkatan 40 peratus. Undian untuk ONE misalnya, 30 peratus lebih tinggi dari peserta lain.
“Beberapa kumpulan berkemungkinan diserapkan ke dalam Prime World kerana mereka mempunyai bakat yang bagus dan kami sentiasa ingin mengikuti perkembangan mereka dari masa ke semasa.
“Bukan sekadar ONE saja tetapi juga kumpulan lain. Selain itu kami juga sedang mengintai syarikat rakaman yang mampu menawarkan kontrak terbaik buat bintang GS2,” katanya.
Dalam konsert akhir di Stadium Malawati, Shah Alam itu, setiap peserta diwajibkan mendendangkan dua lagu satu secara berkumpulan termasuk duet bersama artis jemputan. Secara keseluruhan, semua peserta memberi persembahan membanggakan.
Barangkali konsert akhir satu-satunya peluang yang tinggal untuk membuktikan kemampuan sekali gus meraih hadiah lumayan yang ditawarkan.
Bagaimanapun, kolobrasi kumpulan D’Reborn dan penyanyi sensasi Dayang Nurfaizah yang diberikan gelaran Beyonce Knowles Malaysia menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta, London Bridge dan Baby Boy paling meninggalkan kesan.
D’Reborn dari Indonesia dan dianggotai Daniel Meskers Tomodok (Akung), 28, Raymond Colliam Loke (Monte), 22, Alexander C Nubatonis (Alex), 23 dan Marian Marcelona Christy (Christy), 23, turut mempertaruhkan lagu Because Of You, Taman Rashidah Utama dan Roman Picisan.
Manakala, satu lagi kumpulan mewakili tuan rumah, Akasia memberi persembahan sengit dan penuh warna menerusi lagu Ting Ting, Dondang Dendang dan Hatinya Tidak Tahan duet bersama ratu etnik, Noraniza Idris.
Akasia dianggotai lima gadis manis, Noorhafizah Sulaiman (Cah), 20, Nurul Ramadhanis Ahmad (Nurul), 25, Siti Halijah Dolah (Et), 27, Suria Mawarni Ramlan (Suria), 26, dan Ezdianie Hayatie Omar (Nanie), 22, turut memperdengarkan lagu Layar Batuta, Salam Terakhir, Destinasi Cinta dan Joget Siapa Dia.
Manakala, Paragon Child tampil dengan persembahan energetik bersama artis undangan mereka, Ezlynn menerusi lagu Hi Hi Bye Bye dan Hips Don’t Lie.
Pun begitu, persembahan peserta berasal dari Filipina dan dianggotai Julius C Lacandula (Julz), 20, Jerwin B Nicomedez (Ewen), 18 dan Rainner Melgarejo (RJ), 24, menerusi set ke-2 dilihat lebih menyerlah dari segi vokal.
Mereka menyampaikan lagu Seribu Tahun, It’s Gonna Be Me dan Impossible Dream lebih baik sekali gus mendapat pujian positif dari juri terutamanya juri jemputan, Syafinaz Selamat.
Begitu juga dengan 3.5 yang dibarisi tiga gadis jelita dan seksi, Jelicca Mateo (Jeli), 24, Sherylad B Deza Virgen (Sharra), 27 dan Stephanie Lazaro-Bainbrigge (Stef), 28, yang tampil dengan persembahan mempesonakan berbanding konsert mingguan sebelum ini.
Paduan suara antara tiga wanita Filipina ini dengan Lah Ahmad menerusi lagu Ceritera Cinta dan Endless Love disampaikan penuh penghayatan.
Manakala untuk set kedua, 3.5 melontarkan vokal hebat mereka menerusi lagu Survivor, Power Of Love, De Ja Vu dan Proud Mary.
Juri yang terbabit di konsert final ialah Sheikh Haikal dan Ajai selaku juri tetap manakala Syafinaz dan Audi Gemora yang diterbangkan khas dari Filipina selaku juri jemputan.
Sistem penjurian masih mengekalkan format di konsert mingguan iaitu 50 markah daripada juri sementara 50 lagi SMS penonton.
Konsert yang dibanjiri lebih 12,000 penonton itu dihangatkan lagi dengan persembahan kumpulan Matta dari Indonesia yang membawakan lagu Ketahuan dan Playboy manakala juara GS musim pertama, The Lima memilih Buronan Cinta dan Separuh Masa.
Apa kata mereka
RJ (PARAGON CHILD) :
“MENGIMBAS kembali persembahan sebelum ini kami tidak berasa akan ke peringkat akhir apatah lagi persembahan kami sering mendapat kritikan juri. Pernah pada satu minggu kami berasa akan disingkirkan.
“Justeru, dapat bertahan sampai tahap ini sudah membuatkan kami gembira. Buat masa ini kami belum sempat membuat perancangan kerana masih menunggu peluang dan kalau boleh masih mahu berkarya di sini.
“Kami begitu seronok tinggal di Malaysia dan Datuk Farid juga ada memberitahu saya dia mahu membantu jika kami mahu bekerja di sini.”
ALEX (D’REBORN) :
“TENTU sekali terbit perasaan kecewa apabila tidak menang kerana seluruh keluarga dan peminat mengharapkan kami berjaya dalam program ini. Apakan pula kami bukan orang senang.
“Namun, peluang sampai ke peringkat ini pun sudah membuat kami bersyukur. Tambah menggembirakan, beberapa hari yang lalu kami ada menerima tawaran untuk melanjutkan karier seni di Malaysia. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perbincangan.”
JELI (3.5) :
“3.5 sering hampir tersingkir namun kami berjaya bertahan sehingga konsert akhir. Walaupun sedar kedudukan SMS kami agak goyah namun itu tidak menghalang kami menyimpan impian untuk menang.
“Sekurang-kurang jika tewas pun secara bermaruah. Malam ini sebenarnya kami hanya ingin berhibur dan menghiburkan peminat dengan membawakan lagu yang cukup dekat dengan 3.5.
“Kesempatan ini terima kasih buat semua yang membimbing kami dan tahniah juga kepada ONE.”
Harian Metro
Gang Starz Siapa Jadi Pilihan?
August 24, 2008
Oleh WANDA IDRIS
ONE Nation Emcees, Akasia, D’Reborn, Paragon Child dan 3.5 – lima kumpulan, masing-masing dari Malaysia, Indonesia, Filipina akan berentap malam ini untuk menjadi yang terbaik dan seterusnya membolot hadiah berjumlah AS$100,000. Ini merupakan jumlah wang tunai paling lumayan pernah ditawarkan oleh sebuah program realiti terbitan tempatan.
Siapakah yang layak menjadi juara musim kedua Gang Starz? Adakah kumpulan dari Indonesia akan sekali lagi berjaya mengungguli pertandingan ini selepas kumpulan The Lima? Atau apakah musim ini kemenangan akan berpihak kepada kumpulan One Nation Emcees yang selalu tampil dengan persembahan penuh bertenaga?
Mungkin juga Paragon Child yang dianggotai oleh remaja comel dengan genre R&B akan memberi saingan bersama-sama Akasia dan 3.5 yang jelita?
Semuanya bergantung kepada persembahan yang ditampilkan pada malam ini yang akan disiarkan secara langsung di TV3 Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pukul 9 malam.
Dibandingkan musim pertamanya tahun lalu, finalis Gang Starz tahun ini nampaknya perlu bersaing sengit memandangkan jurang markah yang tidak jauh berbeza antara satu dengan lain.
Justeru agak sukar membuat ramalan terhadap kumpulan mana yang mampu membawa pulang wang kemenangan serta peluang rakaman album.
Perkara ini turut diakui penasihat vokal, Azmeer yang memberitahu, kelima-lima kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir itu mempunyai harapan yang sama untuk bergelar juara.
“Tahun ini bukan macam tahun lalu yang kita nampak ada jurang antaranya finalis. Tahun ini standard kualitinya meningkat menyukarkan kita untuk meramal siapa juaranya.
“Apa yang pasti, siapa yang kreatif dengan penampilan persembahan yang mantap mempunyai peluang cerah untuk menang,” kata Azmeer pada sidang akhbar Gang Starz akhir, Selasa lalu.
Sememangnya, pada persembahan akhir nanti, setiap kumpulan bukan sahaja dikehendaki mempamerkan kolaborasi keharmonian vokal antara ahli kumpulan malah perlu kreatif dalam membuat susunan muzik bagi lagu yang dipilih.
Ia menjadi sebahagian unsur kreativiti yang akan dinilai oleh juri pada malam akhir yang memberikan 50 peratus markah kepada markah keseluruhan.
Selain itu gerak tari persembahan yang ditampilkan oleh setiap kumpulan juga memberi kelebihan untuk menerima undian daripada peminat yang mewakili separuh daripada jumlah permarkahan.
Justeru, suara, rupa dan kualiti seorang bintang akan dinilai malam ini oleh para juri dan peminat dalam usaha mencari yang terbaik untuk bergelar juara.
“Apa yang dimahukan pada persembahan itu nanti tentunya kelainan dari segi kreativiti mencorakkan sesebuah lagu yang dipilih mengikut identiti kumpulan masing-masing,” tambah Azmeer.
Dikatakan tiga kumpulan – One Nation Emcees, D’Reborn dan Paragon Child mempunyai harapan yang cerah pada pertandingan akhir malam ini memandangkan persembahan bertenaga yang ditonjolkan pada saban minggu.
Selain persembahan yang konsisten, masing-masing juga sering menerima pujian juri malah Shamimi Amalina Norhisham (Mimi) daripada One Nation Emcees mengakui, kumpulannya yang dikatakan pesaing rapat D’Reborn dan Paragon Child menjanjikan persembahan terbaik pada malam final nanti. Apalagi kerana kedua-dua kumpulan itu mempunyai tahap energi yang sama dalam persembahan dengan kumpulan One Nation Emcees.
Namun tegas Mimi, pembabitan kumpulan Akasia dan 3.5 juga tidak boleh diperlekehkan memandangkan keserasian keharmonian vokal antara anggotanya biarpun genre mereka berbeza.
“Kerana itu malam final nanti, kami hanya mahu memikirkan soal memberikan persembahan terbaik, menonjolkan muzik kami dan selebihnya, mahu gembira di atas pentas.
“Kalau nak dikatakan peluang, saya rasa kelima-lima kumpulan mempunyai peluang sama rata. Pun begitu, kami akui, semangat juang kami adalah 200 peratus untuk bersaing dengan kumpulan dari Indonesia dan Filipina yang selama ini terkenal dengan kehebatan vokal mereka,” kata Mimi.
Memperjuangkan irama hip hop, selain Mimi, One Nation Emcees turut dianggotai oleh Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae) Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe),
Anggota kumpulan Akasia juga bersikap optimis dan menganggap mereka mempunyai harapan yang sama dengan kumpulan lain untuk menang biarpun genre pilihan mereka lebih kepada pop etnik.
Ini kerana kekuatan dan kemantapan vokal dan persembahan yang sekata daripada semua finalis dan sejak berlatih seminggu yang lalu, mereka juga mendapat tips daripada penyanyi jemputan pilihan mereka, Noraniza Idris.
“Seperti kata Azmeer, peluang adalah sama rata dan kami menganggap kami juga mempunyai harapan untuk menang jika rezeki berpihak kepada kami,” kata Siti Halijah Dolah (ET) mewakili teman-temannya Suria Mawarni Ramlan (Suria), Ezdianie Hayatie Omar (Nanie), Nurul Ramadhanis Ahmad Khuzari (Nurul) dan Noorhafizah Sulaiman (Cha).
“Siapa yang tak mahu menang dan saya percaya semua finalis bekerja kuat untuk mendapatkan gelaran juara,” kata anggota Paragon Child, Bagi Paragon Child, Julius C. Lacunda (Julz) pula.
Namun mereka berpendapat, berada di kedudukan apa pun, yang penting, mereka mahu memberikan persembahan mantap dengan menjalani latihan pesat selain menjaga stamina melalui senaman termasuk berjogging dan berenang.
D’Reborn pula mengakui sukar menjangkakan siapa yang mampu menduduki carta teratas pada malam final itu nanti memandangkan markah juri dan peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan talian tetap agak rapat antara satu sama lain.
Pun begitu, jika kemenangan berpihak kepada mereka, D’Reborn yang dianggotai oleh Alexander C. Nubatonis (Alex), Daniel Meskers Tomodok (Akung), Marian Marcelona Christy (Christy) dan Raymond Colliam Loke (Monte) telah menyimpan impian untuk mendermakan sebahagian daripada jumlah wang kemenangan kepada Sekolah Menengah Desa Cempaka, Nilai, bagi membantu pelajar kurang upaya di sekolah itu menjayakan projek Smart Agriculture Techno System.
Sementara dalam usaha memberikan persembahan terbaik mereka, tiga jelitawan 3.5 – Stephanie Lazaro-Bainbrigge (Stef), Sherylad B. Deza Virgen (Sharra) dan Jellica Mateo (Jeli) – mengakui sejak berjaya ke peringkat akhir, mereka sudah mula membuat persiapan rapi.
Selain mengadakan latihan yang bersungguh-sungguh, 3.5 juga mula membuat latihan untuk meningkatkan stamina selain menjaga pemakanan masing-masing.
“Ini peluang sekali seumur hidup. Pastinya kita mahu memberikan hanya yang terbaik,” kata Sharra yang mahu mempamerkan kelebihan masing-masing dalam usaha mencari markah penjurian tertinggi daripada juri dan penonton.
Pada malam ini, setiap finalis dikehendaki memberikan persembahan untuk dua buah lagu masing-masing didendangkan bersama kumpulan dan secara duet bersama artis jemputan.
Dalam usaha memberikan karya muzik mantap, One Nation Emcees memilih Datuk Jeffrydin sebagai artis undangan mereka dengan lagu pilihan Mas Mona dan Kenanganku. Bagi mereka, memilih lagu lama untuk diberi susunan muzik berkonsepkan hip hop adalah lebih mudah berbanding lagu-lagu masa kini malah Jeffrydin sendiri merupakan artis pujaan mereka.
“Beliau juga seorang yang sangat optimis selain amat memberikan kebebasan kepada kami dalam usaha memberikan nafas baru kepada lagu-lagunya,” kata Mimi. Bagi persembahan berkumpulan solo pula, One Nation Emcees memilih lagu-lagu Kuda Hitam, Madu Dan Racun serta Don’t Phunk With My Heart.
Paragon Child pula memilih Ezlynn memandangkan artis popular itu adalah antara artis yang mampu menyanyi dan menari dengan baik selain mahu menjadikannya penyeri.
Memilih lagu Hi Hi Bye Bye dan Hips Don’t Lie bagi kolaborasi mereka bersama Elzynn, lagu Seribu Tahun, It’s Gonna Be Me dan Imposibble Dream pula menjadi pilihan bagi lagu berkumpulan.
Lah V.E pula menjadi pilihan 3.5 sebagai artis jemputan dengan memilih lagu-lagu Ceritera Cinta dan Endless Love untuk kategori duet manakala solo berkumpulan pula lagu-lagu Power Of Love, Deja Vu dan Proud Mary.
D’Reborn yang memilih lagu Taman Rashidah Utama dan Roman Picisan untuk kategori berkumpulan solo bakal berkolaborasi dengan Dayang Nurfaizah dengan lagu pilihan Seandainya Masih Ada Cinta, London Bridge dan Baby Boy.
Sementara Akasia yang memilih Noraniza Idris bakal berduet lagu Ting Ting, Dondang Dendang dan Hatinya Tak Tahan dan memilih lagu Salam Terakhir, Destinasi Cintan dan Joget Siapa Dia untuk lagu persembahan berkumpulan.
Sementara itu, penerbit Gang Starz musim ini, Mohamad Suffian Isa memberitahu, talian undian sudahpun dibuka sejak malam 17 Ogos lalu dan bakal ditutup sehingga konsert akhirnya malam ini.
Diacarakan oleh Faizal Tahir dan Fara Fauzana, juri tetap iaitu Ajai dan Sheikh Haikel akan memberikan ulasan dan markah di samping dua dua juri jemputan dari Malaysia dan Filipina.
Konsert akhir ini juga bakal disiarkan ke Filipina dan Indonesia melalui siaran tertunda dengan dua artis undangan iaitu kumpulan The Lima dan Matta.
Menurut Suffian, setiap peserta final akan diberikan masa selama lima minit setengah untuk setiap persembahan dengan pemilihan artis jemputan adalah atas pilihan finalis sendiri.
Malah lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah pilihan masing-masing selepas mendapat pandangan daripada penasihat.
“Kita juga berbangga kerana artis jemputan memberikan komitmen terbaik mereka untuk menjayakan latihan bersama peserta akhir,” kata Suffian.
Suffian juga menjelaskan tidak dapat membawakan wakil semua negara bagi menjadi juri pada konsert akhir namun menegaskan juri yang dipilih akan bersifat neutral daripada segi penilaian dan pemarkahan.
Utusan Malaysia