Stesen TV Tetap Siar Drama Lakonan Ako
April 23, 2009
KUALA LUMPUR: Semua stesen TV akan terus menyiarkan drama lakonan Ako Mustapha atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 37, walaupun pelakon itu dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 atas kesalahan berkhalwat, dua tahun lalu.
Empat stesen TV iaitu Astro, RTM, TV9 dan TV3 ketika dihubungi Berita Harian semalam bersependapat adalah tidak adil untuk mengenakan tindakan ke atas pelakon itu kerana ketika drama lakonannya disiarkan, kes pelakon itu masih dalam peringkat perbicaraan.
Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahya, berkata RTM setakat ini tidak membuat sebarang tindakan ke atas Ako seperti menggantung atau melarang penyiaran drama dan program membabitkan pelakon itu.
“Bagaimanapun, apa-apa keputusan biarlah diputuskan menteri (Menteri Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Kesenian),” katanya.
Mahkamah Syariah Gombak Timur kelmarin mengenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 ke atas Ako selepas beliau didapati bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan pasangannya, dua tahun lalu.
Berita Harian
Penjara Dakwah Ako
April 22, 2009
Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
HULU KLANG: “Hukuman ini sebagai satu dakwah kepada Ako dan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan dilarang agama,” kata Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad ketika menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 terhadap pelakon terkenal, Ako Mustapha.
Ako Mustapha atau Muhaizat Ahmad Mustapha, 37, disabitkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam selepas mengaku bersalah atas dakwaan berkhalwat dengan seorang wanita bukan beragama Islam.
Pelakon itu dituduh berkhalwat dengan jurusolek artis, Anang Sagunting, 25, di Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa, jam 1.20 pagi, 27 Jun 2007.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ako datang menyerah diri ke mahkamah pada 20 Januari lalu dan membuat pengakuan bersalah selepas waran tangkap dikeluarkan berikutan kegagalannya hadir ke mahkamah bagi mendengar prosiding.
Wan Mahyuddin dalam penghakimannya, berkata Ako sebagai seorang Muslim sepatutnya memberi contoh yang baik kepada pasangannya bukan Islam dan tidak seharusnya duduk berdua-duaan kerana ia akan membawa kepada dosa lebih besar iaitu zina.
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan akhirat, maka jangan dia berkhalwat dengan perempuan tanpa mahram. Tertuduh seorang pelakon dan menjadi ikutan serta idola terutama kepada remaja Islam.
“Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira masa tangkapan iaitu pada jam kira-kira jam 1 pagi, tertuduh mempunyai niat untuk bermalam di situ dan keadaan tertuduh yang hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju,” katanya.
Wan Mahyuddin berkata, mahkamah mengambil kira kegagalan Ako hadir bagi mendengar prosiding khalwat itu sejak mula disebut 2007 sehingga mahkamah mengeluarkan waran tangkap, awal Januari lalu.
“Perbuatan ini (tidak hadir) seolah-olah penghinaan kepada mahkamah. Walaupun dalam rayuan, ini kesalahan pertama yang dilakukan tertuduh, tetapi prinsip mencegah lebih diutamakan. Gejala sosial terlampau teruk walaupun hukuman maksimum dikenakan, ia tidak memberi kesan.
“Mereka seolah-olah bangga dengan perbuatan tidak bermoral ini. Kita perlu tutup lubang maksiat. Jika dijatuhkan hukuman ringan, kesalahan ini akan dianggap remeh. Mahkamah bimbang ia menjadi ikutan,” katanya.
Terdahulu peguam syarie, Zuhri Zabudin Budiman dalam rayuannya, berkata anak guamnya insaf dan kesal dengan perbuatan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.
Ako yang memakai kemeja biru dan berseluar hitam terkejut selepas keputusan dibacakan pada jam 10 pagi.
Zuri Zabudin memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.
Wan Mahyuddin memerintahkan permohonan itu difailkan serta-merta.
Sementara menunggu permohonan itu difailkan, pegawai membawa Ako ke pejabat agama sebelum permohonan penangguhan itu disebut semula di mahkamah pada jam 4 petang.
Zuri Zabudin dalam permohonannya itu berkata anak guamnya memohon pelaksanaan hukuman ditangguh sementara menunggu keputusan rayuan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Isteri Ako, seorang suri rumah, Kartina Shuaib Abdullah, 27, tidak bekerja. Jika hukuman penjara dikenakan, Ako sebagai pelakon akan hilang wang pendapatan untuk menyara keluarganya,” katanya.
Wan Mahyuddin dalam keputusannya membenarkan permohonan Ako untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu.
Bagaimanapun, beliau memerintahkan denda RM3,000 dibayar serta-merta dan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dikenakan.
Ako ketika ditemui enggan memberi komen sebaliknya hanya mengatakan: “Saya dalam proses menerima keadaan ini.”
Harian Metro
ΏAko Kena Penjara Tiga Bulan
April 22, 2009
Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my

AKO BERBINCANG dengan PEGUAMNYA, Zuri Zabuddin (kiri) disaksikan abangnya, Muhiddin (kanan) selepas diikat jamin RM2,000 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam.
KUALA LUMPUR •῀” Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam mengenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 ke atas pelakon Ako Mustapha setelah mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam di sebuah kondominium dua tahun lalu.
Bagaimanapun, mahkamah yang sama juga kemudiannya membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang membenarkan permohonan penangguhan itu bagaimanapun mengarahkan Ako membayar denda tersebut selain wang jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.
Ako yang ditemui setelah membayar denda dan jaminan petang semalam melahirkan rasa terkejutnya dengan hukuman tersebut.
•῀Terkejut sangat dan rasa tak percaya,•῀῝ katanya ringkas sebelum meninggalkan mahkamah dalam keadaan tergesa-gesa. Ako ditemani abangnya, Muhiddin dan seorang rakan.
Sementara itu, sejurus Wan Mahyuddin menjatuhkan hukuman, Ako kelihatan terpinga-pinga sambil melihat peguamnya, Zuri Zabuddin Budiman yang turut menggelengkan kepala seolah-olah tidak percaya dengan keputusan itu.
Bagaimanapun, dalam alasan penghakimannya, Wan Mahyuddin telah mengambil kira semua faktor termasuk ketidakhadiran pelakon itu ke mahkamah semenjak kes disebut pada 2007 sehinggalah waran tangkap dikeluarkan pada 20 Januari lalu.
Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.
Kosmo