Archive for the ‘American Idol’ Category

Peluang Saksi Final American Idol Di Los Angeles

April 30, 2009






KUMPULAN Hujan dijadualkan membuat persembahan pada 3 Mei.

KEMUNCAK American Idol musim kelapan bakal berlabuh 21 Mei ini, malah kini peminat program popular ini sudah mula berteka-teki mengenai siapa yang bakal ke peringkat akhir.

Sejak disiarkan April lalu, Star World dan stesen radio, Hitz FM membuka peluang berharga kepada pemenang bertuah bersama teman untuk menyaksikan secara langsung pertandingan akhir itu nanti di Nokia Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Dengan hanya perlu mengingati kata kunci yang diselit sewaktu siaran rancangan ini di saluran Astro 711 dan terbabit dengan cabaran radio yang dikendalikan penyampai radio JJ & Ean, kini 10 finalis bertuah Star World yang terpilih akan melalui pengalaman Walk Of Fame To Hollywood dalam misi mencari peminat sejati American Idol yang layak untuk bersua muka dengan bintang dan juri program itu secara dekat.

Untuk memeriahkan acara yang bakal berlangsung di Centre Atrium, Cineleisure, Mutiara Damansara pada 3 Mei ini, bukan hanya 10 peserta itu bakal beradu nasib, sebaliknya tiga lagi peserta wild card akan dipilih pada hari terbabit. Lalu, apa yang ditunggu lagi, datanglah ke lokasi berkenaan mulai jam 2 petang dan siapa tahu anda mungkin antara tiga peserta ‘tambahan’ yang dicari itu.

Sertai JJ & Ean daripada Hitz FM bersama keluarga dan rakan tersayang pada petang itu nanti kerana pelbagai material menarik daripada American Idol bakal dimenangi.

Tidak ketinggalan dalam meraikan kehadiran pertandingan akhir itu kumpulan Hujan dan Pesawat akan membuat persembahan untuk menceriakan lagi hujung minggu anda.

Berita Harian

Amal Kara

April 28, 2009

Susunan Rahayu Mohd Salleh
ayu@nstp.com.my


JATUH bangun dalam industri muzik sudah lumrah bagi Kara DioGuardi, 38, malah kehadirannya sebagai juri keempat rancangan televisyen popular, American Idol, turut mengundang pelbagai persepsi.

JATUH bangun dalam industri muzik sudah lumrah bagi Kara DioGuardi, 38, malah kehadirannya sebagai juri keempat rancangan televisyen popular, American Idol, turut mengundang pelbagai persepsi.

Ada yang menganggap kehadirannya sesuatu yang agak menarik, tetapi tidak kurang yang melemparkan kritikan. Namun segalanya kritikan dan pengalaman hidup lalu dianggap sesuatu yang hanya lebih mematangkan dirinya.

Penggubah lagu yang digabungkan dengan tiga juri veteran lain dalam rancangan American Idol ini, turut menyifatkan kejayaan dikecapinya kini bukanlah hasil dirinya seorang lantas biar sesibuk mana jadual sehariannya, dia cuba meluangkan waktu untuk melakukan sesuatu yang dianggap penting kini.

“Pandangan saya mengenai apa yang menjadi keutamaan kini memang berbeza sejak 10 tahun lalu. Saya ingin melakukan sesuatu untuk masyarakat kerana saya fikir saya seorang yang bernasib baik.

 

 

“Saya bekerja keras selama ini, tetapi pada masa sama, mereka yakin dengan kebolehan dan membantu saya hingga berjaya menempatkan diri pada kedudukan kini. Justeru, saya fikir harus melakukan sesuatu pula untuk membantu golongan yang memerlukan dalam industri ini,” katanya.

Menganggap muzik sebagai terapi, Kara membantu ramai penyanyi popular dalam melonjakkan karier masing-masing, antaranya Faith Hill, Christina Aguilera, Gwen Stefani, Santana, Kelly Clarkson, Jewel dan Carrie Underwood.

Sebagai sebahagian daripada kerja amalnya, beberapa tahun lalu dia membantu menubuhkan studio rakaman untuk kegunaan remaja memerlukan di Phoenix House, Los Angeles. Bukan hanya memperuntukkan sejumlah wang, dia turut meluangkan waktu pada hujung minggu untuk memberi tunjuk ajar diperlukan remaja terbabit.

“Ramai yang berbakat yang ingin saya bantu, tetapi tidak semua dapat saya tolong,” katanya yang turut mengambil peluang memberi bimbingan secara individu peserta yang tersingkir dalam program American Idol itu.

Dia akui bersikap terbuka dengan apa saja pandangan orang lain mengenai hasil kerjanya. Baru-baru ini pula, dia juga agak terbuka mengenai kisah lampau dirinya yang mengalami masalah pemakanan.

“Saya tak pernah bercakap mengenainya, tetapi ketika itu, daripada menangani masalah emosi berkenaan, saya cuba melupakannya dengan makanan,” katanya yang mengakui masalah itu berlaku ketika dia masih muda namun berjaya pulih menerusi rawatan.

Ketika menghadapi masalah pemakanan itu, menurutnya, dia tidak memaksa dirinya untuk lapar atau memuntahkan makanan yang dimakannya.

“Ketika saya mula terbabit dalam bidang muzik dan sedar melakukan perkara yang sangat digemari, saya tidak menghadapi masalah itu lagi,” katanya.

Tekanan berada di kalangan golongan yang popular masih dirasainya terutama berada dalam kelompok American Idol, namun dia juga akui sudah mampu mengatasi keadaan sedemikian.

“Saya menjadikannya satu komitmen dalam hidup untuk berhadapan rasa bimbang dan jika takutkan sesuatu, saya pastikan akan melakukannya,” katanya.

Harian Metro

Drama AF7 ‘Bunuh’ Aril

April 28, 2009

Oleh MOHD. YUSMAN AWANG
yusman.awang@yahoo.com


ARIL (kanan) dikatakan tersingkir kerana pengundi teruja untuk membantu Aishah (dua dari kanan) daripada tersingkir.

BAYANGKAN American Idol disuntik elemen drama membabitkan isu remeh-temeh dan gosip tentang para pesertanya. Bayangkan pula Akademi Fantasia tanpa elemen tersebut.

Memang tidak adil untuk membuat perbandingan antara American Idol dan Akademi Fantasia tetapi apa yang jelas, kedua-dua program realiti TV popular itu memiliki matlamat yang sama iaitu untuk melahirkan penyanyi berbakat dan popular hasil pilihan ramai.

Namun apabila disuntik elemen drama dan gosip cinta, matlamat itu sudah menjadi kacau. Membandingkan produk kelahiran American Idol dan Akademi Fantasia, jenis penyanyi yang bagaimanakah kita harapkan untuk menjana industri muzik?

Lihat bagaimana produk American Idol seperti Kelly Clarkson dan Carrie Underwood yang lebih membanggakan dari segi pencapaian karier muzik mereka berbanding heboh dengan gosip murahan.


ARIL mempunyai jawapan tersendiri kenapa dia memeluk kesemua tenaga pengajar AF7, termasuk Tiara.

Bandingkan mereka dengan produk-produk kelahiran AF. Bukan untuk menuduh produk kelahiran AF tiada yang membuat pencapaian gemilang dalam karier muzik, tetapi majoritinya lebih condong ke arah isu remeh-temeh membabitkan isu peribadi terutama sekali gosip cinta, melebihi pencapaian mereka dalam bidang seni.

Justeru, apabila menyaksikan persembahan memberangsangkan daripada Khairil Azam Pilus atau Aril, pada konsert ketujuh Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) menerusi lagu popular Gigi, Nakal, peserta berusia 24 tahun itu dilihat sebagai produk penting AF.


TANPA ARIL. Pelajar AF7 yang berpeluang ke final, dari kiri, Hafiz, Claudia, Isma, Aishah, Akim dan Yazid.

Namun gara-gara mahu menyemarakkan AF7 dengan elemen drama, peserta yang berpotensi untuk menjadi suatu produk AF yang berlainan berbanding produk-produk AF sebelum ini ternyata telah ‘dibunuh’ peluangnya!

Itu nasib malang yang menimpa Aril, apabila diumumkan sebagai peserta kelapan yang tersingkir pada konsert yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lepas.

Cuba menyelami reaksi Adlin Aman Ramlie terhadap penyingkiran Aril, juri tetap AF7 itu mengakui dia berasa cukup terganggu. Sebelum ini, dalam kritikannya terhadap persembahan Aril, dia melabelkan Aril sebagai produk yang belum pernah ada dalam AF.

Adlin ternyata tidak senang apabila bekas pelajar AF3, Marsha Milan Londoh ‘dimasukkan’ ke kampus AF7 yang kemudian digambarkan dan boleh dilihat oleh penonton menerusi Diari AF7 pada minggu lepas, seolah-olah dia sedang cuba menjalinkan cinta dengan Aril. Malah lebih hebat, ditonjolkan klip Marsha mengurut tengkuk Aril!


PRODUK berbeza. Aril memberikan persembahan hebat yang lain daripada pelajar AF sebelum ini.

HAFIZ menduduki tempat tertinggi di AF7 saat ini.


SEPERTI ada sesuatu yang membelenggu Isma pada persembahannya kali ini.

“Penyingkiran Aril itu menunjukkan faktor populariti dipengaruhi elemen personaliti,” ujarnya kepada Kosmo!.

“Apabila Marsha dimasukkan ke dalam kampus AF7 pada minggu lepas dan ditonjolkan seolah-olah sedang bercinta dengan Aril, saya fikir ia telah mempengaruhi pengundi-pengundi AF7 di luar sana.

“Kemasukan Marsha itu menyebabkan ada faktor luaran yang kurang menyenangkan. Apakah tujuan Marsha dimasukkan ke situ. Akhirnya, gimik yang dilakukan telah memakan diri,” tegasnya lagi.

Tambah Adlin: “Elemen drama yang disuntik membabitkan Marsha itu bukan suatu penjenamaan yang bagus untuk AF. Kesimpulan hasil perbincangan saya dengan beberapa pihak mendapati elemen drama yang cuba diterapkan itu lebih banyak mendatangkan negatif kepada personaliti peserta.

“Pengundi mengundi peserta bukan sekadar berdasarkan persembahan pada malam konsert tetapi juga dari sudut personaliti peserta yang boleh diperhatikan setiap hari menerusi Diari AF. Juri hanya mampu memberikan pengaruh dari segi pandangan terhadap skil dan mutu persembahan peserta.”

Dalam pada itu, Adlin tidak menyalahkan penonton. “Saya tidak salahkan pengundi dalam hal ini kerana mereka ada dua pilihan sama ada menyukai peserta kerana personaliti atau kerana persembahan. Tapi apabila diganggu dengan elemen drama seperti yang dicetuskan dengan penglibatan Marsha itu, bagi saya itu suatu gangguan terhadap personaliti peserta.

“Kalau saya jadi abang, bapa atau pengurus Aril saya saya tidak mainkan elemen itu untuk mengangkat personaliti Aril kerana ia lebih condong ke arah negatif.

“Senario berbeza dilihat terhadap seorang lagi peserta AF7, Hafiz yang dilihat memiliki personaliti yang bersih dan naif, tidak diganggu dengan elemen drama yang boleh meletakkan dirinya dalam suasana seperti yang dialami Aril dan ditambah dengan persembahannya yang bagus, justeru sebab itu dia muncul menjadi pilihan nombor satu pengundi,” tegasnya.

Namun, lain pula pandangan seorang lagi juri AF7, Adibah Noor yang tidak melihat Marsha sebagai punca Aril tersingkir kali ini. Sememangnya Adibah antara yang sangat kecewa sehingga dia meluahkan kepada Kosmo!: “Dengan tersingkirnya Aril, harapan untuk melahirkan bintang yang berkaliber telah hancur musnah!”

Menurut Adibah, Aril sudah sedia maklum apabila Marsha dimasukkan ke kampus AF7 dengan matlamat untuk mengenakannya. “Jadi, Aril hanya menjadi dirinya tetapi dia tahu ketika mana yang perlu dikawal keadaan. Lagipun, Marsha bukan sahaja mengusik Aril, tetapi juga pelajar lain seperti Aishah,” ujarnya.

Dia mengakui tidak memahami apa kehendak pengundi AF7 terhadap peserta. “Aril hanya menjadi dirinya, setidak-tidaknya dia tidak hipokrit. Kalau sikap itu tidak disukai pengundi, saya fikir adakah peserta kena menjadi hipokrit untuk meraih undian penonton?” soal Adibah.

Menyentuh mengenai adakah penyingkiran Aril itu sebagai gimik supaya Aril boleh diundi masuk semula seperti prosedur AF sebelum ini, beritahu Adibah: “Saya rasa itu sesuatu yang perlu dilakukan bagi memberikan peluang semula kepada Aril tidak kiralah penyingkirannya itu suatu gimik ataupun secara kebetulan. Kalau tidakpun ada cadangan supaya pemilihan kemasukan semula dibuat oleh juri.”

Sementara menyentuh mengenai konsert mingguan yang sebelum ini sering meraih kritikan negatif, Adibah menyifatkan berlaku banyak peningkatan di kalangan pelajar pada konsert minggu ketujuh itu.

“Kesemua pelajar lelaki menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan terutama Akim dan Yazid yang akhirnya berjaya keluar dari kepompong mereka. Tapi saya tidak berpuas hati dengan ketiga-tiga pelajar perempuan – Isma, Claudia dan Aishah kerana mereka kelihatan seperti kembali ketika seperti mula-mula menyertai AF7. Saya tidak faham kenapa persembahan mereka seperti ada sesuatu yang membelenggu mereka,” katanya.

Dengan penyingkiran Aril, kini tinggal enam peserta yang masih berpeluang ke final AF7 iaitu tiga pelajar perempuan Ismaliza Ismail atau Isma, 30, Aishah atau nama sebenarnya Siti Aishah Bujang, 18, Claudia Fay Geres arau Claudia, 24, serta tiga pelajar lelaki iaitu Yazid atau nama penuhnya, Mohd. Yazid Ibrahim, 22, Mohd. Hafiz Mohd. Mohd. Suip, 19, dan Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18.

Kosmo









© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid