Format Baru Muzik Muzik Lebih Terbuka
April 27, 2009
BERMULA 4 April lalu, rancangan hiburan Muzik Muzik membuat keputusan sesebuah lagu yang dicalonkan pada peringkat awal tidak lagi diletakkan dalam mana-mana kategori membuatkan pertandingan itu kini lebih terbuka kepada semua bentuk lagu, tidak kira balada, pop, rock dan etnik kreatif.
Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studio Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria, perubahan itu dilakukan setelah meneliti pandangan peminat dan mereka yang terbabit secara langsung dalam industri muzik negara.
“Kini, semua lagu dicalonkan secara bebas. Kita tidak mahu meletakkannya dalam sebarang kategori bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pencipta dan lagu menyertai program ini. Dengan sendiri, kita menggalakkan kreativiti yang lebih di kalangan pencipta itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman program itu di Sri Pentas 2, Shah Alam, baru-baru ini.
Menurutnya, ramai pencipta muzik menjadikan rancangan berkenaan sebagai rujukan dalam berkarya. Justeru, tidak mahu karya mereka dilihat sebagai terhad, Primeworks memutuskan untuk tidak menetapkan sebarang kategori pada peringkat awal rancangan berkenaan.
“Peminat sendiri mahukan perubahan pada rancangan ini, namun bukan secara mutlak. Mereka tidak mahu melepaskan kategori Balada dan Pop Rock. Lagipun, dua kategori itulah yang paling besar jumlahnya.
“Kami mengalu-alukan semua lagu, termasuk daripada artis nasyid dan indie, dicalonkan dalam program ini. Biar peminat membuat undian secara bebas, lagu mana yang menjadi kesukaan mereka. Apabila sampai ke peringkat separuh akhir, barulah pihak kami akan campur tangan, dengan menentukan kategorinya,” kata Fadzliniza yang berharap, dengan sistem terbuka itu, ia bakal menggalakkan pencipta tempatan menghasilkan lebih banyak lagu kreatif dalam lebih banyak genre, seterusnya memperkayakan lagi khazanah muzik negara.
Menerusi sistem lebih terbuka itu juga, diharapkan lebih ramai penyanyi atau kumpulan indie tampil mencalonkan karya mereka dalam program terbabit.
Ini seterusnya dapat menggalakkan lagi generasi muda untuk terus berkarya dan mempelbagaikan lagi ilham cipta mereka. Bagaimanapun, lagu yang hendak dicalonkan itu biarlah mempunyai kualiti yang baik atau setidak-tidaknya mendapat tempat di stesen radio tempatan.
Muzik Muzik edisi terbaru juga diubah siarannya ke Sabtu, jam 5 petang hingga 6 petang. Ia masih mengekalkan pengacara Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai hos, manakala Ezlynn pula tampil sebagai pengacara undangan.
Muzik Muzik 24 turut menampilkan tiga segmen iaitu Buzz yang memaparkan peristiwa dalam industri muzik tanah air, segmen Trivia pula memfokuskan rentetan perjalanan hidup seseorang artis dari awal pembabitan sehingga kini, serta segmen Candid yang memberikan peluang kepada peminat beraksi seperti artis kesayangan mereka. Ia diacarakan Adzri Faiz Azlan.
Berita Harian
Tunggu Surat Rasmi
April 27, 2009
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
Selepas enam tahun bersama KRU Studios, kini mahu tampil dengan identiti baru, lebih segar
SELEPAS kira-kira enam tahun bernaung di bawah label KRU Studios, Ezlynn akhirnya mengucapkan selamat tinggal pada syarikat rakaman yang banyak membantu mengangkat namanya sebaris penyanyi terkenal lain di negara ini.
Bermula dengan lagu Hi Hi Bye Bye dan berakhir dengan Jikalau Aku, lebih setahun yang lalu, KRU memperkenalkan Ezlynn sehingga dia mengukir nama sebagai penyanyi yang mempunyai identiti dan kemampuan tersendiri.
Pada Mei ini, secara rasmi Ezlynn bebas daripada syarikat milik tiga adik beradik, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim itu. Ketika artikel ini ditulis, dia sedang menunggu surat hitam putih untuk mengesahkan perpisahannya dengan jenama KRU.
Pada masa sama, dia sibuk memikirkan pelbagai rancangan untuk memastikan kesinambungan kerjaya dalam dunia seni muzik berterusan. Antaranya, penyanyi ini berbelah bagi antara penghasilan album atas perbelanjaan sendiri atau menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman lain, yang sudah pun mengintai-intai peluang meminang dirinya.
“Jika diberi peluang menghasilkan album sendiri, iaitu menerusi syarikat saya Ezlynn Entertainment, sudah tentu pemilihan lagu dan konsep album dilakukan sendiri oleh saya.
“Saya mahu idea saya diberikan tempat sewajarnya. Begitu juga saya terfikir untuk menukar imej sempena episod baru dalam karier,”ῠkata wanita berusia 27 tahun ini.
Tidak mahu muncul dengan album penuh, Ezlynn lebih selesa seandainya single demi single diterbitkan terlebih dulu. Daripada himpunan single berkenaan, barulah sebuah album akan dikeluarkan apabila tiba waktu bersesuaian.
“Saya mungkin menerbitkannya dengan kemudahan muat turun atau sebagai lagu nada dering, sesuai dengan minat penggemar muzik ketika ini,” katanya yang cuba mengelak daripada merakamkan lagu berbentuk rock tegar, sebaliknya menginginkan bentuk muzik bersifat ringan, indie serta catchy.
Katanya, jika seseorang penyanyi mahu memikat khalayak yang lebih ramai, muzik yang bersifat massa haruslah dihasilkan.
Terima lamaran kumpulan indie
MENYAMBUNG cerita, penyanyi yang turut bergelar pelakon dan pengacara ini berkata, baru-baru ini dia menerima lamaran daripada sebuah kumpulan indie, Sorganina, untuk berduet bersama mereka menerusi lagu yang dihasilkan sendiri anggota kumpulan terbabit.
Menurutnya, kumpulan berkenaan berasakan, suaranya mempunyai keserasian dengan konsep lagu yang mereka ilhamkan.
“Sebagai penyanyi, saya tidak keberatan bekerja dengan penyanyi atau kumpulan baru. Saya harus memberikan sokongan kepada mereka, sebagaimana penyanyi lebih senior membantu pembabitan saya dalam dunia seni satu ketika dulu.
“Apabila kita memberikan kerjasama kepada penyanyi baru, ia seumpama balasan kita terhadap apa yang dianugerahkan kepada kita selama ini. Lagipun, tujuan kita semua hanya satu, untuk sama-sama meningkatkan industri muzik. Seandainya mereka berjaya, kita juga turut tumpang berbangga dengan pencapaian itu,” katanya.
Menyentuh kelangsungan kariernya tatkala kegawatan ekonomi melanda, Ezlynn mendedahkan, dia tetap bernafas biarpun dalam suasana kurang memberangsangkan ketika ini, berikutan kepelbagaian bakat yang ditawarkan olehnya kepada pihak penganjur. Begitu juga dia mempunyai budi bicara apabila mereka mahukan kepastian soal harga.
Di samping menyanyi, Ezlynn tidak kekok untuk mengendalikan majlis. Justeru, dia selalunya menghulurkan khidmat berbentuk pakej – nyanyian dan pengacaraan sekali gus. Begitu juga Ezlynn mampu mengendalikan pelbagai permainan sewaktu persembahan, serta berkeupayaan menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa, yang membolehkannya terus mendapat undangan daripada pelbagai syarikat korporat dan sebagainya.
Muncul dalam Suara Hati di Astro Prima malam ini
MINGGU lalu, penyanyi ini diperkenalkan Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai pengacara baru yang akan sama-sama memeriahkan program hiburan popular, Muzik Muzik.
Hakikatnya, rancangan berkenaan bukanlah asing bagi Ezlynn kerana dia pernah beberapa kali menggantikan Cheryl apabila pengacara itu tidak dapat menunaikan tanggung jawabnya, ketika dia masih mengendalikan Muzik Muzik secara berseorangan. Beberapa tahun lalu pula, Ezlynn muncul antara pengacara bersama program Anugerah Juara Lagu.
“Sudah tentu saya menerimanya kerana Muzik Muzik ialah antara program paling diminati di negara ini. Saya sendiri, sejak dari kecil lagi memang setia menonton rancangan Muzik Muzik. Tidak disangka, hari ini, saya menjadi sebahagian daripada keluarga program itu pula,” katanya yang mengaku mempunyai keserasian bersama dua pengacara asalnya, Cheryl dan Faizal.
Begitupun, katanya, sudah tentulah mereka duduk berbincang sebelum sesuatu episod dirakam, bagi mengelakkan pertindihan pengucapan atau perebutan berbicara sewaktu mengendalikannya. Maklum saja, kata penyanyi ini, masing-masing adalah pengacara yang boleh digelar ‘bermulut bertih’.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan, Ezlynn berpesan, peminat boleh menonton lakonannya menerusi drama bersiri Suara Hati, yang menemui orang ramai setiap Isnin, jam 10 malam di saluran Astro Prima. Dalam siri berkenaan, dia berlakon di samping Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.
“Ada juga beberapa tawaran berlakon filem yang tiba ke riba, tetapi jadual penggambaran pula tidak mengizinkan saya menerimanya. Mungkin jika ada tawaran yang bersesuaian pada masa depan, kena pula dengan masanya, saya pasti menimbangkan undangan berkenaan,” katanya.
EZLYNNNama: Azline AriffinTarikh Lahir: 27 September 1981 Asal: Ulu Kinta, PerakProfesion: Penyanyi, Pelakon, PengacaraAlbum: Ehmm…. (2003), Pssst… (2004)Filem: Diva Popular, Bilut, Zombie Kampung PisangDrama: Suara HatiProgram TV: Mentor, Muzik MuzikDuta: Produk kecantikan Shurah.
Berita Harian
Gembira Dalam Gementar
April 17, 2009
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Nazatul berdebar menanti masa beraksi bersama penyanyi idola, Faizal Tahir
MASIH terkesan rasa segan dan silu tatkala berdepan dengan penyanyi popular, Faizal Tahir ketika mereka dipertemukan dalam sesi fotografi sempena Minggu Setiausaha di Hotel Istana, Kuala Lumpur, petang kelmarin.
Lidahnya seakan kelu, tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara namun jauh di sudut hati, sukar untuk melindungi rasa teruja yang menguasai diri.
Perkataan pertama yang terbit dari bibir gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah ini: “Saya memang meminati dan mengaguminya”.
Nazatul Farahin Mohd Hussin – gadis bertuah ini memperoleh peluang keemasan untuk mengecap segala yang menjadi impian mereka yang bercita-cita melayarkan bakat sebagai anak seni.
Tuah bergelar juara keseluruhan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) anjuran sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 mengubah hidup gadis bertubuh kecil molek berusia 20 tahun ini.
Nazatul Farahin Mohd Hussin
“Sesuatu yang luar biasa sedang berlaku dalam hidup saya. Tidak pernah saya termimpi memperoleh semua penghargaan ini atas kelebihan bakat yang dimiliki,” katanya perlahan, masih disulami perasaan silu.
Nazatul memberitahu, pernah dulu dia menyimpan keinginan untuk bertemu dengan penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Syurga itu.
Menatap kelibat Faizal yang sentiasa tampil penuh karisma dan bertenaga di layar kaca membenihkan rasa kagum dalam diri Nazatul.
“Dia hebat. Kejayaan Faizal menjadi contoh untuk saya berusaha keras menggapai cita-cita. Mungkin saya masih terlalu baru, belum ada yang mengenali namun saya juga mengimpikan untuk mencapai segala yang diimpikan dengan tunjuk ajar semua pihak,” katanya.
PEREKA, Faizal Azraff (depan) dan Kenny memeriksa pakaian Faizal dan Nazatul untuk persembahan Minggu Setiausaha nanti.
Nazatul diberi penghormatan untuk berduet dengan penyanyi kegemarannya itu pada majlis sambutan Minggu Setiausaha di Mahkota Grand Ballroom, Hotel Istana, 22 April ini.
Sedikit berbeza kerana acara tahunan setiap April itu membariskan tiga penyanyi popular Indonesia, Rio Febrian, Delon (Indonesian Idol) dan Irwansyah selain kemunculan istimewa dua penyanyi wanita tempatan, Jaclyn Victor dan Azharina.
Bersama sajian nasi padang yang memberi suntikan kelainan untuk acara glamour itu, tetamu juga berpeluang beramah mesra dengan aktor terkenal Malaysia dan Indonesia seperti Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Aqasha, Fizo Omar, Aaron Aziz, Samuel Rizal, Didi Riyadi dan Ariffin Putra.
“Kami masih belum berbincang bentuk lagu yang akan disampaikan. Cuma saya cuba memberikan yang terbaik kerana tidak mudah peluang besar seperti ini hadir,” katanya terharu.
Lebih membuat Nazatul terharu apabila penampilannya pada petang itu dibantu pereka muda yang sedang mencipta nama, Faizel Azraff.
Sehelai gaun merah direka khas untuk menyerlahkan penampilan gadis bersuara lantang itu, sekali gus membawanya merasai detik gemilang sebagai seorang bintang.
“Saya berterima kasih kepada Berita Harian atas peluang ini,” katanya yang turut disunting komposer terkenal, Julfekar untuk merakamkan single, Suara Rindu sebagai permulaan dia bertapak dalam bidang seni.
Ditanya perasaannya ketika diberi peluang untuk mengalunkan lagu Anggapanmu nyanyian Ziana Zain pada malam ABPBH 2008 di depan lebih 6,000 penonton, Nazatul berkata, segala rasa bercampur baur.
Dalam takut dan gemuruh, Nazatul berkata, dia berusaha memberikan yang terbaik kerana tidak tahu bila peluang seumpama itu akan kembali menjadi miliknya.
Tanpa disangka, persembahannya menarik perhatian ramai termasuk penggubah muzik, Ramli MS yang memberinya kata perangsang sebelum menaiki pentas.
“Dia berpesan supaya saya menyanyi bersungguh-sungguh kerana ia ditonton ramai. Walaupun singkat saya berpuas hati. Membuatkan saya terharu artis seperti Fara Fauzana dan Ezlynn turut memberikan kata semangat untuk saya memulakan langkah dalam bidang ini,” katanya.
Rezeki tetap ada
BANYAK yang dilalui Faizal sepanjang dua tahun menjadi anak seni – pahit dan manis, pujian serta cacian menjadi mainan hidupnya namun semangatnya tidak pernah padam.
Biar apa juga cubaan merintanginya, ia tidak membekas kesan di hati penyanyi berusia 30 tahun itu. Dia tekad menghadapinya kerana Faizal percaya, kejujuran akan menyerlah dalam setiap hasil kerjayanya andai dilakukan atas landasan keikhlasan.
Ketika bahang kegawatan ekonomi ini, rezeki anak seni juga turut diuji. Ia makin dirasai apabila persembahan yang dirancang dibatalkan, malah bajet juga berkurangan mendesaknya supaya lebih kreatif dalam merencana kerjaya untuk memberi kepuasan kepada khalayak.
“Namun saya bersyukur kerana kegawatan datang pada masa yang sesuai. Ia memberi rahmat kerana secara tidak langsung memberi saya lebih ruang untuk menumpukan perhatian kepada penerbitan album kedua.
“Harapnya situasi ini tidak berlarutan dan keadaan ekonomi kembali stabil apabila album dipasarkan tidak lama lagi,” katanya.
Kembali bekerja dengan Audi Mok yang melahirkan karya menarik untuk album perdananya, Aku.Muzik.Kamu, akui Faizal proses pembikinan album keduanya ini berjalan agak perlahan.
Bukan kerana terlalu berhati-hati, cuma dia bersama Audi ingin menghasilkan karya terbaik tanpa tekanan dan berharap semuanya berjalan seperti yang mereka impikan.
“Karya yang baik akan datang bila ada kebebasan. Saya mahu bergembira dengan penerbitan album kedua, tanpa rasa tertekan,” katanya.
Jujur akui Faizal, pembikinan album sulungnya berjalan agak tergesa-gesa terutama pada peringkat akhir tetapi dia bertuah kerana tekanan membuahkan karya yang baik seperti Sampai Syurga dan Coba.
“Percubaan yang baik namun saya dan Audi tetap merasai banyak kekurangan dalam album itu. Tetapi, mengambil masa yang panjang juga sebenarnya memberikan risiko kerana ia mungkin memberikan hasil sebaliknya.
“Untuk album terbaru ini, saya dan Audi semakin berani melakukan eksperimen namun tetap berhati-hati supaya tidak berlebihan,” katanya.
Turut berterima kasih kepada syarikat rakamannya yang kembali memberikan kepercayaan besar itu kerana dia melihat ia sebagai tanggungjawab tanpa perlu terlalu memikirkan mengenai tekanan.
“Ada kebaikan dan keburukan kerana sesetengah pihak berasa terbeban serta bimbang tidak mampu memenuhi tanggungjawab yang diserahkan. Namun saya melihatnya sebagai penyuntik keyakinan untuk menghasilkan karya yang bagus,” katanya.
Info:
MB
Tarikh: 22 April 2009
Waktu: 11 pagi hingga 4 petang
Bayaran: RM290 dan RM350
Persembahan nyanyian: Rio Febrian, Delon dan Irwansyah dari Indonesia, selain Faizal Tahir dan Imran Ajmaain
Penampilan istimewa: Jaclyn Victor dan Azharina
Pengacara: Afdlin Shauki, AC Mizal dan Ally Iskandar
Selebriti terbabit: Samuel Rizal, Didi Riyadi dan Ariffin Putra dari Indonesia, selain Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Aaron Aziz, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli dan Fizo Omar
Untuk tempahan: 03-21419988 sambungan 3667
Berita Harian