Betty Benafe Masih Solo
April 27, 2009

BETTY mahu beri tumpuan
kepada kerjaya lakonan tahun ini.
LAMA wanita berwajah Arab-Melayu-Jawa ini tidak muncul di kaca televisyen, lalu pelbagai spekulasi mengenai kehilangannya diperkatakan. Ada mengatakan kehilangan Betty Banafe kerana mahu menyorokkan perkahwinannya dengan seorang berstatus VIP daripada dihidu media dan peminat.
Bertemu dengan wanita itu ketika pelancaran drama terbaru lakonannya berjudul Yusuff baru-baru ini, soalan mengenai kisah kahwinnya tidak lupa diajukan.
Air muka wanita berasal dari Johor Bahru ini sedikit berubah tatkala soalan itu diajukan kepadanya. Entah apa yang bermain di fikirannya ketika itu, seolah-olah dia sedang memikirkan sesuatu.
Agak lama Betty mengambil masa menjawab soalan diajukan. Barang kali sudah puas memikir, sebutir demi sebutir penjelasan diberikan pemegang watak Zahila iaitu ibu tiri kepada Yusuff yang dipegang Ashraf Muslim ini.
Pelakon yang turut membintangi drama bersiri Yusuff ialah Intan Sarafina dan Zarynn Min.
“Saya belum berkahwin lagi. Untuk apa saya menyorokkan status jika benar-benar sudah berkahwin kerana perkara itu hanya akan menyusahkan saya kelak, terutamanya jika satu hari nanti ditakdirkan saya mengandung.
“Tapi saya mengaku memang sedang berkawan dengan seseorang dan kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Saya mempunyai ramai kawan tetapi sehingga kini masih belum bertemu insan yang sesuai untuk dijadikan teman hidup,” jelasnya.
Selain menafikan berita perkahwinannya, wanita itu juga menafikan sekeras-kerasnya suami orang menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai calon suami. Dia tidak menafikan kebanyakan lelaki yang rapat dengannya rata-rata sudah beristeri, namun tidak sesekali mahu menjadi peruntuh rumah tangga orang.
Betty tahu, andai dia melakukan sedemikian tidak mustahil satu hari nanti rumah tangganya juga ditimpa nasib serupa.
“Dari dulu saya tanamkan dalam hati tidak mahu mengambil suami orang. Memang kebanyakan lelaki yang saya kenali adalah suami orang, kita tidak tahu takdir dan jodoh tetapi seboleh mungkin saya akan cuba tidak mendekatkan diri dengan perkara itu.
“Saya tidak mengimpikan lelaki yang kaya dan berkedudukan, cukup jika dia mempunyai jati diri yang tinggi dan mempunyai kehidupan yang stabil. Wang tidak akan menjamin kebahagiaan seseorang, bagi saya wang boleh dicari tetapi yang penting adalah hati budi,” kata wanita itu yang kini sibuk menyiapkan album keduanya.
Konsepnya kata Betty sedikit berbeza daripada album pertamanya berjudul Ibtisam yang berada di pasaran pada 2006. Namun dia masih lagi mengekalkan elemen samrah dan Jawa yang mempunyai kaitan dengan dirinya.
Walaupun tahun ini dia mahu menumpukan pada dunia lakonan, tetapi pada masa yang sama Betty sedang menyiapkan single dan album mini yang bakal memuatkan empat buah lagu.
“Saya suka perkara yang pernah saya buat dan ada kaitan dengan diri saya. InsyaAllah saya akan cuba siapkan album mini tahun ini juga walaupun tahun ini sebenarnya saya mahu menumpukan perhatian pada karier lakonan.
“Selain itu, masa juga terpaksa dibahagikan dengan ibu kerana dia kini sedang terlantar sakit akibat ketumbuhan. Saya pun baru saja mengambil ibu di Jakarta kerana lebih senang jika ibu ada di depan mata berbanding jika dia berada jauh daripada kami adik-beradik,” kata selebriti yang cukup berahsia soal umur ini.
Berita Harian
Jurulatih Basikal, M Rajoli Dibantu
April 20, 2009
KUALA LUMPUR: “Saya tak suka menjaja masalah kesihatan suami kepada orang kerana itu adalah pantang dia (suami).
“Jika sihat pastinya dia tidak menyukainya seolah-olah menggambarkan dia terpaksa meminta sesuatu daripada orang untuk kepentingan diri,” kata isteri Alwi Ahmad, Nurli Nur Amin, 65.
Alwi, 75, adalah bapa dan jurulatih kepada bekas pelumba basikal kebangsaan, Rosman Alwi menghidap angin ahmar hampir dua tahun lalu dan keadaan kesihatannya kini makin susut.
Menurut Nurli, 65, suaminya kini tidak mampu untuk bergerak serta berjalan dan hanya boleh menggerakkan tangan kirinya saja untuk berinteraksi dengan keluarga.
“Anak-anak banyak membantu menjaganya dan seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa tapi tidak menolak jika ada yang menghulurkan bantuan kerana bukan niat atau keinginan kami untuk meminta simpati, cukuplah sekadar ada pihak yang terpanggil untuk membantu berdasarkan jasanya.
“Isteri mana tak sedih dengan keadaan suami sebegitu rupa tapi saya reda dan sentiasa berdoa dan berharap agar satu hari nanti dia akan sembuh seperti sedia kala,” katanya ditemui ketika majlis penyerahan sumbangan daripada Golf Selebriti-NSTP di rumahnya di Kampung Datuk Keramat di sini, semalam.
Sumbangan cek bernilai RM2,500 itu disampaikan Presiden Jomstar.Com, Datuk Shafik Rizaal Saaban mewakili Pengerusi Kelab Golf Selebriti Malaysia, Tengku Datuk Anuar Mussaddad.
Hadir sama Sekretariat Sukan Kelab Golf Selebriti Malaysia, Khalid Ali dan penyanyi dan pelakon Betty Banafe.
Shafik berkata, lebih banyak golongan artis dan ahli sukan kurang berkemampuan bakal menerima bantuan berkenaan pada masa akan datang.
“Sumbangan tidak hanya tamat di sini, kerana kami memikul tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis berasingan Golf Selebriti-NSTP turut menyumbangkan RM2,500 kepada pelakon veteran negara, M Rajoli atau nama sebenarnya, Mohd Rajoli Mohd Zain, 63, yang menghidap kanser kelenjar otak atau lymphoma sejak setahun lalu.
Isterinya, Hassimah Mat Din berkata, walaupun masih lemah keadaan kesihatan M Rajoli kini beransur pulih berbanding sebelumnya.
Harian Metro
Sentral: Kelab Golf Selebriti Serah Sumbangan Bantu M Rajoli
April 19, 2009

WAKIL Kelab Golf Selebriti Malaysia melihat keadaan M Rajoli selepas menyampaikan RM2,500 di Hulu Klang, semalam.
KUALA LUMPUR: Pelakon, M Rajoli atau nama sebenarnya, Mohd Rajoli Mohd Zain, 63, yang menghidap kanser kelenjar otak atau lymphoma sejak setahun lalu, semalam menerima sumbangan RM2,500 daripada Kelab Golf Selebriti Malaysia.
Sumbangan disampaikan wakilnya, Datuk Shafik Rizaal Saaban dan selebriti, Betty Banafe.
Shafik berkata, sumbangan itu sebagai tanda penghargaan pihaknya terhadap jasa M Rajoli dalam industri hiburan tanah air.
“Walaupun beliau (M Rajoli) tidak lagi segagah dulu, tapi kami ingin beliau tahu bahawa jasanya sentiasa dalam ingatan pencinta seni tanah air,” katanya ketika ditemui di kediaman M Rajoli di Hulu Klang, di sini.
Sementara itu, isteri M Rajoli, Hassimah Mat Din, berkata kesihatan M Rajoli semakin pulih sejak suaminya pulang ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
“Sejak itu saya lihat dia seolah-olah menemui kembali semangatnya. Jika sebelum ini beliau tidak mampu makan sendiri, tetapi sejak pulang ke Kelantan, dia sudah mampu menyuap makanan sendiri,” katanya.
Berita Harian