Format Baru Muzik Muzik Lebih Terbuka
April 27, 2009
BERMULA 4 April lalu, rancangan hiburan Muzik Muzik membuat keputusan sesebuah lagu yang dicalonkan pada peringkat awal tidak lagi diletakkan dalam mana-mana kategori membuatkan pertandingan itu kini lebih terbuka kepada semua bentuk lagu, tidak kira balada, pop, rock dan etnik kreatif.
Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studio Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria, perubahan itu dilakukan setelah meneliti pandangan peminat dan mereka yang terbabit secara langsung dalam industri muzik negara.
“Kini, semua lagu dicalonkan secara bebas. Kita tidak mahu meletakkannya dalam sebarang kategori bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pencipta dan lagu menyertai program ini. Dengan sendiri, kita menggalakkan kreativiti yang lebih di kalangan pencipta itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman program itu di Sri Pentas 2, Shah Alam, baru-baru ini.
Menurutnya, ramai pencipta muzik menjadikan rancangan berkenaan sebagai rujukan dalam berkarya. Justeru, tidak mahu karya mereka dilihat sebagai terhad, Primeworks memutuskan untuk tidak menetapkan sebarang kategori pada peringkat awal rancangan berkenaan.
“Peminat sendiri mahukan perubahan pada rancangan ini, namun bukan secara mutlak. Mereka tidak mahu melepaskan kategori Balada dan Pop Rock. Lagipun, dua kategori itulah yang paling besar jumlahnya.
“Kami mengalu-alukan semua lagu, termasuk daripada artis nasyid dan indie, dicalonkan dalam program ini. Biar peminat membuat undian secara bebas, lagu mana yang menjadi kesukaan mereka. Apabila sampai ke peringkat separuh akhir, barulah pihak kami akan campur tangan, dengan menentukan kategorinya,” kata Fadzliniza yang berharap, dengan sistem terbuka itu, ia bakal menggalakkan pencipta tempatan menghasilkan lebih banyak lagu kreatif dalam lebih banyak genre, seterusnya memperkayakan lagi khazanah muzik negara.
Menerusi sistem lebih terbuka itu juga, diharapkan lebih ramai penyanyi atau kumpulan indie tampil mencalonkan karya mereka dalam program terbabit.
Ini seterusnya dapat menggalakkan lagi generasi muda untuk terus berkarya dan mempelbagaikan lagi ilham cipta mereka. Bagaimanapun, lagu yang hendak dicalonkan itu biarlah mempunyai kualiti yang baik atau setidak-tidaknya mendapat tempat di stesen radio tempatan.
Muzik Muzik edisi terbaru juga diubah siarannya ke Sabtu, jam 5 petang hingga 6 petang. Ia masih mengekalkan pengacara Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai hos, manakala Ezlynn pula tampil sebagai pengacara undangan.
Muzik Muzik 24 turut menampilkan tiga segmen iaitu Buzz yang memaparkan peristiwa dalam industri muzik tanah air, segmen Trivia pula memfokuskan rentetan perjalanan hidup seseorang artis dari awal pembabitan sehingga kini, serta segmen Candid yang memberikan peluang kepada peminat beraksi seperti artis kesayangan mereka. Ia diacarakan Adzri Faiz Azlan.
Berita Harian
Tunggu Surat Rasmi
April 27, 2009
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
Selepas enam tahun bersama KRU Studios, kini mahu tampil dengan identiti baru, lebih segar
SELEPAS kira-kira enam tahun bernaung di bawah label KRU Studios, Ezlynn akhirnya mengucapkan selamat tinggal pada syarikat rakaman yang banyak membantu mengangkat namanya sebaris penyanyi terkenal lain di negara ini.
Bermula dengan lagu Hi Hi Bye Bye dan berakhir dengan Jikalau Aku, lebih setahun yang lalu, KRU memperkenalkan Ezlynn sehingga dia mengukir nama sebagai penyanyi yang mempunyai identiti dan kemampuan tersendiri.
Pada Mei ini, secara rasmi Ezlynn bebas daripada syarikat milik tiga adik beradik, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim itu. Ketika artikel ini ditulis, dia sedang menunggu surat hitam putih untuk mengesahkan perpisahannya dengan jenama KRU.
Pada masa sama, dia sibuk memikirkan pelbagai rancangan untuk memastikan kesinambungan kerjaya dalam dunia seni muzik berterusan. Antaranya, penyanyi ini berbelah bagi antara penghasilan album atas perbelanjaan sendiri atau menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman lain, yang sudah pun mengintai-intai peluang meminang dirinya.
“Jika diberi peluang menghasilkan album sendiri, iaitu menerusi syarikat saya Ezlynn Entertainment, sudah tentu pemilihan lagu dan konsep album dilakukan sendiri oleh saya.
“Saya mahu idea saya diberikan tempat sewajarnya. Begitu juga saya terfikir untuk menukar imej sempena episod baru dalam karier,”ῠkata wanita berusia 27 tahun ini.
Tidak mahu muncul dengan album penuh, Ezlynn lebih selesa seandainya single demi single diterbitkan terlebih dulu. Daripada himpunan single berkenaan, barulah sebuah album akan dikeluarkan apabila tiba waktu bersesuaian.
“Saya mungkin menerbitkannya dengan kemudahan muat turun atau sebagai lagu nada dering, sesuai dengan minat penggemar muzik ketika ini,” katanya yang cuba mengelak daripada merakamkan lagu berbentuk rock tegar, sebaliknya menginginkan bentuk muzik bersifat ringan, indie serta catchy.
Katanya, jika seseorang penyanyi mahu memikat khalayak yang lebih ramai, muzik yang bersifat massa haruslah dihasilkan.
Terima lamaran kumpulan indie
MENYAMBUNG cerita, penyanyi yang turut bergelar pelakon dan pengacara ini berkata, baru-baru ini dia menerima lamaran daripada sebuah kumpulan indie, Sorganina, untuk berduet bersama mereka menerusi lagu yang dihasilkan sendiri anggota kumpulan terbabit.
Menurutnya, kumpulan berkenaan berasakan, suaranya mempunyai keserasian dengan konsep lagu yang mereka ilhamkan.
“Sebagai penyanyi, saya tidak keberatan bekerja dengan penyanyi atau kumpulan baru. Saya harus memberikan sokongan kepada mereka, sebagaimana penyanyi lebih senior membantu pembabitan saya dalam dunia seni satu ketika dulu.
“Apabila kita memberikan kerjasama kepada penyanyi baru, ia seumpama balasan kita terhadap apa yang dianugerahkan kepada kita selama ini. Lagipun, tujuan kita semua hanya satu, untuk sama-sama meningkatkan industri muzik. Seandainya mereka berjaya, kita juga turut tumpang berbangga dengan pencapaian itu,” katanya.
Menyentuh kelangsungan kariernya tatkala kegawatan ekonomi melanda, Ezlynn mendedahkan, dia tetap bernafas biarpun dalam suasana kurang memberangsangkan ketika ini, berikutan kepelbagaian bakat yang ditawarkan olehnya kepada pihak penganjur. Begitu juga dia mempunyai budi bicara apabila mereka mahukan kepastian soal harga.
Di samping menyanyi, Ezlynn tidak kekok untuk mengendalikan majlis. Justeru, dia selalunya menghulurkan khidmat berbentuk pakej – nyanyian dan pengacaraan sekali gus. Begitu juga Ezlynn mampu mengendalikan pelbagai permainan sewaktu persembahan, serta berkeupayaan menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa, yang membolehkannya terus mendapat undangan daripada pelbagai syarikat korporat dan sebagainya.
Muncul dalam Suara Hati di Astro Prima malam ini
MINGGU lalu, penyanyi ini diperkenalkan Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai pengacara baru yang akan sama-sama memeriahkan program hiburan popular, Muzik Muzik.
Hakikatnya, rancangan berkenaan bukanlah asing bagi Ezlynn kerana dia pernah beberapa kali menggantikan Cheryl apabila pengacara itu tidak dapat menunaikan tanggung jawabnya, ketika dia masih mengendalikan Muzik Muzik secara berseorangan. Beberapa tahun lalu pula, Ezlynn muncul antara pengacara bersama program Anugerah Juara Lagu.
“Sudah tentu saya menerimanya kerana Muzik Muzik ialah antara program paling diminati di negara ini. Saya sendiri, sejak dari kecil lagi memang setia menonton rancangan Muzik Muzik. Tidak disangka, hari ini, saya menjadi sebahagian daripada keluarga program itu pula,” katanya yang mengaku mempunyai keserasian bersama dua pengacara asalnya, Cheryl dan Faizal.
Begitupun, katanya, sudah tentulah mereka duduk berbincang sebelum sesuatu episod dirakam, bagi mengelakkan pertindihan pengucapan atau perebutan berbicara sewaktu mengendalikannya. Maklum saja, kata penyanyi ini, masing-masing adalah pengacara yang boleh digelar ‘bermulut bertih’.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan, Ezlynn berpesan, peminat boleh menonton lakonannya menerusi drama bersiri Suara Hati, yang menemui orang ramai setiap Isnin, jam 10 malam di saluran Astro Prima. Dalam siri berkenaan, dia berlakon di samping Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.
“Ada juga beberapa tawaran berlakon filem yang tiba ke riba, tetapi jadual penggambaran pula tidak mengizinkan saya menerimanya. Mungkin jika ada tawaran yang bersesuaian pada masa depan, kena pula dengan masanya, saya pasti menimbangkan undangan berkenaan,” katanya.
EZLYNNNama: Azline AriffinTarikh Lahir: 27 September 1981 Asal: Ulu Kinta, PerakProfesion: Penyanyi, Pelakon, PengacaraAlbum: Ehmm…. (2003), Pssst… (2004)Filem: Diva Popular, Bilut, Zombie Kampung PisangDrama: Suara HatiProgram TV: Mentor, Muzik MuzikDuta: Produk kecantikan Shurah.
Berita Harian
Cheryl Kekal Terajui Ghost
April 13, 2009

LEBIH menyeramkan. Cheryl (tengah) bersama tenaga barisan lakonan Ghost musim kedua.
Masihkah anda ingat dengan siri Ghost lakonan Cheryl Samad dan Nazrudin Rahman yang ditayangkan di 8TV sebelum ini? Pertengahan bulan April ini, Ghost kembali mengisi hari-hari anda dengan musim kedua yang pastinya lebih mendebarkan!
“Ghost kini kembali dengan musim terbaru yang bakal melarutkan anda menerusi plot yang lebih menarik dan mendebarkan,” ujar Pengurus Besar Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim.
“Musim terbaru ini lengkap dengan elemen suspen menampilkan watak-watak baru bagi menjadikan jalan cerita lebih menarik dan bertenaga,” tambahnya.
Tenaga lakonan utama Ghost, Cheryl dan Nazrudin sekali lagi digandingkan masing-masing bagi menghidupkan watak Eza dan Zack.
Memperkuatkan tenaga lakonan Ghost musim terbaru ini ialah Fairil Emran (Fariz), Anding Indrawani (Alam), Isma Hanum (Harum), Melissa Campbell (Alicia Soo), Zahiril Adzim (Ridzuan) dan Colin Kirton (Edmund Soo).
Kisah yang dipaparkan kali ini bermula selepas dua tahun kes pembunuhan Zack berlaku. Kehidupan Eza berjalan seperti biasa.

Kerjayanya sebagai wartawan semakin berkembang dan kehidupan peribadinya juga berjalan dalam keadaan yang baik sehinggalah apabila dia ditugaskan menyiasat misteri kehilangan Alicia Soo, seorang gadis cantik anak kepada seorang peguam terkenal, Edmund Soo.
Berpandukan petunjuk yang diperolehinya, Eza akhirnya bertemu dengan Harum. Eza berasa cukup pelik kerana dapat melihat Harum yang sebenarnya sudah lama meninggal dunia. Kini, Eza cuba menyiasat misteri kematian Harum pula.
Eza menyenaraikan banyak nama-nama suspek berkait misteri kehilangan Alice dan akhirnya mendapati Alicia dan Harum merupakan adik-beradik tiri dan berkongsi bapa yang sama iaitu Edmund.
Pada masa yang sama, gambar-gambar mangsa pembunuhan sering bermain di fikiran Eza dan masing-masing mempunyai satu persamaan iaitu mempunyai ukiran hati di pergelangan tangan masing-masing.
Siapakah pembunuh yang dicari-cari Eza? Eza berusaha untuk menyelesaikan kes yang rumit itu dan mendapati semua kes itu berkait antara satu sama lain.
Bagi mengetahui kisah Eza dengan lebih lanjut, jangan lupa untuk menyaksikan Ghost musim ke-2 bermula 19 April ini, pukul 10.30 malam di 8TV dan Astro (708) serta di telefon bimbit anda menerusi www.mobile.8tv.com.my.
Kosmo