Kongsi Pentas Rai Setiausaha
April 28, 2009
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
Rap
MINGGU Setiausaha yang disambut sepanjang bulan ini bukan saja dijayakan penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti yang mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Dan Pameran Matrade, Jalan Duta, 21 April lalu.
Malah minggu lalu juga dibanjiri beberapa lagi artis dari seberang menjayakannya di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 22 April.
Bukan sekadar empat penyanyi muda, Rio Febrian, Delon, Ello dan Irwansyah menjadi pilihan penganjur malah tiga pelakon, Samuel Rizal, Putra Ariffin serta Didi Riyadi.
Mereka digandingkan dengan penyanyi dan pelakon tanah air ketika acara permaidani merah menggayakan sut rekaan Lord’s Tailor bersama Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus.
Mereka juga berkongsi pentas secara duet bersama Jaclyn Victor, Siti Sarah dan Shila serta menjayakan sketsa bersama setiausaha. Betapa eratnya hubungan artis dua negara dalam satu majlis yang begitu meriah dapat disaksikan.
Walaupun setiap tetamu membayar RM290 dan RM350 setiap seorang untuk hidangan masakan Padang dan santapan mata bersama artis kacak serta terkenal, difahamkan, artis yang membuat persembahan pada hari itu tidak menerima bayaran.
Tujuh artis Indonesia yang datang dibayar dengan publisiti dan promosi sepanjang empat hari mereka berada di Kuala Lumpur. Banyaklah sesi fotografi dan pertemuan bersama media diatur penganjur dengan kerjasama syarikat rakaman Sony BMG Music dan Warner Music.
Untuk jejaka kacak yang melayan peminat di Grand Ballroom pula dibayar dengan sut Lord’s Tailor berharga RM3,500 hingga RM5,000 manakala penyanyi dibayar dengan peluang berkongsi pentas artis Malaysia dengan Indonesia.
Delon yang dicungkil bakatnya daripada program realiti Indonesian Idol 2004, berduet dengan bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor menerusi lagu popular Celine Dion dan Andrea Docelli, The Prayer; Siti Sarah duet dengan Ello (I Feel Good) manakala Irwansyah dengan Shila (One In A Million) melalui lagu duet Irwansyah dengan Acha Septriasa, My Heart. Delon juga muncul solo melalui lagu Adinda, Ello (Masih Ada) dan Irwansyah (Camelia).
Azharina Azhar pula berpeluang memperkenalkan dua single terbarunya, Rasa dan Rawan manakala Delon, Rio, Ello dan Irwansyah berpeluang bertemu wartawan Malaysia untuk promosi album terbaru mereka edaran Sony BMG Music dan Warner Music.
Untuk tiga pelakon Indonesia pula, mereka dibayar dengan publisiti dan peluang bertemu produser tanah air untuk mengintai peluang berlakon di negara ini. Bagi Samuel, nama dan wajahnya sudah dikenali peminat di sini menerusi lakonannya dalam Eifel…I’m In Love dan filem tempatan, Sayang You Can Dance, tetapi Putra Ariffin dan Didi agak asing di sini.
Jaclyn yang anggun dengan gaun merah koleksi peribadi rekaan Bill Keith juga berpeluang menyanyi dengan Rio Febrian. Petang itu juga menyaksikan pertemuan kali pertama Jaclyn dengan Rio di pentas besar seperti Minggu Setiausaha untuk lagu duet mereka, Ceritera Cinta yang dirakamkan pada 2006.
Jac berkata, sebelum ini mereka bertemu untuk rakaman klip video lagu itu manakala menyanyi bersama hanyalah untuk acara kecil anjuran majalah hiburan sebelum ini.
Katanya, masa rakaman lagu itu juga diadakan berasingan kemudian apabila lagu itu berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik kategori balada. Rio tidak dapat memberi kerjasama lalu tempatnya digantikan Lah VE.
“Tapi kami pernah bertemu menjayakan video klip lagu itu. Dia seorang yang peramah dan baik dan saya gembira dapat berkongsi pentas dengannya hari ini,” kata Jac.
Bagi Delon, kesempatan menjayakan Minggu Setiausaha dianggap peluang keemasan untuk berkenalan dengan masyarakat di sini sekali gus memperkenalkan album barunya, Perasaanku yang diedarkan di Malaysia penghujung bulan ini.
Selain duet dengan Jac, Delon atau nama sebenarnya, Alexander Liaw Dalon Thamrim, 31, menyampaikan lagu daripada album Perasaan, Adinda.
Katanya, Adinda istimewa kerana ia lagu lama Titiek Puspa yang dirakamkan semula dengan muzik baru yang lebih segar.
“Saya bangga dapat merakamkan semula lagu Titiek Puspa yang dianggap legenda di Indonesia. Gubahan muziknya dilakukan Tohpati supaya menjadi lebih enak didengar.
“Sebenarnya bukan mudah untuk saya mendapat izin merakamkan semula lagu itu, tetapi atas bantuan orang kuat Sony Music Indonesia, segalanya menjadi mudah. Saya juga bangga apabila Titiek Puspa memuji hasilnya.
“Untuk salam perkenalan di sini, saya pilih lagu ini kerana muziknya ada sentuhan Melayu. Saya juga sedar kurang dikenali di sini dan berharap kunjungan ini memberi pendedahan kepada semua.
“Sepanjang berada di sini, jadual harian saya padat dengan sesi bertemu wartawan. Malah saya berpeluang menghadiri majlis ulang tahun TV9 di Sunway Lagoon,” katanya.
Sementara itu Ello atau nama sebenarnya, Marcello Tahitoe baru saja melancarkan album keduanya, Realistis/Idealis di Indonesia Februari lalu dan untuk pasaran Malaysia sejak 24 Mac lalu. Rio Febrian mempertaruhkan album Aku Bertahan manakala Irwansyah album Soliter.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;
Harian Metro
Selamba, Meriah Dan Menghiburkan
April 28, 2009
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
WAJAH kacak dan jelita artis yang terbabit menjayakan Minggu Setiausaha di Hotel Istana, baru-baru ini.
Kemunculan sekumpulan lelaki terpilih dalam pelbagai cabang dunia hiburan memeriahkan acara Minggu Setiausaha
DEWAN Grand Ballroom Hotel Istana dihias indah dengan bunga-bungaan segar menandakan ada acara istimewa sedang berlangsung. Di luar dewan kelihatan sekumpulan jejaka yang kelihatan segak menyarung tuksedo sambil kerlipan cahaya lensa tidak henti-henti menyimbah wajah mereka.
Senyuman tidak henti-henti menghiasi wajah mereka. Ada ang dikenali dan ada juga pertama kali dilihat. Namun satu perkara yang dikongsi lelaki-lelaki ini adalah mereka yang berjaya mencipta nama dan populariti menerusi bakat yang dimiliki.
Lebih menarik acara hari itu bukan saja menghimpunkan pelakon, penyanyi dan model dari Malaysia tetapi juga membabitkan selebriti dari negara seberang. Itulah kelainan yang ditampilkan Hotel Istana untuk persembahan Minggu Setiausaha tahun ini.
Bukan saja menyatukan dua negara malah hidangan yang disajikan juga berkonsepkan cita rasa Indonesia iaitu makanan Padang yang cukup terkenal di Sumatera Barat. Andai kebanyakan hotel lain selesa menampilkan seorang penyanyi untuk menghiburkan penonton namun acara ini membariskan ramai penyanyi hebat yang memiliki vokal tersendiri.
Terbuai keasyikan mendengar alunan vokal Faizal Tahir yang berduet bersama pemenang pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH), Nazatul Farihin yang menyampaikan lagu Cuba. Walaupun baru pertama kali digandingkan bersama, dua penyanyi ini kelihatan serasi dan tidak nampak kekok di atas pentas.
KALI kedua Jaclyn dan Rio bergandingan menyanyikan lagu Ceritera Cinta.
Mengulangi kejayaan yang pernah dilakar Nazatul sewaktu membuat persembahan sulung di pentas berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008), 12 April lalu, ujian kedua ini dilalui gadis dari Sungai Petani ini dengan jayanya terutama apabila membabitkan lontaran suara ketika menyanyikan bahagian bernada tinggi.
Sebutir lagi bintang yang sememangnya menyinar di persada hiburan, Azharina meneruskan persembahan single terbarunya berjudul, Rawan sebelum pentas di ambil alih Rio Febrian yang menyampaikan lagu yang diangkat dari album terbarunya iaitu Aku Bertahan.
Rio turut berduet bersama penyanyi bersuara lantang dari Malaysia, Jaclyn Victor menyanyikan lagu Ceritera Cinta. Penyanyi lain yang turut memukau penonton menerusi persembahan mereka termasuklah Naib Juara Indonesian Idol, Delon, Irwansyah, Siti Sarah dan Ello.
Acara meriah yang dikendalikan dua pengacara berpengalaman iaitu Afdlin Shauki dan AC Mizal ini turut diselang selikan dengan sesi bermesra bersama penonton.
FAHRIN menunjukkan aksi ‘Sehati Berdansa’ bersama pasangannya.
Kalau sudah namanya persembahan Minggu Setiausaha, pastinya kebanyakan tetamu yang hadir adalah golongan Hawa.
Untuk permainan pertama yang dinamakan Sehati Berdansa, setiap selebriti yang diundang di pentas, perlu mencari pasangan untuk menari bersama mereka berdasarkan genre lagu yang berkumandang. Sesi ini memang melucukan kerana ada di antara pasangan malang itu memang tidak boleh menari. Sudahnya ada di antara mereka main ‘belasah’ saja asalkan ada pergerakan.
Pada acara kedua pula, setiap pasangan perlu melakonkan aksi klip video untuk lagu yang dimainkan. Ini juga membuatkan tetamu yang hadir ‘pecah perut’ menahan gelak menyaksikan aksi selama pasangan berkenaan menghidupkan watak masing-masing.
Pun begitu, tidak dapat dinafikan kemampuan pasangan Afdlin dan AC menghidupkan acara dengan lawak jenaka mereka yang selamba sewajarnya mendapat pujian. Sikap gila-gila serta dialog spontan kedua-dua mereka juga banyak membantu.
Medan promosi diri di Malaysia
PELUANG yang terbentang di depan mata tidak harus dibiarkan begitu saja. Justeru, apabila ditawarkan untuk membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha di Malaysia, perkara itu disambut oleh artis Indonesia yang terbabit dengan segala senang hati.
Malah, mereka melihat perkara itu dalam erti kata yang lebih luas kerana menerima tawaran itu bererti mereka memberi peluang untuk penggemar muzik di Malaysia menikmati hasil kerja mereka.
“Rasa teruja kerana selain membuat persembahan saya juga berpeluang mempromosikan muzik saya di sini. Mungkin selepas ini saya akan menjayakan showcase saya sendiri buat peminat, siapa tahu,” kata Rio yang pernah berduet bersama Erra Fazira menerusi lagu Nada Cinta.
Pendapat itu turut disokong Ello yang menyifatkan kemunculan mereka itu sebagai salam pengenalan buat peminat di negara ini.
“Saya memang sudah lama ingin ke Malaysia kerana saya tahu saya juga mempunyai peminat di sini. Jadi kesempatan ini saya akan gunakan sebaiknya untuk mendekatkan diri bersama mereka ,”ujar jejajak kacak ini.
Antara selebriti yang turut memeriahkan majlis ini adalah Awal Ashaari, Fahrin Ahmad, Aqasha, Kamal Adli, Fizo, Farid Kamil, Samuel Rizal, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Didi Riyadi dan Ariffin Putra.
Berita Harian
Sammy Masih Mencari
April 26, 2009
Oleh IZWAN MOHAMAD
metahad@hmetro.com.my
Rap
TIADA wanita yang tidak akan menoleh dua kali apabila terpandang jejaka bertubuh sasa ini, apatah lagi karisma dimilikinya membuatkan ramai ingin berdampingan dengannya.
Namanya mula meledak dalam industri hiburan menerusi filem Eiffel I’m In Love bersama Shandy Aulia, sekali gus mempopularkan dirinya sehingga ditawar berlakon dalam filem Malaysia, Sayang You Can Dance bersama Sharifah Amani dan Dafi.
Mempunyai ketinggian 183 sentimeter dan berwajah eksotik hasil kacukan darah Padang, Ambon dan Menado, pasti jolokan playboy mudah ‘melekat’ pada bekas pemain bola keranjang junior Indonesia ini.
Pun begitu, dalam usia yang bakal mencecah 29 tahun November ini, Samuel Rizal (Sammy) masih bersendirian.
“Benar, saya belum ada kekasih,” kata Sammy apabila ditanya berkenaan hubungan cinta.
Menurut pelakon yang mula menempa nama menerusi filem Tusuk Jelangkung ini, dia masih mencari pasangan sesuai sejak terputus hubungan dengan seorang gadis setahun lalu.
Malah, dia kini lebih mementingkan kerjaya dan merancang memperluaskan lagi bakat dimilikinya daripada memikirkan soal cinta, apatah lagi kontrak lima tahunnya dengan Soraya Intercine Film bakal tamat penghujung 2009.
Mengakui cerewet dalam memilih teman hidup, anak pasangan Boetje S Arifin dan Wunoy Rolandy Luntungan ini turut menafikan calon pilihannya mesti memiliki minat sama sepertinya seperti bermain bola keranjang, suka menyelam, aktif dalam bidang automotif dan menceburi bidang lakonan.
“Untuk menjadi kekasih saya tidak semestinya mempunyai minat sama, saya cuma menantikan orang yang boleh menarik minat saya tatkala pertama kali bertemu.
“Yang penting ada keserasian antara kami, itu sudah cukup,” kata Sammy.
Apabila ditanya mengenai godaan kaum sejenis yang mungkin dihadapi golongan sepertinya, pemenang kategori Pelakon Paling Popular dalam Anugerah MTV Filem Indonesia (MIMA) 2004 ini tidak kisah jika digemari lelaki.
“Perkara ini lumrah. Sebagai artis, saya faham keadaan ini, tetapi usahlah keterlaluan dan melampaui batas,” kata Sammy.
Bercerita mengenai pengalamannya berlakon dalam produksi Malaysia, dia mengakui mengalami kesukaran pada awalnya, terutama daripada segi pertuturan yang berbeza.
Berkat usahanya serta bantuan rakan, khususnya Amani dan Fatimah Abu Bakar, dia yang membawa watak penari dalam filem itu akhirnya dapat mengatasi masalah itu dengan mudah.
“Nani (Amani) dan Auntie Fati (Fatimah) memang satu keluarga yang baik dan saya betul-betul selesa bekerjasama dengan mereka kerana saya langsung tidak rasa terasing.
“Nani selalu membantu saya mengolah skrip untuk memudahkan saya menuturkannya, secara tidak langsung perjalanan penggambaran menjadi lancar,” kata Sammy yang turut memuji tahap profesionalisme pelakon muda itu.
Selepas kejayaan menempatkan diri dalam barisan pelakon di Malaysia, Sammy turut ditanya sama ada dia akan terus mencari peluang berlakon di sini.
Malah, namanya mula meniti bibir penerbit dan pengusaha filem dan drama tempatan setelah melihatnya beraksi menerusi filem berkenaan.
“Sehingga kini saya belum menerima lamaran daripada mana-mana pihak di sini, malah sebelum ini saya pun tidak terfikir filem saya berjaya menarik minat penonton di Malaysia.
“Saya percaya peluang itu pasti ada berdasarkan impak daripada karya sebelum ini, jadi kalau ada rezeki mungkin peluang itu akan datang sendiri,” katanya.
Sammy hadir ke Malaysia sempena majlis meraikan setiausaha di Hotel Istana, Kuala Lumpur, Rabu lalu, bersama 20 selebriti lelaki popular, menampilkan artis Indonesia Rio Febrian, Delon, Irwansyah, Didi Riyadi dan Ariffin Putra.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;
Harian Metro