Dua Yusof Berkongsi Hari Jadi
April 30, 2009
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
Bukti keakraban persahabatan mereka yang dipupuk selama 33 tahun
SELAMA 33 tahun bersahabat, belum pernah sekali mereka meraikan ulang tahun kelahiran bersama meskipun tarikh lahir dua insan yang banyak menyumbang jasa kepada industri drama dan perfileman tempatan ini hanya berbeza tiga hari.
Bagaimanapun, persahabatan lebih tiga dekad itu meninggalkan nostalgia paling manis buat dua Yusof – Datuk Yusof Haslam dan Yusof Kelana ketika meraikan ulang tahun kelahiran mereka yang ke-55.
Sabtu lalu di Darul Haslam, Taman Melawati, Hulu Klang, dua sahabat yang mula akrab sejak 1975 buat pertama kali meraikan sambutan ulang tahun kelahiran mereka bersama.
Berselisih tiga hari tarikh kelahiran, Yusof Haslam dilahirkan pada 24 April manakala Yusof Kelana pada 27 April, kedua-duanya terdetik untuk berkongsi sesuatu yang manis bersama insan yang memberi makna sepanjang 55 tahun kehidupan mereka.
Kehadiran tetamu yang disifatkan Yusof Haslam sebagai pemberi inspirasi untuk mereka berdua meneruskan perjuangan dan kehidupan sebagai insan seni dengan tenang tanpa ada permusuhan.
DUA Yusof mengabadikan detik manis ulang tahun kelahiran mereka yang ke-55.
“Pada usia ini, apa yang saya mahukan adalah kehidupan yang tenang dengan lebih ramai kawan. Apabila hati tenang hendak ke mana pun senang kerana tiada masalah,” katanya gembira dan bersyukur dapat berkongsi rezeki kurniaan Allah pada hari bermakna itu.
Merentas perjalanan panjang sebagai sahabat, Yusof Haslam bersyukur kerana persahabatannya dengan Yusof Kelana tidak pernah bernoktah meskipun hidup mereka juga tidak sunyi daripada ujian dan dugaan.
Bergaduh, berselisih faham dan berbaik semula adalah putaran hidup manusia yang tidak akan pernah sunyi daripada konflik serta ujian.
Namun, semua itu sebenarnya mendekatkan lagi persahabatan antara mereka selain membuatkan lebih memahami antara satu sama lain.
KELUARGA besar yang mengukuhkan perjalanan seni dua Yusof.
“Kami sama-sama keras kepala dan ego. Pergaduhan apabila berlaku bukan kerana perkara remeh temeh sebaliknya mahu menegakkan fahaman masing-masing.
“Namun kami profesional. Gaduh pun kerana hal kerja bukan sebab peribadi. Biasanya tidak lama, sekejap saja kami sudah boleh berbaik semula,” kata Yusof Haslam.
Sesekali dalam perbualan terkesan rasa sayu dan sebak di hati Yusof Kelana kerana majlis itu memberi makna yang mendalam buat mereka berdua.
“Ia memberi nostalgia kepada persahabatan kami yang dibina lebih 33 tahun. Banyak persamaan antara kami kerana masing-masing meminati dunia seni. Cuma mungkin Yusof Haslam selesa di depan kamera, manakala saya pula senang dengan kerja di balik tabir,” katanya.
Yusof Haslam suka mengalah
BERCERITA mengenai kenangan, Yusof Kelana berkata, persahabatan mereka menyimpan pelbagai catatan pahit dan manis malah pernah beberapa kali dia menjeruk rasa atas beberapa sebab.
Itulah nilai persahabatan. Bermasam muka bagaimana sekali pun, lambat laun berbaik semula. Kami sama-sama panas baran tetapi Yusof (Haslam) cepat beralah. Dia selalu cepat memohon maaf. Itu yang buat saya sentiasa beralah setiap kali kami berselisih faham,” katanya.
Persahabatan mereka berdua bermula pada 1975 ketika mereka sama-sama membintangi filem Cinta Dan Lagu. Bagaimanapun, Yusof Kelana lebih selesa bergerak di balik tabir dan menumpahkan khidmatnya dalam pelbagai produksi terbitan Sarimah Films.
“Bila selalu berjumpa di set penggambaran kami jadi rapat. Langkah kami seiring dan apabila masing-masing mempunyai minat yang sama memudahkan kami untuk bekerjasama kerana sudah faham apa yang dimahukan,” katanya.
Persahabatan yang akrab itu juga menyatukan dua syarikat iaitu Skop Productions milik Yusof Haslam dan ME Communications kepunyaan Yusof Kelana untuk bernaung di bawah satu bumbung sejak lebih 20 tahun lalu.
Keakraban itu juga menghasilkan kerjasama menerusi filem seperti Tragedi Oktober, MX3 dan Pontianak Menjerit dan siri drama popular.
“Saya berterima kasih kepada dia kerana sentiasa memberi semangat. Dia banyak menghulurkan nasihat ketika saya dalam situasi tertekan.
“Dalam persahabatan akan ada pahit dan manisnya. Biasanya yang pahit itu memakan masa untuk kita merasai kemanisannya dan alhamdulillah, kami mencapai segala yang terbaik menerusi persahabatan ini,” katanya.
Yusof Haslam di mata Yusof Kelana memiliki sentuhan emas malah menjadi tempat teman rapat berlindung dan bernaung membuatkan dia berbangga kerana mempunyai sahabat seperti itu.
“Saya bangga apabila Yusof Haslam selalu memberitahu saya dan A Galak ialah orang kuatnya. Ia memberikan kesan cukup bermakna untuk kami,” katanya.
Antara tetamu yang hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Perbadanan kemajuan Filem Nasional (Finas) Mahyuddin Mustakim; Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Mustapha Maarof; Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah; Timbalan Pengarah Finas, Zulkifli Wahab, Datuk Zainuddin Maidin; Chef Wan dan A Galak.
Turut hadir pelakon yang membintangi drama terbitan dua syarikat itu seperti Serina Redzuawan, Memey Suhaiza, Roy Azman dan Hani Nurzara.
Kasih seorang bapa
BIAR berat melepaskan anak kesayangan hidup sendirian, namun apa daya Yusof Haslam untuk menghalang kehendak Syamsul. Kerelaan itu juga bukan kerana terlalu menurut kehendak serta kemahuan anak bujang berusia 25 tahun itu.
Kerelaan itu kata Yusof Haslam, datang bersama satu harapan – supaya Syamsul lebih berdikari dan matang menangani hidup.
“Ada baiknya dia berhijrah, mencari penghidupan baru supaya menjadi manusia berdikari. Mungkin ketika bersama keluarga dulu, dia berasa terkongkong dan tidak bebas membuat keputusan.
“Dengan sedikit kebebasan ini, saya berharap Syamsul selesa. Setidak-tidaknya apabila berjauhan, akan membangkitkan perasaan rindu kepada keluarga dan rumah,” katanya.
Sepanjang perbualan, terkesan kasih mendalam seorang ayah terhadap anak yang selama ini membesar di depan matanya. Sesekali bibirnya menguntum senyum, melihat telatah anak yang semakin ceria dan matang selepas hidup berdikari.
Yusof Haslam sendiri tidak berselindung mengenai perasaan terhadap anaknya kepada semua tetamu yang hadir. Semuanya dijelaskan berterus terang, sekali gus menterjemahkan betapa erat pertalian dua insan ini.
“Lega apabila ramai memberi reaksi positif sejak Syamsul hidup berdikari. Dia kelihatan lebih ceria, ramah berbicara dan tidak lagi pendiam seperti dulu. Mungkin dulu banyak tekanan yang dialaminya. Tetapi hari ini, saya seronok melihat dia ceria dan sentiasa tersenyum,” katanya.
Kegembiraan juga tergaris di wajah Syamsul yang membuang segala rasa silu dengan mengalunkan lagu yang banyak memberi kenangan kepada dirinya dan keluarga, Bidadari.
“Lagu itu dicipta khas oleh Syamsul kepada Diana Danielle sebelum mereka berpisah. Diana pun sempat mendengar lagu itu. Tapi kehendak Tuhan, hubungan mereka tak panjang.
“Sebagai bapa, saya cuma berharap yang terbaik untuk hidupnya. Saya tidak menghalang jika mereka mahu berkawan. Tetapi, tak payahlah bercinta-cinta lagi. Biarlah mereka mengejar karier dulu kerana masing-masing masih muda,” katanya mengenai anak yang teruja dengan kelahiran produksi keduanya, Bohsia di pawagam.
Berita Harian
Sampai Seru Jadi Isteri
April 9, 2009
Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BERMULA dengan penundaan majlis pernikahan dan kemudian mengambil keputusan untuk nikah gantung. Nampaknya ada sahaja rintangan yang harus dilalui oleh pelakon popular, Serina Redzuawan, 26, sebelum dirinya bersatu melalui ikatan yang sah dengan lelaki idaman hati.
Pasti ada sesetengah pihak yang tertanya-tanya tentang keputusan Serina menunda hari bersejarahnya pada 1 Jun nanti yang kebetulan bersamaan dengan ulang tahun kelahirannya.
Jelas anak dara Chef Wan itu, dia mungkin menunda seketika majlis pernikahannya dengan seorang ahli perniagaan, Salahuddin Ghafar, 33, disebabkan berdepan dengan perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Tiada sebarang masalah yang besar, cuma banyak perkara yang perlu diselesaikan seperti dokumen imigresen dan sebagainya disebabkan bakal suami saya warganegara asing.
“Perkara yang melibatkan dokumentasi biasanya mengambil masa panjang untuk diselesaikan. Pelbagai syarat dan prosedur harus dilalui terlebih dahulu,” kata Serina menjelaskan isu penangguhan hari bahagianya.
Menurut si manis ini juga, dia tidak mahu dilihat sebagai terlalu mengejar masa untuk berkahwin selain mahu biarlah semua persiapan dibuat dengan mengikut perancangan yang teratur.
“Tidak mengapa tunda seketika majlis pernikahan saya kerana saya sedar ini semua dugaan Allah Taala. Cuma saya berdoa agar pernikahan ini dapat dilaksanakan sekitar bulan Julai atau sebelum umat Islam mula berpuasa, tahun ini juga.
“Saya tidak boleh cakap lebih-lebih sebab semuanya sedang diteliti. Apabila tarikhnya sudah ditetapkan nanti, saya akan beritahu semua.
“Penangguhan tarikh kahwin ini saya anggap sebagai dugaan sebelum berkahwin, lagipun saya juga belum berkesempatan menghadiri kursus perkahwinan.
“Saya reda atas penundaan majlis pernikahan ini dan tidak mudah melatah,” kata Serina kepada Kosmo!.
Bercakap lebih lanjut tentang niatnya untuk nikah gantung, Serina mahukan majlis resepsi persandingannya bersama Salahuddin dapat dihadiri ahli keluarga terdekat bakal suaminya.
“Keluarga tunang saya bekerja di London dan ada sesetengah daripada mereka yang mempunyai komitmen lain.
“Mereka hanya dapat bercuti panjang sekitar bulan Disember dan Januari tahun depan. Lantaran itu, saya merasakan bahawa lebih baik saya nikah gantung terlebih dahulu.
“Saya tidak boleh bersikap mementingkan diri, sebaliknya saya juga kena hormat keputusan keluarga Salahuddin yang mahu menyaksikan majlis persandingan kami.
“Lagipun kalau ahli keluarganya tak datang, tidak meriahlah pula majlis persandingan kami,” ungkap Serina yang kini masih sibuk dengan penggambaran Roda-Roda KL dan bergelar hos program masakan, Sajian Kontemporari untuk siaran RTM.
Sudah sampai seru
Tiada angin bergoncang, namun dalam diam-diam, Serina sebenarnya sudah nekad untuk mendirikan rumah tangga dalam usianya sekarang.

TETAP berharap agar majlis pernikahannya diadakan sebelum bulan puasa tahun ini.
Dia memberitahu, nalurinya seolah-olah menzahirkan petanda positif untuk bergelar isteri pada tahun ini juga.
“Pintu hati saya sudah terbuka untuk berkahwin pada tahun 2009. Tiada istilah ingin memandang ke belakang lagi dengan keputusan yang dibuat.
“Lagipun kawan-kawan di sekeliling saya ramai yang sudah berkahwin dan ada anak sendiri. Dengan adanya seorang suami, saya rasa kehidupan saya akan jadi lebih baik, tidak perlu tunggu lama-lama.
“Lagipun ayah dan emak saya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menimang cucu,” jelasnya yang secara jujur memberitahu tidak berminat dengan kaedah merancang keluarga selepas mendirikan rumah tangga. Mahu cepat dapat anak, katanya.
Tidak ikut trend
Getaran suara Serina mulai berubah, kedengaran kurang bersetuju apabila ada sesetengah pihak mengaitkan golongan artis berkahwin dengan orang berbangsa asing kerana mengikut trend.
Atau barangkali Serina juga mahu mengikut jejak langkah artis terdahulu antaranya Ning Baizura, Sarimah Ibrahim, Maya Karin dan beberapa artis lain yang bertemu jodoh dengan lelaki bangsa asing.
Menafikan sama sekali dakwaan itu, Serina memberikan hujahnya.
“Kalau hendak cakap ikut trend, itu memang silap. Sedangkan Tuhan yang menentukan jodoh manusia dan siapalah kita untuk menolak ketentuan-Nya.
“Sama halnya juga dengan saya apabila dipertemukan dengan lelaki asing. Bukan kerana kecewa berkawan dengan lelaki Melayu, sebaliknya saya percaya setiap yang datang ada hikmah tersendiri,” jawabnya ringkas dan serius.
Dalam pada itu, Serina mengerti, banyak pihak yang barangkali mempertikaikan sejauh manakah dirinya dapat membimbing bakal suami dengan corak hidup berlandaskan Islam.
Tenang menjawab persoalan itu, Serina menganggap dia bukannya seorang ahli ulama yang dapat membimbing sepenuhnya bakal suami.
“Saya akui masih belum cukup ilmu agama, malah banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari tentang Islam hingga ke akhir hayat.
“Disebabkan itu, saya kena ada inisiatif sendiri untuk membawa dia ke Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) ataupun ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) untuk mendalami lagi ajaran Islam.
“Terus-terang, saya cukup bertuah kerana bakal suami saya merupakan seorang lelaki yang suka belajar tentang perkara baru dalam kehidupannya sebagai seorang Muslim.
“Lagipun, dia bukanlah seorang individu yang masuk Islam semata-mata hendak berkahwin. Dia memeluk Islam disebabkan terlalu mencintai agama ini.
“Ada beberapa perkara yang dia tahu tentang keindahan Islam, malah dia juga rajin membaca buku berkaitan agama ini untuk menambahkan pengetahuan,” jelas Serina bersungguh-sungguh.
Tanpa berselindung, Serina melihat ada hikmahnya apabila dia dipertemukan dengan Salahuddin.
“Saya lihat perkenalan dengan Salahuddin ada hikmah yang terselindung. Secara tidak langsung, selepas mendirikan rumah tangga, saya juga boleh menambahkan ilmu dengan mengikuti dia pergi ke kelas agama.
“Saya tidak hanya bawa dia ke tempat itu, sebaliknya saya juga akan belajar sama dengan dia. Sekurang-kurangnya kalau kami berbual-bual, maka dapatlah kami berbincang tentang ilmu yang dipelajari,” tambah Serina tentang perancangannya pada masa depan.
Amaran daripada Chef Wan
Dalam pada itu, Chef Wan berkata, dia merestui keputusan Serina yang ingin mendirikan rumah tangga dengan pasangannya.
“Saya tidak kisah siapa pilihan hatinya. Paling penting, hati dan perangai dia yang diutamakan serta memahami maksud berumah tangga.
“Lapan bulan lalu ketika Salahuddin muncul dalam hidup Serina, saya pesan kepada anak saya supaya bijak membuat keputusan dan jangan sampai pisang berbuah dua kali.
“Mencari jodoh yang sesuai memakan masa. Kita kena mengkaji sikap, perangai dan bermacam-macam tentang kualiti seorang suami yang baik.
“Bakal suami bukan sahaja kena faham kerjaya Serina, sebaliknya pandai menghormati dirinya sebagai wanita dan isteri.
“Saya berkata kepada Serina lagi bahawa dia juga perlu sayangkan seorang lelaki yang boleh membuatkan dia bergantung harap dan berdiri di sebelahnya dengan perasaan penuh bangga,” terangnya.

CHEF WAN merestui pilihan hati anak daranya yang akan berkahwin tidak lama lagi.
Bapa tunggal selama lebih 22 tahun ini juga sempat menasihati Serina dan bakal suaminya agar mengikut jejak langkahnya yang sentiasa bertanggungjawab walaupun perkahwinannya sebelum ini tidak berpanjangan.
“Lihat sahajalah saya yang sudah 22 tahun berpisah dengan isteri, namun saya tetap menjaga pakaian, makan dan minum dia dengan baik.
“Inilah yang dinamakan bertanggungjawab dalam rumah tangga dan merancang untuk masa depan,” jawab Chef Wan.
Kosmo
Sampai Seru Serina
March 29, 2009
Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my
Rap
USAH diungkit kisah cintanya yang tidak menjadi. Hakikatnya, pengalaman itu mematangkan hidup gadis ini. Dua kali menyulam kasih yang tidak kesampaian membuatkannya berfikir panjang dalam mencari cinta baru.
Namun, tiada istilah putus asa dalam kamus hidupnya. Nalurinya masih seperti gadis lain yang mahu dibelai insan bernama lelaki. Sekian lama bersendirian, perkenalan dengan seorang jejaka menyinari kembali hidupnya.
Pinta Serina Redzuawan, biar hubungannya kali ini menjadi. Tidak mampu lagi menanggung keperitan cinta tidak kesampaian. Pedihnya bukan kepalang, derita yang ditanggung pula berbulan-bulan menikam diri.
“Alhamdulillah, kini saya mula mengenali hati budi seorang lelaki. Enam bulan berkawan, kami mula serasi. Malah, dia faham kerjaya saya sebagai anak seni meskipun dia tidak terbabit dalam dunia ini. Yang penting, ayah saya juga menyukainya.
“Siapakah gerangan lelaki itu, biar ia dirahsiakan dulu. Yang boleh saya katakan, dia usahawan dan berusia 32 tahun. Insya-Allah, jika ditakdirkan ada jodoh di antara kami, pasti saya akan memberitahu peminat siapa orangnya,” jelas anak gadis selebriti masakan terkenal, Chef Redzuawan Ismail atau Chef Wan ini.
Usia yang menganjak 26 tahun dirasakan cukup ranum untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Hatinya juga kuat mengatakan dia bersedia untuk berumahtangga.
“Di kalangan rakan, semuanya bersuami. Ayah juga sering bertanya bila saya mahu berkahwin. Jawab saya berseloroh, walaupun bersedia, lamarannya belum diterima.
“Begitupun, saya harap jodoh kami dipanjangkan hingga ke jinjang pelamin. Dua kali hubungan dijalin tidak kesampaian membuatkan saya serik untuk bercinta lagi. Harap-harap apa yang diusahakan kali ini menjadi,” katanya.
Menyentuh soal kerjaya, Serina tidak canggung bergelar pengacara. Mula mencuba bakat menerusi program muzik Latido, lagak bersahaja yang dipaparkannya menerusi segmen berunsur majalah TV berkaitan program masakan berasaskan koko mendapat perhatian ramai. Kini ia bersambung untuk musim keempat pula.
“Cabaran dan tanggungjawab sungguh besar apabila mahu menarik minat generasi masa kini daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk lebih mengetahui perihal komoditi pertanian ketiga terbesar di negara ini yang banyak menyumbang kepada pendapatan negara.
“Ramai tidak tahu, koko sebenarnya mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan tubuh. Bukan itu saja, malah bahan di dalam koko boleh digunakan untuk membuat produk kosmetik seperti losyen dan sabun,” katanya.
Tambah Serina, rezekinya datang bergolek dalam dunia pengacaraan, lebih-lebih lagi ketika berpeluang menjelajah seluruh negara apabila mengacarakan program berentak pelancongan, Zoom Malaysia.
“Berkesempatan mendaki Gunung Kinabalu, melihat kecantikan semula jadi hidupan laut, kehijauan hutan dan budaya masyarakat Orang Asli mengajar saya pelbagai perkara.
“Saya sungguh puas mengacara program begini, walaupun ia hanya disiarkan dua minit sebelum dan selepas Berita Perdana di RTM. Tambah lagi, pelbagai perkara berguna dapat dipelajari ketika menjelajah negeri orang,” katanya.
Selain itu, Serina turut berpeluang mengacarakan satu lagi program masakan berjudul Sajian Kontemporari untuk siaran RTM.
Terbaru, aktres muda ini mula melangkah kembali dalam dunia teater. Memegang watak Dara, gadis lemah lembut dan dipenuhi dengan emosi di dalam teater berjudul Semerah Padi sungguh berbeza dengan watak yang sinonim dengan dirinya.
Akui Serina, bukan mudah mahu membawa watak begitu, lebih-lebih lagi perilakunya sedikit kasar. Begitupun, apabila menjiwai watak yang diberi, sifat lemah lembut itu lahir dengan sendiri tanpa perlu dibuat-buat.
“Mulanya, memang sukar menjelmakan watak gadis lemah lembut dan sentiasa berendam dengan air mata. Namun apabila mendalami watak berkenaan, ia lahir secara automatik.
“Jika ada yang perasan, teater arahan Khusairy Mahayuddin ini diangkat menerusi filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjudul sama satu ketika dulu.
“Menariknya, selain dapat memperbaiki mutu lakonan, saya berpeluang mendalami selok-belok agama kerana teater ini mengisahkan perjuangan sebuah kampung bernama Semerah Padi di mana penduduknya sangat patuh dengan ajaran Islam.
“Bagi mereka yang mahu menonton teater ini, kedatangan anda dialu-alukan ke Panggung Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 10 hingga 12 April ini. Menariknya, tiada bayaran dikenakan,” katanya.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154″;
innity_width = “250″;
innity_height = “220″;
Harian Metro