Nabil Mampu Gugat Mawi, Siti?
April 11, 2009
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
Rap
SIAPAKAH yang bakal mengungguli trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi edisi ke-22 malam esok? Semua persoalan itu bakal terjawab pada malam kemuncak majlis gilang-gemilang ABPBH08 yang akan disiarkan secara langsung dari Arena of Stars, Genting Highlands di TV3, jam 9 malam.
Senarai penuh pencalonan akhir ABPBH08 juga menyaksikan bintang realiti TV dan band indie tempatan antara 28 muka baru yang mendominasi beberapa kategori tertentu daripada seramai 80 penyanyi, pelakon dan personaliti disenaraikan sekali gus bersaing dengan nama popular.
Kategori paling mencuri tumpuan sudah pasti gelaran Bintang Paling Popular yang bakal membawa pulang pelbagai hadiah lumayan termasuk kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.
Ramai menjangkakan malam kemuncak acara berprestij ini bakal menyaksikan kejutan kerana ada nama baru yang akan menang beberapa kategori utama dari 16 kategori dipertandingkan.
Calon kegemaran yang disebut-sebut memberi saingan sengit kepada Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza untuk membawa pulang trofi Bintang Paling Popular ialah bintang yang digilap daripada program realiti Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 26 atau nama komersialnya, Nabil Raja Lawak.
Nama dan populariti Nabil meningkat dengan mendadak dalam tempoh setahun berkecimpung sebagai anak seni. Setakat ini tujuh filem dilakonkan iaitu Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…hantu.
Selain berlakon filem, Nabil yang hangat bercinta dengan pelakon Irma Hasmie ini juga melebarkan sayapnya sebagai pengacara dan terbaru gandingannya dengan Raja Azura dalam Ewah-Ewah.
Difahamkan, undian awal ABPBH08 membuktikan, Nabil menerima jumlah undian melebihi jumlah undi diterima Mawi bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular. Jika jangkaan itu tepat, gelaran yang dipertahankan Mawi sejak tiga tahun lalu akan beralih kepada Nabil, sekali gus melakar sejarah baru dalam anugerah berpestij ini.
Kejayaan ini sekali gus menjadikan Nabil artis komedi kedua berjaya selepas Saiful Apek bergelar Bintang Paling Popular.
Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini juga berhadapan laluan mudah untuk mengetepikan artis kelahiran AF seperti Nubhan dan Riz. Begitu juga dua lagi calon, Aiman dan Fizo dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular.
Kemungkinan besar, Nabil juga bakal mengetepikan nama besar seperti AC Mizal, Afdlin Shauki, Saiful Apek dan Zizan Raja Lawak untuk Artis Komedi Popular.
Betapa hebat pun pengaruh besar Nabil dalam industri seni tanah air, dia lebih suka merendah diri dalam segala hal menyedari baru setahun jagung bergelar anak seni. Malah kata Nabil, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.
“Saya tidak terfikir pun untuk menjadi finalis pada acara berprestij itu. Sebenarnya, saya cuma jangka untuk tampil menjadi penyampai anugerah, tetapi sebaliknya nama saya dicalonkan dalam dua kategori sekali gus.
“Tapi jika menang nanti, saya tetap bersyukur dan menganggap ia bonus sekali gus menyuntik semangat untuk bekerja lebih keras lagi,” katanya.
Antara artis muda yang menyerlah dan memberi saingan sengit bagi kategori Artis Baru Wanita Popular
ialah bintang yang digilap dari AF, Stacy. Dia juga bersaing dengan empat lagi calon iaitu Ayu (OIAM), Lisa Surihani, Sari Yanti dan Scha.
Namun, dia berhadapan cabaran sengit kategori Penyanyi Wanita Popular kerana berhadapan dengan Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Mila dan Elyana. Bagi Stacy, sekadar dicalonkan dalam senarai Top 5 dalam ABPBH 2008, sudah cukup bermakna buatnya.
“Saya tidak mengharap kemenangan untuk Penyanyi Wanita Popular kerana semua sedia maklum, Siti sukar digugat artis lain.
“Saya juga bersaing dengan ramai bakat baru yang tidak kurang hebatnya untuk Artis Baru Wanita Popular. Kalau menang, ia rezeki tapi kalau kalah, saya akan bekerja lebih keras lagi untuk pencalonan tahun depan,” katanya.
Seorang lagi calon yang tidak boleh dipandang ringan untuk Artis Baru Wanita Popular ialah pelakon yang popular menerusi drama Kaisara, Sari Yanti.
“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana saingan kategori ini hebat belaka,” katanya.
Kategori penyanyi Duo/Berkumpulan Popular menyaksikan penguasaan band indie tempatan seperti Estranged, Hujan dan Meet Uncle Hussain. Ketiga-tiga band ini mempunyai kekuatan dan pengikut tersendiri.
Kemunculan pelakon kacak kelahiran Singapura, Aaron Aziz untuk Pelakon TV Lelaki Popular juga tidak boleh diperlekehkan. Aaron berhadapan calon berpengalaman Rosyam Nor dan pelakon popular lain, Que Haidar, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad.
Ashraf yang popular dalam Puaka Ning Rapik dan drama bersiri Yusuff juga tidak boleh dipandang ringan dan mampu menggugat Rosyam yang menggungguli kategori ini sejak 2004. Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Rosyam mengungguli kategori itu selama tujuh kali sejak 1997.
Sementara itu Siti yang kini mempertaruhkan bingkisan album terbarunya Lantera Timur, dijangka terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular yang sudah sedekad dalam gengamannya.
Apapun kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Siti ternyata tidak menggugat populariti isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sekali gus mengetepikan dengan mudah semua calon lain.
Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan persaingan tiga nama besar dalam industri lakonan, Erra Fazira, Vanidah Imran dan Maya Karin berbanding dua calon baru, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani.
Laluan artis kontroversi, Fasha Sandha untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular nampaknya tidak mudah kerana kemunculan artis yang lebih segar dan laris ketika ini seperti Diana Danielle.
Manakala kehadiran Saiful Apek sekali lagi dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dikatakan boleh menggugat peluang Rosyam Nor untuk mengungguli kategori berkenaan ini.
Untuk Artis Komedi Wanita Popular, kehadiran muka baru, Amyza Aznan, Norkhiriah, Ruminah Sidek dan Sheila Mambo sukar menggugat penguasaan Sheila Rusly yang mengunggulinya sejak 2003. Hanya Kenchana Dewi dicalonkan kali kedua.
Rasanya sukar bagi peminat mengundi pemenang baru kerana memikirkan hadiah lumayan menanti mereka sebaliknya lebih selamat memilih pemenang tahun lalu. Saban tahun ABPBH menyaksikan keputusan sama mungkin kerana sikap berhati-hati pembaca.
Aznil Nawawi juga mengungguli kategori Pengacara TV Lelaki Popular sebanyak lima kali. Tahun ini Aznil bersaing dengan senarai tradisi, AC Mizal, Faizal Ismail dan Ally Iskandar. Aznil juga dicalonkan untuk Penyampai Radio Lelaki Popular.
Fara Fauzana pula dijangka berhadapan laluan mudah untuk mengungguli Pengacara TV Wanita Popular dan bakal mengulangi kejayaan tahun lalu untuk Penyampai Radio Wanita Popular yang dirampasnya dari Linda Onn yang mengungguli kategori itu enam tahun berturut-turut sejak 2001.
Kategori Penyanyi/Artis Nasyid Popular pula menyaksikan nama besar dalam industri nasyid, Rabbani, Hijjaz dan Raihan berhadapan saingan muka baru, Akhil Hayy dan Aiman.
SENARAI FINALIS ABPBH08
1. Pengacara TV Lelaki Popular
* AC Mizal
* Ally Iskandar
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Faizal Tahir
2. Pengacara TV Wanita Popular
* Abby Fana
* Cheryl Samad
* Fara Fauzana
* Juliana Evans
* Nurul Alis
3. Pengacara Radio Lelaki Popular
* AG
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Khairil Rashid
* Kieran
4. Penyampai Radio Wanita Popular
* Abby Fana
* Fara Fauzana
* Leya
* Linda Onn
* Nana
5. Artis Komedi Lelaki Popular
* AC Mizal
* Afdlin Shauki
* Nabil
* Zizan
* Saiful Apek
6. Artis Komedi Wanita Popular
* Amyza Aznan
* Kenchana Dewi
* Noorkhiriah
* Ruminah Sidek
* Sheila Mambo
7. Artis Baru Lelaki Popular
* Aiman
* Fizo
* Nabil
* Nubhan
* Riz Artis
8. Baru Wanita Popular
* Ayu OIAM
* Lisa Surihani
* Sari Yanti
* Scha
* Stacy
9. Penyanyi/Artis Nasyid Popular
* Akhil Hayy
* Aiman
* Hijjaz
* Raihan
* Rabbani
10. Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular
* Estranged
* Fabulous Cats
* Hujan
* Meet Uncle Hussain
* M Nasir & Malique
11. Penyanyi Lelaki Popular
* Adam
* Aizat
* Amy Search
* Mawi
* Nubhan
12. Penyanyi Wanita Popular
* Elyana
* Jaclyn Victor
* Mila
* Siti Nurhaliza
* Stacy
13. Pelakon Filem Lelaki Popular
* Farid Kamil
* Que Haidar
* Rosyam Nor
* Rusdi Ramli
* Saiful Apek
14. Pelakon Filem Wanita Popular
* Erra Fazira
* Liyana Jasmay
* Maya Karin
* Sharifah Amani
* Vanidah Imran
15. Pelakon TV Lelaki Popular
* Aaron Aziz
* Aqasha
* Ashraf Muslim
* Fahrin Ahmad
* Rosyam Nor
16. Pelakon TV Wanita Popular
* Abby Abadi
* Diana Danielle
* Dynas
* Fasha Sandha
* Rita Rudaini
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;
Harian Metro
Karnival Seisi Keluarga
April 3, 2009
Oleh Nor Akma Samudin
akmar@hnmetro.com.my
Rap
AHAD lalu, seawal jam 6 pagi, kanak-kanak bersama ibu bapa masing-masing berkumpul di padang Pusat Equestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur untuk menyertai Karnival Vitagen Mempersembahkan Sukaria Ceria.
Karnival yang bermula jam 6.30 pagi itu ternyata tidak melumpuhkan semangat pengunjung, malah mendapat sambutan hangat. Ini tahun ketiga karnival itu diadakan. Pada tahun pertama dan kedua, karnival itu dinamakan Run For Fun Astro Ceria. Ia diadakan setahun sekali di dua negeri. Karnival itu juga sengaja diadakan awal pagi kerana faktor cuaca memandangkan kanak-kanak mudah penat apabila cuaca panas.
Pengurus Saluran Astro Ceria, Azlin Reza Azmi, berkata pada tahun pertama, karnival diadakan di Kuala Lumpur (KL) dan Pulau Pinang. Pada tahun kedua pula, ia diadakan di KL dan Johor. Sekali lagi pada tahun ini, karnival itu diadakan di KL dan Pulau Pinang. Jika sebelum ini aktiviti karnival lebih tertumpu kepada peserta kanak-kanak, namun kali ini, aktiviti untuk keluarga turut diadakan.
“Dua tahun pertama, kami mengadakan sukan maraton yang disertai mereka berusia 7 hingga 14 tahun. Tetapi untuk tahun ini, tiada sukan maraton di mana kami menyediakan pelbagai aktiviti seperti peraduan pakaian beragam dan permainan sukaneka. Penyertaan juga terbuka kepada mereka yang berusia 3 hingga 7 tahun.
“Oleh kerana kanak-kanak yang datang diiringi keluarga, karnival ini juga menyediakan hadiah kereta untuk kategori pakaian beragam keluarga. Ia dimenangi keluarga Abdil Qudus Abdul Rahman (31),” katanya.
Tambahnya, pemenang kanak-kanak untuk pakaian beragam menerima hadiah hamper Toys R Us, Sony Playstation 3, Sony Playstation 3, Sony Playstation Portable dan Komputer Riba Mikro.
“Karnival ini memberi peluang kepada orang ramai terutama pelanggan Astro merasai pengalaman menjadi sebahagian daripada warga saluran Astro Ceria dengan pelbagai aktiviti bersifat dua hala. Jumlah penyertaan amat menggalakkan iaitu 13,402 orang.
“Ini mendorong pihak Astro terus mengatur pelbagai program dan aktiviti menarik yang diberi suntikan elemen baru dan segar serta padat dengan pengisian hebat khusus untuk pelanggan.
“Perancangan rapi diatur untuk seisi keluarga ini menjanjikan kelainan yang pasti memikat dan bakal memahatkan kenangan indah.
“Matlamat kami menyediakan platform untuk menjana daya kreativiti demi memberi peluang kepada masyarakat terutama kanak-kanak menunjukkan bakat dan potensi serta berekspresif secara bebas melalui aktiviti Peraduan Pakaian Beragam, aktiviti bersukan di Zon Ceria dan karnival.
“Contohnya, untuk Peraduan Pakaian Beragam, mereka boleh menghasilkan pakaian beragam menggunakan barangan terpakai. Secara tak langsung, ia dapat membantu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan selain berhibur dan bergembira pada waktu sama,” katanya.
Jelas Azlin, pada karnival itu juga, kanak-kanak berpeluang bertemu dengan pelakon siri Kapten Boleh, Hikayat Putera Shazlan, Mat Kacau, Abang Zoey, juara Raja Lawak Musim tiga iaitu kumpulan Sepah, kumpulan Chot dan Amir. Juga ‘wajah’ Oasis seperti Cikgu Omar, Akhil Hayy, Ahmad Kusyairi dan ustaz Dinie dengan lebih dekat.
Pengunjung karnival juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian Mila, Zahid, Syawal AF, Rizal AF, Dina dan Farah Ashikin.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Amirullah.
Selain itu, drama paling popular di kalangan kanak-kanak, Geng Bas Sekolah sedang mencari pelakon baru berusia 7 hingga 10 tahun untuk menggantikan pelakon sedia ada yang semakin meningkat remaja.
Penggambaran akan dilakukan pada musim sekolah. Mereka yang berminat boleh datang ke uji bakat di nombor 7, Jalan Semangat, 46200 Petaling Jaya, 18 dan 19 April ini, jam 10 pagi hingga 5 petang. Bawa bersama gambar berukuran 4R.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154″;
innity_width = “250″;
innity_height = “220″;
Harian Metro
Perarakan Maulidur Rasul Lambang Kesatuan Ummah
March 9, 2009
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
PERARAKAN Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan didahului Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Seremban, semalam.
Hujan tak jejas kehadiran 100,000 peserta sambutan peringkat kebangsaan di Dataran Merdeka
HUJAN rahmat pada pagi semalam, 12 Rabiulawal 1430 Hijrah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tidak sedikitpun melunturkan semangat 100,000 hadirin yang berkumpul sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Berserta paluan kompang diiringi bacaan selawat memohon kesejahteraan ke atas Rasulullah SAW oleh 167 kontinjen yang mengambil bahagian, semangat penyatuan terserlah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah/2009 Masihi.
Berlindung sementara di kawasan persekitaran, hadirin kembali memenuhi padang Dataran Merdeka untuk menyaksikan kemuncak acara iaitu majlis pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima termasuk tokoh Anugerah Perdana yang julung kali diperkenalkan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perarakan kontinjen dari lapan masjid yang mengambil bahagian menuju ke satu arah adalah simbolik kepelbagaian dalam kumpulan Islam yang mungkin ada perbezaan pendapat, tetapi bersatu kerana agama.
“Penyatuan umat Islam di negara ini menampakkan kesan positif dan diharap berterusan. Perbezaan pendapat boleh ada tetapi jangan sehingga membawa perpecahan,” katanya pada sidang media selepas majlis itu, semalam.
PESERTA yang mengambil bahagian sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan berarak di Dataran Merdeka, semalam.
Majlis sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah/2009 Masihi bertemakan ‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’ atau Penyatuan Pemangkin Ummah Terbaik bermula dengan perarakan kumpulan kenamaan diketuai Ahmad Zahid dari Masjid Negara menuju Dataran Merdeka.
Ini diikuti perarakan membabitkan kontinjen kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah dari lapan masjid yang mengambil bahagian.
Masjid terbabit ialah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Bukit Aman, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Pakistan dan Masjid As-Syakirin KLCC.
Majlis dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada penerima sebagai pengiktirafan sumbangan mereka melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan negara dan rakyat.
Mereka ialah Penerima Anugerah Perdana, Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba; Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma’amor Osman; Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Sarawak, Mortadha Lau Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd Yunus Pathi Mohd.
Dua penerima muda yang turut dipilih ialah johan kategori bacaan/suara terbaik Musabaqah Hafazan al-Quran 30 juzuk pada Anugerah al-Quran peringkat Antarabangsa Dubai 2008, Muhamad Ahmad Zahid dan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Muhammad Haziq Samrat.
Penerima Anugerah Perdana menerima hadiah wang tunai RM50,000, plak dan sijil penghargaan, sementara lima penerima lain menerima RM22,000 setiap seorang berserta plak dan sijil penghargaan.
Menyentuh pemilihan dua penerima muda itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz, berkata mereka berjaya menampilkan semangat sebagai personaliti dicontohi.
“Adik Muhammad berjaya menghafaz al-Quran pada usia 10 tahun ini pencapaian yang boleh dicontohi mereka sebayanya. Muhammad Haziq pula yang mengalami kecacatan kekal boleh meneruskan kehidupan secara normal tanpa rasa kecewa.
“Semangat ini dapat dilihat dalam sirah Rasulullah SAW yang dilahirkan sebagai anak yatim dan dalam keadaan tertekan pada zaman jahiliah berjaya menghadapi dugaan seterusnya menjadi teladan. Inilah semangat yang kita ingin ada dalam umat Islam hari ini,” katanya.
Mengakui anugerah yang diterima itu terlalu tinggi buat dirinya dan datang sebagai amanah, Muhammad yang bersyukur dengan kurniaan itu berazam meningkatkan ilmu dalam bidang hafazan serta terus meningkatkan akhlak yang baik.
Baginya, status sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul bukan satu tekanan, sebaliknya pendorong untuk mencetuskan sesuatu yang baik yang boleh dijadikan contoh supaya remaja sebayanya terarah kepada kegiatan bermanfaat untuk diri, keluarga, agama serta negara.
Sementara Muhammad Haziq mengharapkan, kegembiraan terpilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul akan menguatkan semangat kanak-kanak kurang upaya yang lain untuk menerima kekurangan mereka secara positif.
“Pasti saya gembira menerima anugerah ini kerana saya tidak sangka dipilih sebagai seorang penerima.
“Kecacatan bukan kelemahan sebaliknya cabaran yang sepatutnya menguatkan lagi semangat untuk berjaya seperti mereka yang normal,” katanya yang bercita-cita menjadi peguam.
Sambutan perhimpunan kali ini turut diserikan 1,430 peserta menaiki motosikal berkuasa tinggi dan motosikal berkuasa rendah yang menggabungkan kalangan profesional serta remaja dalam gerakan dakwah.
Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan bermesej mengimbau kehidupan Rasulullah SAW oleh kumpulan al-Gebra, Nakasutra, Akhil Hayy, Waheeda, Yassin dan pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful diiringi 60 pelaku gerak dan 40 kanak-kanak.
Berita Harian