Archive for the ‘Alicia Keys’ Category

‘Macam Artis Ditipu Penganjur’

April 23, 2009




Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Amylea sangat terkilan tidak berpeluang teruskan persembahan bertemakan ‘In Concert’

AMYLEA AZIZAN mengaku dia berasa cukup terkilan apabila dirinya diumumkan peserta yang tersingkir daripada persaingan pertandingan One In A Million Jumaat lalu. Bukan kecewa kerana gagal merebut RM1 juta yang ditawarkan, sebaliknya dia terkilan setelah tidak berpeluang mengadakan persembahan pada minggu yang bertemakan In Concert.

Katanya, dia amat menunggu detik muncul di pentas pada minggu terbabit, berikutan segala keringat sudah dicurahkan untuk menonjolkan kelainan. Pada minggu itu, semua peserta diminta mempersembahkan nyanyian yang kononnya dipetik daripada sebuah konsert bakal mereka pentaskan pada masa depan.

Menurut Amylea, dia berasakan seperti ‘artis yang ditipu penganjur persembahan’ apabila tidak berpeluang menunjukkan segala apa yang dirancang pada minggu berkenaan selepas muncul peserta kelapan disingkirkan daripada program terbabit.

“Pada malam ini (Jumaat lalu), saya memang ingin menonjolkan sesuatu yang rasanya belum pernah dipersembahkan artis Malaysia kepada peminat dalam konsert mereka. Hanya Tuhan yang tahu, betapa banyak tenaga saya curahkan untuk menjayakannya. Sebab itu, saya amat terkilan apabila diumumkan terkeluar daripada saingan,” katanya ketika ditemui selepas siaran langsung program itu di Sri Pentas 2, Shah Alam.

Ditanya apakah dia tidak terfikir langsung akan tersingkir pada minggu itu, Amylea memberitahu, pada setiap minggu sebenarnya dia berasakan sedemikian.

“Namun, saya tidak menjangkakan impaknya begitu hebat seperti yang rasakan ketika ini,” katanya yang merancang persembahan berjudul Growing Into My Music, dengan medley lagu Yesterday Once More daripada Carpenters, Fallin’ (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

Pada satu pertanyaan lain peserta berusia 22 tahun itu berkata, jauh di sudut hati tentunya dia turut menyimpan impian bergelar juara, seterusnya menggunakan wang kemenangan untuk menampung pengajian ke institusi pengajian muzik terkemuka seperti Kolej Muzik Berklee.

“Wang terbabit juga boleh saya kongsi bersama insan seni yang berbakat besar dalam penghasilan album, serta sama-sama berjuang memartabatkan muzik tempatan untuk bersaing dengan produk negara luar seperti Indonesia. Saya teringin sekali berkongsi kejayaan itu bersama pemuzik muda lain yang mempunyai keupayaan tinggi. Kejayaan pada OIAM bukanlah untuk mengejar glamor mahupun populariti,” ujar wanita muda ini.

Justeru, dia agak sedih apabila wawasannya itu tidak tercapai setelah gagal meneruskan saingan dengan hanya dua minggu saja lagi pertandingan berbaki.

Meskipun begitu, Amylea tidak pulang dengan tangan kosong. Setelah banyak berkorban – berjauhan dengan keluarga dan rakan – dia banyak menimpa pengetahuan dan pengalaman baru sepanjang kira-kira lima bulan pembabitannya dalam pertandingan berkenaan.

“Apabila berada dalam pertandingan ini, baru saya dapat rasakan betapa besarnya keghairahan saya terhadap muzik. Pentas itu bagaikan milik kita. Ia satu pengalaman yang sukar sekali hendak digambarkan dengan kata-kata,” katanya yang sempat menciptakan lagu Aku & Mimpi, lagu tema siri Merah dan Puteh sebelum bersaing dalam OIAM3.

Ketika ditanya peserta ramalannya untuk bergelar juara, Amylea tanpa berselindung memilih Tomok untuk mengungguli pertandingan itu, walaupun cabaran hebat diberikan Esther, Aweera dan Nine, tiga lagi peserta yang turut memboloskan diri ke peringkat separuh akhir.

Katanya, dia sudah lama mengenali Tomok dan cukup menyedari betapa peserta berkenaan sentiasa bekerja keras untuk menampilkan persembahan berbeza setiap kali muncul di pentas.

Tomok tak pernah rasa selesa

WALAUPUN sering mendapat pujian juri serta peminat sendiri memberikan sokongan padu kepadanya sepanjang penyertaan dalam OIAM3, Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 24, tidak pernah berasakan dirinya berada dalam keadaan selesa berbanding peserta lain yang turut bertanding.

Sememangnya Tomok tidak pernah berada dalam kelompok tiga peserta paling bawah, namun dia enggan berpuas hati dengan keadaan itu semata-mata. Baginya, apa saja boleh berlaku pada minggu berikutnya.

“Hakikatnya, saya sendiri tidak pernah berasa akan kekal selama ini dalam persaingan OIAM3. Apa-apa pun, yang penting saya perlu memberikan persembahan terbaik untuk memastikan kedudukan saya dalam pertandingan ini selamat. Hakikatnya juga, saya memang berasa takut pada setiap minggu kami perlu berdepan dengan keputusan penyingkiran,” katanya.

Jelas Tomok lagi, dia turut berasa goyah apabila habuan berbentuk imuniti atau kekebalan yang diberikan juri kepada peserta dengan persembahan terbaik ditarik balik sejak beberapa minggu lalu.

“Dengan ketiadaan imuniti, setiap peserta harus bekerja lebih keras untuk menghiburkan juri dan semua penonton, di studio mahupun di rumah. Hanya dengan cara itu mereka mungkin selamat,” kata peserta berasal dari Kuala Lumpur ini.

Berita Harian

‘Saya Bukan Tidak Terima Kenyataan’

April 20, 2009

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

BAGAIKAN tidak percaya diumumkan tersingkir, Amylea Azizan (Amylea), 22, usahkan tergamam, malah dia hampir rebah di pentas One In A Million (OIAM), Jumaat lalu.

Mujurlah, ketika detik cemas itu berlaku pengacara, Marion Counter sempat mendakap tubuh pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 3 (AF3) itu.

Namun, dalam perasaan yang bercampur-baur Amylea masih gagah meneruskan persembahan terakhirnya menerusi lagu I’m Yours, dendangan asal Jason Mraz dan mengucapkan maaf kepada peminat kerana menghampakan harapan mereka. Andai rakyat Malaysia memberikannya satu lagi peluang, pastinya penonton masih berkesempatan menyaksikan persembahan gadis berasal dari Perlis itu melagukan Yesterday Once More daripada Carpenters, Fallin (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

“Memang tadi saya terasa hendak pengsan, tapi cuba kawal perasaan. Bukan saya tidak boleh terima kenyataan malah setiap minggu pun memang tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan dan selalu ada perasaan akan tersingkir.

“Cuma, ia tidak sehebat apa yang saya rasakan malam ini. Terus-terang, saya amat terkilan bukan kerana tewas apabila sedar sesiapa pun boleh tersingkir dalam program realiti seperti ini.

“Perasaan terkilan terbit kerana tidak berpeluang membuat persembahan pada malam ini yang bertemakan ‘In Concert’. Sudah lama saya nantikan peluang seperti ini untuk menunjukkan kemampuan kepada peminat.

“Mujurlah, saya sempat merakamkan persembahan ketika menjalani latihan semalam (Khamis). Tambah menyedihkan, seluruh ahli keluarga, sepupu, kawan dan saudara-mara hadir pada malam ini untuk memberi sokongan.

“Malangnya, hari ini mereka datang untuk melihat penyingkiran saya. Banyak pengorbanan sudah dilakukan untuk berada di sini dan sepanjang lima bulan saya tidak mengambil sebarang ‘show’ selain terpaksa berjauhan dengan keluarga,” katanya.

Penyingkiran ini menyedarkan Amylea, betapa besar tanggungjawab dan serius pembabitannya dalam bidang muzik. Sedih rasanya tidak dapat melakukan persembahan sedangkan dia sangat teruja untuk menyanyi malam itu.

Dengan penuh yakin, Amylea menambah jika diberikan satu lagi peluang untuk bertahan, persembahan malam itu akan dipastikannya sebagai yang terbaik.

 

 

Malah, hal ini turut diakui pengkritik tetap, Paul Moss yang sempat meninjau sesi latihan peserta dan menyifatkan persembahan Amylea amat bagus. Sehinggakan, Paul meluahkan rasa terkilan dan terpaksa mengatakan segelintir penonton masih kurang bijak menilai.

Sebagai persiapan melakukan persembahan yang bertemakan ‘In Concert’ itu, Amylea mengakui pelbagai usaha dilakukan.

“Menerusi konsert mingguan sebelum ini, kami cuma diberikan masa dua minit untuk membuat persembahan bagaimanapun kali ini setiap peserta mempunyai masa tambahan dua minit sekali gus menjadikan persembahan keseluruhan empat minit.

“Justeru malam ini saya ingin menggunakan peluang sebaik mungkin membuktikan kemampuan kepada rakyat Malaysia. Setiap kelemahan yang pernah dilakukan diperbaiki dalam persembahan kali ini.

“Jika tersingkir di akhir-akhir rancangan mungkin perasaan saya tidak sekecewa sekarang. Rasa seperti ditipu promoter apabila konsert dibatalkan saat akhir,” katanya.

Habuan RM1 juta yang ditawarkan cukup besar ertinya buat Amylea kerana dia merancang melanjutkan pelajaran di Berkeley College of Music, Amerika.

Ditanya, di antara empat peserta yang masih bertahan iaitu Tomok, Nine, Esther dan Aweera, siapakah pada pandangannya layak digelar juara OIAM 3? Tanpa ragu, Amylea memilih Tomok kerana dia bekerja keras untuk mendapatkannya.

“Tomok antara peserta yang rapat dengan saya dan banyak menceritakan pengalaman yang dilalui sejak kali pertama bergelar artis. Pelbagai tohmahan dihamburkan kepadanya dan hari ini Tomok membuktikan dia adalah penyanyi dan pemuzik yang patut dihormati. Atas pengorbanan, kesungguhan dan usahanya, dia layak memenangi hadiah lumayan itu,” katanya.

Semakin hampir melangkah ke peringkat akhir yang cuma tinggal kurang dari dua minggu (1 Mei) Tomok mengakui bimbang dan gementar meskipun setakat ini dia belum pernah berada di Bottom 3. Pada malam itu, Tomok memilih menyampaikan himpunan lagu hits Alleycats iaitu, Jika Kau Bercinta Lagi, Sekuntum Mawar Merah dan Kerana Kau.

“Saya tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan saya bahkan berasakan setiap minggu saya yang akan tersingkir. Tambahan pula sejak dua minggu lalu, imuniti dimansuhkan.

“Paling penting bagi saya adalah untuk membuat persembahan terbaik. Ketiadaan imuniti membuatkan semua peserta harus tampil dengan persembahan lebih baik, menambahkan lebih banyak rencah agar penonton dan juri terhibur.

“RM1 juta jumlah yang besar dan untuk mendapatkannya peserta perlu bekerja keras. Sebagaimana disarankan pengkritik (Syafinaz) yang mahu melihat lebih banyak kejutan daripada saya insya-Allah akan dilaksanakan menerusi konsert seterusnya,” katanya.

Syafinaz selaku pengkritik berpendapat, persembahan secara keseluruhan amat baik namun, masih terdapat beberapa kekurangan.

“Saya memilih persembahan Tomok sebagai yang terbaik malam ini. Kalau ikutkan semua peserta pun sudah melakukan yang terbaik. Cuma masih ada beberapa kekurangan. Misalnya Aweera yang berani menyahut cabaran dengan pemilihan lagu yang lain dari kebiasaan, tetapi masih berlaku masalah ‘pitching’.

“Manakala Nine pula, pengawalan vokalnya bagus dan nampak banyak peningkatan cuma lagu yang dipilihnya kurang menarik jika digunakan untuk pembuka atau penutup persembahan,” katanya.

Menyingkap persembahan malam itu, Nine membawakan lagu Keroncong Untuk Ana dendangan asal M Nasir, manakala Aweera melakukan percubaan berani dengan memilih Tak Ada Logika (Agnes Monica) dan Emansipasi (Republic Of Brickfields) dan Eshter (Semua Jadi Satu, One Night Only dan Keep Getting Better).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

Dengarnya… Penyanyi Nasyid Bertukar Karektor

February 24, 2009

Oleh Normah Becok

BANYAK pula cerita mengenai yang Cik Normah terima ketika menghadiri satu majlis, baru-baru ini. Tapi yang paling menarik kisah penyanyi nasyid yang sering kita lihat memberikan gambaran imej baik dan mulia.

Tapi sudah namanya manusia, ada ketika kita tersalah langkah dalam menilai mana yang baik, mana yang buruk. Cik Normah agak terkejut apabila diberitahu seorang vokalis sebuah kumpulan nasyid popular suatu ketika dulu kini sudah tidak ragu-ragu menunjukkan siapa dirinya yang sebenar.

Dalam erti kata lain, dia yang Cik Normah maksudkan kini sudah tidak segan menunjukkan siapa dirinya sebenar. Tampak bersopan dan lemah lembut, tapi rupanya memang ‘lembut’ betul. Sebelum ini pernah juga Cik Normah dengar kisah ini. Tapi Cik Normah tak percaya kerana berprasangka baik.

Baru-baru ini, penyanyi itu memberanikan diri menyertai uji bakat program realiti nyanyian anjuran sebuah stesen TV. Tak payah Cik Normah sebut program mana .

Sewaktu diuji bakat, dia memperkenalkan dirinya sebagai doktor. Cik Normah tahu pun, yang dia memang mengambil pengajian perubatan sebelum ini. Lucunya, kalau dulu nyanyi lagu nasyid, tapi untuk uji bakat ini dia bawa lagu lain.

Siap nyanyi lagu Alicia Keys lagi. Ermm… Lagu penyanyi perempuan. Cik Normah tengok rupanya dulu seperti lelaki sudah macam perempuan apabila menyimpan rambut panjang.

Gaya dan cara bercakap pun sudah berubah. Makin lemah gemalai membuatkan Cik Normah tertanya sendiri, apa yang dimahukan penyanyi itu sebenarnya? Kasihan pun ada, nak tergelak pun ada bila Cik Normah dengar kisahnya.

Cik Normah bukan bermaksud nak memalukannya, lagipun Cik Normah berkawan dengan semua orang termasuk golongan macam dia. Tapi kalau sudah macam begitu caranya, nampak gaya memang semakin susahlah Cik Normah nak tengok penyanyi lelaki yang benar-benar ‘jantan’ atau macho.

Berita Harian




© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid