Inspirasi Alam
April 29, 2009
Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
ALAM semula jadi sering kali menjadi inspirasi kepada kebanyakan pereka terkenal di dunia. Apa saja yang dilihat di sekeliling pasti menghasilkan koleksi hebat. Tumbuh-tumbuhan seperti dedaun, pokok dan bunga-bungaan amat digemari dan digunakan sebagai motif dalam mereka cipta karya masing-masing sehinggakan ia begitu sinonim dalam dunia fesyen.
Tidak kurang juga pereka yang menerapkan unsur hidupan dalam masyarakat mahupun etnik yang menarik untuk diterjemahkan ke dalam rekaan masing-masing. Gabungan imaginasi dan kreativiti menghasilkan karya unik bukan saja menceritakan kisah kehidupan masyarakat, malah sebagai rakaman budaya sesuatu bangsa.
‘Irama’ Afrika unik: Jenama terkenal abadikan keindahan flora dan fauna liar dalam koleksi musim bunga, panas 2009
JENAMA terkenal, Jimmy Choo menampilkan daya kreativiti berharga menerusi imaginasinya terhadap kehidupan di Afrika. Bermula dari seni kraf tangan sehinggalah kepada tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar, diterapkan ke dalam koleksi musim bunga/panas 2009.
Suntikan ‘irama’ Afrika ke dalam gaya metropolis, menyerlahkan kesan estetika dan glamor pada koleksi aksesori musim ini. Beg tangan dan kasut menggunakan tekstur mewah dan kulit eksotik didatangkan dalam rona riang seperti jingga, ungu, merah, kuning, hijau dan biru.
Koleksi menggambarkan kemewahan untuk wanita gigih dan berjaya itu menghimpunkan beberapa koleksi beg dengan keunikan tersendiri. Antaranya Mandah yang diperbuat daripada kulit lembu dan suede bermotifkan corak harimau bintang didatangkan dalam bentuk beg bimbit bersaiz besar mahupun beg genggam yang cukup popular. Ia dilengkapi zip pada bahagian depan yang berfungsi boleh mengubah suai saiz beg, tetapi pada masa sama menambah gaya. Koleksi ini didatangkan dalam warna semula jadi seperti coklat, putih dan krim.
BEG dan kasut dihiasi seni kreativiti masyarakat Afrika.
Koleksi beg genggam Zulu dan Ubai diperkemaskan dengan kulit ular pada bahagian depan dan atas beg. Beg ringkas bergaya ini diperbuat daripada kulit boleh didapati dalam tiga warna indah seperti hijau pucuk pisang, jingga dan kuning terang. Anda boleh memilih beg berzip atau berpenutup magnet.
Robin L diperkenalkan dalam bentuk lebih bergaya ceria. Beg tangan bertangkai anyaman dan berhias aksesori serta juraian pada tepi beg. Ia diperbuat daripada kulit dengan warna terang seperti coklat, hijau, jingga dan kuning sesuai digayakan untuk acara lebih kasual.
Jika gemarkan beg tangan lebih klasik, gayakan koleksi Zulu yang didatangkan dalam beg genggam berbentuk empat segi atau empat segi tepat serta bulat. Beg genggam dengan ekspresi Afrika didatangkan dengan warna hijau lumut dan coklat. Kulit diperindahkan dengan motif seakan marmar tampak lebih eksklusif dengan warna merah dan hitam berbelang putih.
Serlahkan gaya dengan beg bersaiz besar daripada koleksi Saba yang diperindah dengan butiran keluli sepanjang jalur jahitannya dan lilitan tali pada tangkai beg. Aura eksotik ditampilkan pada warna beg seperti ungu, hijau zamrud, kulit ular dan suede.
Diego L menampilkan seni kraf dan fauna. Beg daripada anyaman rafia tampak eksotik dengan hiasan kepala ular pada penutupnya. Seni pertukangan tangan diteruskan pada koleksi Alanis yang diperbuat daripada kulit lembut dan diperindahkan dengan juraian serta anyaman manik pada beg.
Jimmy Choo memperhebatkan koleksi kasut untuk musim ini. Langkah lebih memukau dan unik dengan koleksi Claudia yang bertumit 120 mm. Kasut dihasilkan dengan teknik opanca (tapak dihasilkan tanpa sambungan) dihias dengan jahitan pada tali kasut yang diperbuat daripada kulit dengan tali kuning dan putih, manakala tali pergelangan kaki menambah ciri glamor.
Konsep bertali menjadi sentuhan utama pada koleksi seperti Seattle, Serena, Durban Flat dan Samoa. Sama ada diikat secara bersilang hingga ke pergelangan kaki ala gladiator untuk kasut bertumit tinggi atau sandal, ia menyerlahkan gaya seksi. Tampil rasmi dengan koleksi Colarado dan Cameroon yang menampilkan gaya klasik kasut bertumit setinggi 85 mm hingga 100 mm ini. Diperbuat daripada linen bermotif, kulit dengan motif teknik ikat dan semburan, langkah bergaya dengan sentuhan etnik.
Koleksi Poem menampilkan keanggunan dengan kasut bertumit setinggi 115 mm yang diperbuat daripada satin. Boleh didapati dalam warna keemasan, jingga, ungu dan hitam, ia sesuai digayakan sepanjang masa. Sebelah malam pula, gayakan kasut berhias kerlipan kristal daripada koleksi Night.
Koleksi Jimmy Choo turut digemari selebriti terkenal seperti Angelina Jolie, Penelope Cruz dan pendatang baru, Freida Pinto yang bergaya dengan rekaan jenama itu di permaidani merah untuk majlis anugerah.
Berita Harian
Madonna Paling Rajin
April 28, 2009
TAHUN lalu adalah tahun paling lumayan bagi Madonna. Sejuta albumnya dijual di Amerika Syarikat sahaja dan dia meraih AS$105 juta menerusi konsert di samping menandatangani beberapa perjanjian iklan.
Namun, orang ramai hanya menumpukan kepada satu perkara sahaja – Mercy James.
Kanak-kanak warga Malawi yang berusia tiga tahun mahu dijadikan anak angkat oleh penyanyi berkenaan tetapi ditolak oleh hakim negara itu.
Kes itu adalah contoh paling terbaru mengenai ketaksuban umum terhadap kehidupan peribadi selebriti, khususnya selebriti wanita yang menjadi ibu.
Anak selebriti mempunyai pengaruh yang kuat kerana mewarisi populariti ibu bapa mereka. Wajah mereka boleh menjadi daya tarikan untuk melariskan majalah. Fesyen mereka menjadi ikutan dan meningkatkan jualan pakaian sementara gambar mengenai kegiatan harian mereka menjadi rebutan.
Madonna dipilih oleh majalah Forbes untuk menduduki tangga teratas golongan ibu paling rajin di kalangan selebriti. Pemilihan ini dikaitkan dengan pendapatannya berjumlah RM394 juta sepanjang 2008. Di samping kejayaannya dalam muzik, dia juga muncul dalam iklan Sunsilk, Louis Vuitton dan Vodaphone.
Dia adalah ibu kepada tiga anak: David Banda, Lourdes dan Rocco.
Tempat kedua ialah Reese Witherspoon, yang memperoleh pendapatan kira-kira RM86 juta pada 2008. Reese muncul dalam filem Four Christmases bersama-sama Vince Vaughn. Filem berkenaan meraih pendapatan RM574 juta di seluruh dunia. Selain itu, pelakon itu juga menjadi jurucakap untuk Avon dan pengerusi kehormat yasan kebajikan syarikat terbabit.
Reese mempunyai dua anak – Ava dan Deacon, hasil perkahwinannya dengan Ryan Phillippe.
Gwyneth Paltrow, ibu kepada Apple dan Moses tangga ketiga dengan pendapatan kira-kira RM72 juta tahun lalu. Gwyneth, aktres yang bertukar menjadi perunding gaya hidup, tinggal bersama kedua-dua anak dan suaminya, Chris Martin. Tahun lalu adalah antara tahun paling lumayan baginya, lebih-lebih lagi kerana memegang watak Pepper Potts dalam filem Iron Man.
Filem dari buku komik itu memperoleh pendapatan RM2.02 bilion di seluruh dunia.
Selain berlakon, Gwyneth juga muncul dalam iklan Est e Lauder dan Tod’s serta aktif menulis mengenai gaya hidup menerusi lifestyle newsletter goop.com.
Untuk menyediakan senarai itu, Forbes mengkaji selebriti wanita dalam hiburan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak. Pendapatan mereka adalah anggaran yang mereka peroleh sepanjang tahun lalu dan berdasarkan pendapatan filem yang mereka bintangi, jualan album, gaji serta pendapatan menerusi iklan.
Turut berada dalam senarai itu ialah Julia Roberts, ibu tiga anak yang berlakon semula dalam filem Duplicity bersama-sama Clive Owen.
Angelina Jolie yang masih boleh meraih pendapatan RM50 juta walaupun sibuk membesarkan enam anaknya; Kate Winslet, ibu dua anak dan akters termuda menerima enam pencalonan anugerah Academy dan Faith Hill, ibu tiga anak hasil perkahwinannya dengan Tim McGraw, turut berada dalam senarai itu.
Beberapa selebriti juga mengambil kesempatan terhadap anak mereka untuk memperoleh pendapatan tambahan. Antara mereka ialah Jessica Alba yang berada di tangga 13 dengan pendapatan kira-kira RM22 juta, menjual wajah pertama anaknya, Honor Marie Warren kepada majalah OK! pada 2008 dengan harga dipercayai mencecah RM5.4 juta.
Sementara itu, majalah People dan Hello! dilapor membayar sekurang-kurangnya RM40 juta untuk gambar pertama pasangan kembar Vivienne dan Knox Jolie-Pitt.
Harian Metro
Madonna Ibu Paling Kaya
April 25, 2009
MADONNA sedang cuba dapatkan anak angkat kedua.
Pendapatan RM394 juta mengatasi selebriti Hollywood lain
NEW YORK: Penyanyi Madonna yang dilaporkan meraih pendapatan berjumlah AS$110 juta (RM394 juta) sepanjang tahun lalu mengungguli senarai teratas Forbes sebagai ibu yang paling gigih bekerja di Hollywood, diikuti aktres Reesa Witherspoon dan Gwyneth Paltrow.
Penyanyi pop dan juga ibu kepada tiga anak itu yang baru-baru ini menjadi tumpuan ketika beliau cuba mendapatkan anak angkat kedua dari Malawi dilaporkan meraih sejumlah $105 juta (RM376 juta) bagi konsert jelajah dan jualan albumnya hampir satu juta di Amerika Syarikat.
Madonna juga menandatangani beberapa perjanjian yang menguntungkan tahun lalu, kata Forbes.com.
“Beliau melalui tahun yang menguntungkan pada 2008,” kata Lauren Streib yang membantu mengumpulkan senarai yang disiarkan semalam.
“Beliau mengadakan konsert jelajah paling banyak berbanding kumpulan muzik lain. Semuanya laris di seluruh dunia. Jadi tidak memeranjatkan mengenai komen bagaimana ia tahun yang menguntungkan bagi beliau,” katanya.
Witherspoon yang berpendapatan kira-kira $24 juta tahun (RM86 juta) lalu menduduki tempat kedua diikuti rapat di belakang beliau oleh Paltrow dengan sejumlah $20 juta (RM72 juta).
Selain meraih pendapatan melalui filem dan membesarkan sepasang anak, Ava dan Deacon, Witherspoon yang bercerai dengan aktor Ryan Phillippe juga menjadi jurucakap antarabangsa bagi syarikat kosmetik gergasi Avon.
Peranan Paltrow dalam filem berasaskan komik Iron Man yang meraih AS$580 juta (RM2 bilion) di seluruh dunia selain menjadi duta bagi Estee Lauder serta kasut dan beg tangan Tod’s menjadikan beliau berada di tempat ketiga.
Streib berkata senarai itu adalah berdasarkan anggaran pendapatan ibu Hollywood berkenaan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak serta memperoleh pendapatan hasil jualan album, gaji, filem box-office dan perjanjian berlesen atau menjadi duta barangan.
Katanya, kebanyakan wanita yang tersenarai memiliki perjanjian sebagai duta barangan yang menjadi sumber pendapatan mereka.
“Saya rasa ini adalah sesuatu yang berterusan selama beberapa dekad mulai sekarang. Kita melihat semakin berkurangan model tetapi semakin ramai selebriti menjadi jurucakap barangan. Ia kini menjadi sebahagian besar dalam perniagaan iaitu menjadi seorang selebriti,” katanya.
Ibu kepada tiga anak, Julia Roberts yang kembali ke layar perak dalam Duplicity selepas sekian lama menghilangkan diri, tersenarai di tempat keempat diikuti aktres Sarah Jessica Parker, bintang siri televisyen dan filem Sex And The City yang mempunyai seorang anak lelaki bersama suaminya, Matthew Broderick.
Angelina Jolie yang mempunyai enam anak berpendapatan AS$14 juta (RM50 juta) tahun lalu dan menduduki tempat keenam diikuti model dan juga penyampai televisyen, Heidi Klum yang kini hamil anak keempat. – Reuters
Berita Harian