Betty Benafe Masih Solo
April 27, 2009

BETTY mahu beri tumpuan
kepada kerjaya lakonan tahun ini.
LAMA wanita berwajah Arab-Melayu-Jawa ini tidak muncul di kaca televisyen, lalu pelbagai spekulasi mengenai kehilangannya diperkatakan. Ada mengatakan kehilangan Betty Banafe kerana mahu menyorokkan perkahwinannya dengan seorang berstatus VIP daripada dihidu media dan peminat.
Bertemu dengan wanita itu ketika pelancaran drama terbaru lakonannya berjudul Yusuff baru-baru ini, soalan mengenai kisah kahwinnya tidak lupa diajukan.
Air muka wanita berasal dari Johor Bahru ini sedikit berubah tatkala soalan itu diajukan kepadanya. Entah apa yang bermain di fikirannya ketika itu, seolah-olah dia sedang memikirkan sesuatu.
Agak lama Betty mengambil masa menjawab soalan diajukan. Barang kali sudah puas memikir, sebutir demi sebutir penjelasan diberikan pemegang watak Zahila iaitu ibu tiri kepada Yusuff yang dipegang Ashraf Muslim ini.
Pelakon yang turut membintangi drama bersiri Yusuff ialah Intan Sarafina dan Zarynn Min.
“Saya belum berkahwin lagi. Untuk apa saya menyorokkan status jika benar-benar sudah berkahwin kerana perkara itu hanya akan menyusahkan saya kelak, terutamanya jika satu hari nanti ditakdirkan saya mengandung.
“Tapi saya mengaku memang sedang berkawan dengan seseorang dan kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Saya mempunyai ramai kawan tetapi sehingga kini masih belum bertemu insan yang sesuai untuk dijadikan teman hidup,” jelasnya.
Selain menafikan berita perkahwinannya, wanita itu juga menafikan sekeras-kerasnya suami orang menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai calon suami. Dia tidak menafikan kebanyakan lelaki yang rapat dengannya rata-rata sudah beristeri, namun tidak sesekali mahu menjadi peruntuh rumah tangga orang.
Betty tahu, andai dia melakukan sedemikian tidak mustahil satu hari nanti rumah tangganya juga ditimpa nasib serupa.
“Dari dulu saya tanamkan dalam hati tidak mahu mengambil suami orang. Memang kebanyakan lelaki yang saya kenali adalah suami orang, kita tidak tahu takdir dan jodoh tetapi seboleh mungkin saya akan cuba tidak mendekatkan diri dengan perkara itu.
“Saya tidak mengimpikan lelaki yang kaya dan berkedudukan, cukup jika dia mempunyai jati diri yang tinggi dan mempunyai kehidupan yang stabil. Wang tidak akan menjamin kebahagiaan seseorang, bagi saya wang boleh dicari tetapi yang penting adalah hati budi,” kata wanita itu yang kini sibuk menyiapkan album keduanya.
Konsepnya kata Betty sedikit berbeza daripada album pertamanya berjudul Ibtisam yang berada di pasaran pada 2006. Namun dia masih lagi mengekalkan elemen samrah dan Jawa yang mempunyai kaitan dengan dirinya.
Walaupun tahun ini dia mahu menumpukan pada dunia lakonan, tetapi pada masa yang sama Betty sedang menyiapkan single dan album mini yang bakal memuatkan empat buah lagu.
“Saya suka perkara yang pernah saya buat dan ada kaitan dengan diri saya. InsyaAllah saya akan cuba siapkan album mini tahun ini juga walaupun tahun ini sebenarnya saya mahu menumpukan perhatian pada karier lakonan.
“Selain itu, masa juga terpaksa dibahagikan dengan ibu kerana dia kini sedang terlantar sakit akibat ketumbuhan. Saya pun baru saja mengambil ibu di Jakarta kerana lebih senang jika ibu ada di depan mata berbanding jika dia berada jauh daripada kami adik-beradik,” kata selebriti yang cukup berahsia soal umur ini.
Berita Harian
Tunggu Surat Rasmi
April 27, 2009
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
Selepas enam tahun bersama KRU Studios, kini mahu tampil dengan identiti baru, lebih segar
SELEPAS kira-kira enam tahun bernaung di bawah label KRU Studios, Ezlynn akhirnya mengucapkan selamat tinggal pada syarikat rakaman yang banyak membantu mengangkat namanya sebaris penyanyi terkenal lain di negara ini.
Bermula dengan lagu Hi Hi Bye Bye dan berakhir dengan Jikalau Aku, lebih setahun yang lalu, KRU memperkenalkan Ezlynn sehingga dia mengukir nama sebagai penyanyi yang mempunyai identiti dan kemampuan tersendiri.
Pada Mei ini, secara rasmi Ezlynn bebas daripada syarikat milik tiga adik beradik, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim itu. Ketika artikel ini ditulis, dia sedang menunggu surat hitam putih untuk mengesahkan perpisahannya dengan jenama KRU.
Pada masa sama, dia sibuk memikirkan pelbagai rancangan untuk memastikan kesinambungan kerjaya dalam dunia seni muzik berterusan. Antaranya, penyanyi ini berbelah bagi antara penghasilan album atas perbelanjaan sendiri atau menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman lain, yang sudah pun mengintai-intai peluang meminang dirinya.
“Jika diberi peluang menghasilkan album sendiri, iaitu menerusi syarikat saya Ezlynn Entertainment, sudah tentu pemilihan lagu dan konsep album dilakukan sendiri oleh saya.
“Saya mahu idea saya diberikan tempat sewajarnya. Begitu juga saya terfikir untuk menukar imej sempena episod baru dalam karier,”ῠkata wanita berusia 27 tahun ini.
Tidak mahu muncul dengan album penuh, Ezlynn lebih selesa seandainya single demi single diterbitkan terlebih dulu. Daripada himpunan single berkenaan, barulah sebuah album akan dikeluarkan apabila tiba waktu bersesuaian.
“Saya mungkin menerbitkannya dengan kemudahan muat turun atau sebagai lagu nada dering, sesuai dengan minat penggemar muzik ketika ini,” katanya yang cuba mengelak daripada merakamkan lagu berbentuk rock tegar, sebaliknya menginginkan bentuk muzik bersifat ringan, indie serta catchy.
Katanya, jika seseorang penyanyi mahu memikat khalayak yang lebih ramai, muzik yang bersifat massa haruslah dihasilkan.
Terima lamaran kumpulan indie
MENYAMBUNG cerita, penyanyi yang turut bergelar pelakon dan pengacara ini berkata, baru-baru ini dia menerima lamaran daripada sebuah kumpulan indie, Sorganina, untuk berduet bersama mereka menerusi lagu yang dihasilkan sendiri anggota kumpulan terbabit.
Menurutnya, kumpulan berkenaan berasakan, suaranya mempunyai keserasian dengan konsep lagu yang mereka ilhamkan.
“Sebagai penyanyi, saya tidak keberatan bekerja dengan penyanyi atau kumpulan baru. Saya harus memberikan sokongan kepada mereka, sebagaimana penyanyi lebih senior membantu pembabitan saya dalam dunia seni satu ketika dulu.
“Apabila kita memberikan kerjasama kepada penyanyi baru, ia seumpama balasan kita terhadap apa yang dianugerahkan kepada kita selama ini. Lagipun, tujuan kita semua hanya satu, untuk sama-sama meningkatkan industri muzik. Seandainya mereka berjaya, kita juga turut tumpang berbangga dengan pencapaian itu,” katanya.
Menyentuh kelangsungan kariernya tatkala kegawatan ekonomi melanda, Ezlynn mendedahkan, dia tetap bernafas biarpun dalam suasana kurang memberangsangkan ketika ini, berikutan kepelbagaian bakat yang ditawarkan olehnya kepada pihak penganjur. Begitu juga dia mempunyai budi bicara apabila mereka mahukan kepastian soal harga.
Di samping menyanyi, Ezlynn tidak kekok untuk mengendalikan majlis. Justeru, dia selalunya menghulurkan khidmat berbentuk pakej – nyanyian dan pengacaraan sekali gus. Begitu juga Ezlynn mampu mengendalikan pelbagai permainan sewaktu persembahan, serta berkeupayaan menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa, yang membolehkannya terus mendapat undangan daripada pelbagai syarikat korporat dan sebagainya.
Muncul dalam Suara Hati di Astro Prima malam ini
MINGGU lalu, penyanyi ini diperkenalkan Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai pengacara baru yang akan sama-sama memeriahkan program hiburan popular, Muzik Muzik.
Hakikatnya, rancangan berkenaan bukanlah asing bagi Ezlynn kerana dia pernah beberapa kali menggantikan Cheryl apabila pengacara itu tidak dapat menunaikan tanggung jawabnya, ketika dia masih mengendalikan Muzik Muzik secara berseorangan. Beberapa tahun lalu pula, Ezlynn muncul antara pengacara bersama program Anugerah Juara Lagu.
“Sudah tentu saya menerimanya kerana Muzik Muzik ialah antara program paling diminati di negara ini. Saya sendiri, sejak dari kecil lagi memang setia menonton rancangan Muzik Muzik. Tidak disangka, hari ini, saya menjadi sebahagian daripada keluarga program itu pula,” katanya yang mengaku mempunyai keserasian bersama dua pengacara asalnya, Cheryl dan Faizal.
Begitupun, katanya, sudah tentulah mereka duduk berbincang sebelum sesuatu episod dirakam, bagi mengelakkan pertindihan pengucapan atau perebutan berbicara sewaktu mengendalikannya. Maklum saja, kata penyanyi ini, masing-masing adalah pengacara yang boleh digelar ‘bermulut bertih’.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan, Ezlynn berpesan, peminat boleh menonton lakonannya menerusi drama bersiri Suara Hati, yang menemui orang ramai setiap Isnin, jam 10 malam di saluran Astro Prima. Dalam siri berkenaan, dia berlakon di samping Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.
“Ada juga beberapa tawaran berlakon filem yang tiba ke riba, tetapi jadual penggambaran pula tidak mengizinkan saya menerimanya. Mungkin jika ada tawaran yang bersesuaian pada masa depan, kena pula dengan masanya, saya pasti menimbangkan undangan berkenaan,” katanya.
EZLYNNNama: Azline AriffinTarikh Lahir: 27 September 1981 Asal: Ulu Kinta, PerakProfesion: Penyanyi, Pelakon, PengacaraAlbum: Ehmm…. (2003), Pssst… (2004)Filem: Diva Popular, Bilut, Zombie Kampung PisangDrama: Suara HatiProgram TV: Mentor, Muzik MuzikDuta: Produk kecantikan Shurah.
Berita Harian
Asmara Cabar Intan Sarafina
March 4, 2009
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Intan Sarafina
Ubah haluan kepada bidang lakonan untuk teruskan kerjaya dalam bidang seni
BUKAN impiannya untuk bergelar pelakon tetapi rezeki yang datang tidak mampu ditepis. Kebetulan pula Intan Sarafina juga perlukan sandaran baru untuk meneruskan kesinambungannya sebagai insan seni.
Barangkali apa yang dilakukannya ini cuma satu percubaan. Tetapi katanya, tidak mustahil dia akan terus berlakon jika percubaan itu menerima maklum balas positif khalayak.
Memegang peranan sebagai Asmara dalam drama bersiri 26 episod, Suara Hati siaran Astro Prima bermula 16 Mac ini, Intan berkata, dia berlakon untuk mencabar dirinya.
Akuinya lagi, selepas muncul dalam filem Janji Diana pada 2001, pintu hatinya bagaikan tidak terbuka lagi untuk kembali berlakon.
Apatah lagi ketika itu, namanya sedang memuncak sebagai penyanyi membuatkan anak kelahiran Stulang Darat, Johor Bahru ini tidak terlintas untuk memberikan kepelbagaian kepada kerjaya seninya.
“Saya terlalu sibuk ketika itu dan bimbang tidak mampu memberikan komitmen, saya terpaksa menolak beberapa tawaran. Tidak benar jika ada berpendapat saya berkecil hati dengan teguran atau kritikan. Semua itu perkara biasa.
“Saya tidak pernah ambil hati biarpun dikritik teruk. Cuma waktu itu, nyanyian menjadi keutamaan membuatkan saya tidak terfikir untuk berlakon,” kata Intan menjelaskan alasan utama mengapa dia mengambil masa lama sebelum kembali berlakon.
Bagaimanapun, kata Intan, selepas menyertai pertandingan realiti, One In A Million, dia mula terfikir untuk mencari keseronokan baru.
Kebetulan tawaran berlakon datang dan melihat watak yang diberikan tidak terlalu berat iaitu sebagai penyanyi, Intan bersedia menerimanya.
Tambahan pula karektor Asmara dalam drama yang turut membariskan pelakon seperti Ezlynn, Zamarul Hisham, Watie Sadali, Amyza Aznan dan Riezman Khuzaimi mempunyai sedikit persamaan dengan dirinya, Intan tergerak untuk mencuba.
Ternyata tuntutan watak Asmara jauh daripada jangkauan, membuatkan dirinya tercabar terutama apabila sebahagian besar adegan memerlukan dia menangis.
“Permulaan memang susah untuk menangis. Saya ambil masa untuk menghayatinya. Apabila sudah sebati dan mula merasai keselesaan di lokasi, saya semakin seronok menjadi pelakon. Tetapi, saya tidak mahu tergopoh-gopoh menerima tawaran baru.
“Saya mahu mendengar reaksi dan maklum balas penonton terlebih dulu sebelum bersedia untuk penggambaran drama lain,” kata Intan yang turut beraksi dalam drama bersiri Yusoff untuk slot Samarinda, siaran TV3.
Turut diberikan peluang merakamkan tiga lagu baru termasuk Bakawali dan Suara Hati, penyanyi berusia 28 tahun itu melihat percubaan itu sebagai platform untuk dirinya melangkah ke era baru.
Apatah lagi, suaminya, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkifli tidak pernah menghalang isteri yang dinikahi pada 17 Oktober 2008 ini daripada meneruskan minat dalam bidang seni.
“Sementara belum hamil dan dikurniakan, baik saya lakukan sesuatu. Lagipun jika saya sendirian di rumah akan menimbulkan rasa bosan, jadi saya isi masa terluang itu dengan berlakon,” katanya.
Akui Intan, ketika menerima skrip dia agak tercabar malah tersimpan sedikit perasaan gusar jika gagal memberikan persembahan terbaik.
Bagaimanapun, perasaan gugup dan tidak selesa itu berlalu apabila semua tenaga kerja termasuk pengarah bersedia membantunya.
“Tanpa tunjuk ajar mereka saya tidak mungkin mampu membawakan watak Asmara dengan baik. Barangkali disebabkan minat juga membuatkan saya cepat serasi di lokasi biarpun lakonan adalah satu cabang baru dalam hidup saya,” katanya.
SINOPSIS: Suara Hati
ASMARA yang sedang bergelut dengan kariernya jatuh cinta dan mendirikan rumah tangga dengan Aman tanpa mengetahui lelaki itu sudah beristeri. Selepas rahsia perkahwinan mereka diketahui, Asmara yang hamil menghilangkan diri. Asmara melahirkan Putra yang membesar dengan penuh tanda tanya. Demi kebahagiaan anaknya, Asmara merelakan Putra bertemu bapa kandungnya. Asmara bagaimanapun, enggan bertemu mereka semula jika tiada sebarang persetujuan diikat. Apabila kerinduan terhadap ibunya mula terasa, Asmara melarikan diri. Kekalutan itu mencipta satu insiden besar apabila Putra dilanggar bapanya sendiri.
Suara Hati disiarkan setiap Isnin, bermula 16 Mac di Astro Prima, jam 10 malam.
Berita Harian