Archive for the ‘Sheila Rusly’ Category

Populariti Siti Belum Dicabar

April 14, 2009




Oleh Nurulhisham Abdul Latiff, Zul Husni Abdul Hamid, Farihad Shalla Mahmud & Zaidi Mohamad
bhnews@bharian.com.my


PENYANYI Wanita Popular kekal milik Siti 12 kali berturut-turut.

Kemenangan muka baru dalam ABPBH 2008 menunjukkan perubahan sikap peminat

TIRAI Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah pun dilabuhkan jam 11.30 malam, Ahad lalu, apabila keputusan terakhir Bintang Paling Popular diumumkan pengacara Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira. Begitupun, pastinya peminat masih hangat membicarakan mengenai anugerah edisi ke-22 itu selepas satu nama baru, Ahmad Nabil Ahmad, dinobat pemenang tiga trofi, termasuk kategori utama berkenaan.

Ia umpama mengulangi pencapaian bekas Bintang Paling Popular sebanyak tiga kali (ABPBH 2005 – 2007), Mawi, yang sebaik saja beberapa bulan keluar daripada Akademi Fantasi musim ketiga, dia terus menggenggam tiga trofi (Artis Baru Lelaki Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Bintang Paling Popular) pada ABPBH 2005.

Akhirnya, benteng yang dibina kukuh oleh Raja SMS itu runtuh dengan kelucuan yang dihadirkan peserta Raja Lawak musim kedua ini. Peminat memilih untuk memahkotakan seorang artis komedi, pada kali ini, berbanding penyanyi, penyampai radio, pengacara televisyen mahupun pelakon.

Selepas Mawi melakukannya selama tiga tahun, kini giliran Nabil pula menghuni tempat cukup istimewa itu. Lebih bermakna, dengan gelaran yang baru diterima, Nabil memandu pulang kereta Nissan Sylphy 2.0L bernilai RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, menerima set barang kemas Rafflesia bernilai RM150,000 dan set perabot tajaan Empire Classic Furniture bernilai RM30,000.

Bukan hanya Nabil yang berjaya merubah keputusan anugerah itu, pada acara yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Arena of Stars Genting Highlands, bahkan beberapa nama lain turut mencipta kejayaan tersendiri apabila berdaya menguis turun pemenang sebelum ini.


QUE berkongsi kegembiraan dengan isteri tersayang.

Pelakon Noorkhiriah, umpamanya, menongkah arus untuk muncul pemenang kategori Artis Komedi Wanita Popular, selepas pemenang edisi sebelumnya, Sheila Rusly, gagal disenarai ke peringkat akhir. Begitu juga aktres Maya Karin, yang berbekalkan filem Duyung, merampas semula trofi Pelakon Filem Wanita Popular yang pernah dijulang pada ABPBH 2005 daripada tangan Fasha Sandha.

Que Haidar pula, setelah bertahun mencuba, akhirnya pulang dengan trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, mengetepikan pemenang edisi sebelumnya, Rusdi Ramli. Dalam kategori yang dianggap cukup kuat, Que yang baru saja bergelar suami kepada pereka tari Linda Jasmine, membuktikan usaha kerasnya sekian lama memberikan habuan yang bukan kepalang.

Populariti Lagu Untukmu yang menjuarai beberapa acara pertandingan, benar-benar meletakkan kumpulan Meet Uncle Hussain pada kedudukan teratas dalam kategori Artis Berkumpulan / Duo Popular. Calon terkemuka lain seperti Hujan, Estranged dan M Nasir & Malique juga tidak mampu menahan kemaraan mereka.

Stacy yang menjadi artis pembuka tirai ABPBH 2008 bersama Anita Sarawak, terus menyusun langkah kemas untuk bergelar penghibur terkenal selepas membuka mata peminat pada Anugerah Juara Lagu Ke-23. Dia meneruskan tradisi peserta AF mengungguli kategori Artis Baru Wanita Popular selepas Farah melakukannya pada ABPBH 2005 dan Mila pada ABPBH 2007.


JAMAL Abdillah berbual dengan Datuk A Rahman Hassan.

Kategori lain masih menyaksikan calon yang sama masih diangkat peminat sebagai pemenangnya. Fara Fauzana terus unggul dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular, manakala Faizal Ismail dan Aznil Nawawi menguasai kategori lelakinya.

Dynas dan Rosyam turut mengelakkan trofi yang dimenangi mereka dalam kategori Pelakon TV Wanita / Lelaki Popular, manakala kumpulan Rabbani menjulang trofi Artis Nasyid Popular sebanyak lapan kali berturut-turut, sejak ABPBH 2001.

Namun begitu, siapa yang dapat menafikan kehebatan Datuk Siti Nurhaliza apabila penyanyi itu menaiki pentas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular sebanyak 12 kali berturut-turut. Sejak memenanginya kali pertama pada ABPBH 1996, si penyanyi Di Taman Teman ini tidak pernah melepaskan piala berkenaan ke tangan penyanyi lain.

Dengan keputusan yang menampakkan gelombang perubahan pada ABPBH 2008, peminat nyata semakin berani membuat perubahan pada kedudukan senarai populariti artis kesukaan mereka kali ini. Mereka tidak lagi terikut-ikut dengan corak undian sebelum ini, sebaliknya dengan gah pendirian yang jelas untuk menyatakan pilihan masing-masing.

Keputusan itu sendiri juga turut memberikan harapan kepada nama baru untuk sama-sama meraih populariti, apabila benteng kebal yang dibina beberapa calon sudah dibuktikan kemungkinannya untuk tumbang. Sudah semestinya, jika mereka disokong produk yang baik lagi popular, tidak kiralah filem, lagu, rancangan TV ataupun radio, sampul surat yang mengandungi nama pemenang itu satu hari nanti mungkin mencatatkan nama mereka di dalamnya.

Mungkin mesej yang harus juga direnung artis muda daripada ABPBH kali ini, usah jerat diri anda dalam kontroversi yang memualkan kerana cerita yang tidak sedap didengar juga mampu mempengaruhi pengundi.

Berita Harian

Nabil Menyinar, Siti Bertahan

April 14, 2009

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

BARU setahun jagung dalam industri, tetapi Ahmad Nabil Ahmad, 26, yang dicungkil bakatnya menerusi program Raja Lawak musim kedua mencatat kejayaan besar pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang berlangsung gilang-gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands malam kelmarin.

Nabil bukan saja menang Artis Baru Lelaki Popular dan juga Pelakon Komedi Lelaki Popular malah anak muda dari Mambau, Negeri Sembilan ini mengalahkan nama besar dalam industri untuk Bintang Paling Popular sekali gus mengetepikan Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi yang mengunggulinya tiga tahun berturut-turut sejak 2005 dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Bagi Nabil, anugerah itu cukup bermakna kerana ia pengitirafan paling besar dalam kerjayanya sebagai anak seni. Sepanjang pembabitannya, Nabil membintangi tujuh filem iaitu Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…Hantu.

Selain itu, dia juga menjadi pengacara dalam program Lu Pikirlah Sendiri dan gandingannya dengan Raja Azura dalam Ewah-Ewah.

“Saya sedar kejayaan ini mendadak sekali kerana dalam tempoh setahun saya dapat tiga trofi sekali gus.

Justeru, sama ada saya mampu mempertahankan trofi Bintang Paling Popular ini pada penganjuran akan datang, semuanya saya serahkan 100 peratus kepada peminat.

“Sebagai artis, saya hanya pastikan sentiasa memberikan yang terbaik dalam apa saya lakukan,” katanya.

Katanya, kejayaan itu khusus buat keluarga, teman istimewa, Irma Hasmie dan peminat yang menyokongnya.

“Ia menyuntik semangat kepada saya untuk bekerja lebih keras dalam memantapkan prestasi lakonan dan pengacaraan dari semasa ke semasa.

“Kejayaan itu tidak sekali-kali menjadikan saya lupa diri dengan populariti dikecapinya. Saya masih Nabil yang dulu. Saya juga tidak akan ‘demand’ atau menaikkan harga untuk tawaran mengacara atau berlakon semata-mata sebab sudah menang anugerah.

 

 

“Dalam krisis ekonomi sekarang, sebenarnya, saya masih boleh pertimbangkan dengan bayaran mengacara serendah RM1,000 atau RM2,000 dalam satu persembahan,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Nabil yang mengagumi pelawak ‘stand up comedian’ seperti Harith Iskander dan Afdlin Shauki berkata, dia bercita-cita menempa nama sebagai pelawak di peringkat antarabangsa.

“Jika Datuk Siti berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang nyanyian di Royal Albert Hall, London pada 2005, saya juga bercita-cita mengharumkan nama negara sepertinya tetapi sebagai pelawak. Cuba bayangkan, orang asing yang tidak tahu bahasa dan budaya kita mendengar lawak jenaka saya.

“Selain itu, saya juga ingin mengembangkan cabang lakonan sedia dalam misi menjadi pelakon versatil pada masa depan. Malah, saya bercadang mengikuti kelas bahasa Inggeris untuk meningkatkan tahap penguasaan sedia ada,” katanya.

Jika Nabil menyinar dalam tempoh setahun jagung, Siti yang meraikan ulang tahun ke-14 dalam dunia seni April ini, belum mampu digugat sesiapa untuk Penyanyi Wanita Popular.

Dalam majlis yang disiarkan secara langsung di TV3 jam 9 malam itu, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang pada 11 Januari 1979 ini mempertahankan gelaran buat kali ke-12 sejak 1996.

Ternyata kontroversi dikaitkan dengan Siti dan status isteri tidak menggugat populariti pasangan kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sampai sekarang.

Bagi Siti yang anggun dengan busana dari pereka terkenal, Iszal Ismail dan Rizman Ruzaini pada malam itu, dia mampu mempertahankan trofi itu sekian lama kerana kepercayaan peminat.

“Kejayaan ini kerana kerja keras peminat setia yang tidak pernah berbelah bagi menyokong kerjaya seni dari belakang. Sekalipun format pengundian ABPBH sudah berubah tahun ini, nampaknya peminat terutama ahli kelab peminat, CT Zone tetap setia mengundi saban tahun.

“Sebagai penyanyi, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membaiki aspek persembahan dari semasa ke semasa untuk kepuasan diri dan peminat. Pada masa sama, saya pastikan peningkatan dari segi kualiti album yang dihasilkan saban tahun.

“Contohnya, bingkisan album terbaru, Lentera Timur mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sejak menjengah pasaran dan fokus saya untuk mempromosikan album ini dengan lebih giat lagi dengan teknologi terkini sedia ada menerusi syarikat sendiri,” katanya.

Siti juga sebak ketika menerima anugerah pada malam itu mengenangkan arwah bapanya, Tarudin Ismail yang meninggal dunia pada usia 67 tahun pada 15 Februari lalu.

Mengenai kejayaan Nabil yang mengungguli trofi Bintang Paling Popular ABPBH08, Siti berkata, Nabil berhak mendapat anugerah itu kerana kerja kerasnya sejak setahun lalu.

“Nabil banyak berlakon filem dan banyak buat program sejak tahun lalu. Saya juga menonton program lawak yang dikendalikannya dan menyukai lawak jenakanya,” katanya.

Pada malam anugerah itu menyaksikan kejutan bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular kerana menyaksikan kemenangan berpihak pada pelakon Que Haidar apabila menewaskan sifunya dalam bidang lakonan, Rosyam Nor yang mengungguli gelaran itu selama tujuh kali sejak 1997. Mungkin tuah pengantin baru dan bakal bergelar ayah.

Bagi kategori Artis Komedi Wanita Popular, pelakon Norkhiriah berjaya mengambil alih trofi yang dipertahankan pelakon Sheila Rusly sejak 2003, tetapi tahun ini Sheila tidak masuk dalam senarai Top 5 sebaliknya menyaksikan saingan dengan Amyza Adnan, Sheila Mambo, Ruminah Sidek dan Kencaha Dewi.

Bagaimanapun, Norkhiriah yang memikat peminat melalui siri Pepaya, tidak hadir untuk menerima trofi dimenangi begitu juga Dynas yang menang Pelakon TV Wanita Popular untuk dua tahun berturut-turut.

Kategori lain tidak banyak berubah iaitu Mawi mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular buat kali keempat sejak 2005, Rosyam (Pelakon TV Lelaki Popular) sejak 2004, Aznil Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular) buat kali keenam sejak 2003 dan Fara Fauzana (Penyampai Radio Wanita Popular), (Pengacara TV Wanita Popular) dan Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular) tujuh kali sejak 2001.

Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada Maya Karin yang pernah memenanginya pada 2005 manakala Faizal Ismail dua kali berturut-turut menang Penyampai Radio Lelaki Popular. Kategori lain, Artis Baru Wanita Popular (Stacy) dan Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular (Meet Uncle Hussain).

Penyanyi Jamal Abdilah menerima anugerah khas, Anugerah Sepanjang Hayat kerana kecemerlangannya sebagai penyanyi sejak menjuarai Bintang RTM 1979.

Secara keseluruhannya, majlis dikendalikan dua pengacara popular, Sharifah Shahirah dan Adlin Aman Ramlie dengan tema Sentuhan Tenun itu menghiburkan. Antara yang menarik ialah persembahan Siti dengan lagu dari album Lentera Timur, Di Taman Teman.

Kumpulan Kristal berkolaborasi dengan artis Pop Yeh Yeh, Datuk A Rahman Hassan dengan lagu Tak mengapa, L Ramlie (Ayahku Kahwin Lagi) dan Datuk Jeffrydin (Kenanganku).

Selain itu, persembahan segmen khas untuk Jamal melalui Siti Sarah (Kekasih Awal dan Akhir), Diddy (Azura) dan Ayu OIAM (Perjalananku). Sarah dan Ayu juga berduet dengan Jamal menerusi Sandarkan Pada Kenangan (Sarah) dan Kehebatan Cinta (Ayu). Tidak ketinggalan, persembahan penutup Faizal Tahir dengan lagu Bencinta. Persembahan lain, Diva Anita Sarawak dengan lagu Akhirnya Kini Pasti, Stacy (Gagap), Aizat (Hanya Kau Yang Mampu), Farah Asykin (Hello) dan Hujan (Dugaanku).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

Depan Mata: Berubah Jadi Lebih Baik

April 13, 2009

Oleh Hartati Hassan Basri

Rap
BAGI mereka yang tidak perasan, hari ini sebenarnya akhbar nombor satu di Malaysia, Harian Metro berubah wajah. Apa yang penting, perubahan menjadi lebih baik bertujuan memberi kepuasan kepada pembaca. Ia juga sesuai dengan usianya mencecah 18 tahun pada 25 Mac lalu.

Sedar tidak sedar, sudah 16 tahun saya bersama Harian Metro. Dulu tempat kami hanyalah di satu sudut kecil di belakang tempat rakan Berita Harian di tingkat empat kemudian berpindah ke tingkat tiga dan sejak Ogos tahun lalu, kembali ke tingkat empat. Harian Metro di sayap kiri manakala Berita Harian sayap kanan.

Sempena ulang tahun yang ke-18 yang diraikan Khamis lalu, ia disambut bersama 300 kakitangan kumpulan akhbar The New Straits Times Press (M) Sdb Bhd (NSTP) dan wakil syarikat korporat. Hadir sama, Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail, Timbalannya, Mustapa Omar dan Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Abdul Ghafar Ismail.

Tambah meriah apabila detik manis itu turut dikongsi bersama selebriti, artis, produser serta wakil stesen televisyen dan radio. Antaranya, Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima,Seelan Paul, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (karyawan), Freddie Fernandez, Pengarah Urusan Metrowealth Movies Production (MMP), David Teo, Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Bakar, Ketua Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan & Komunikasi Korporat TV9, Noor Amy Ismail serta rakan-rakan dari Jabatan Komunikasi Korporat TV3, ntv7, 8TV, TV9, Astro dan Hot FM bersama selebriti mereka.

Tambah meriah apabila mereka bermurah hati membawa buah tangan dan kebetulan ramai pula membawa kek cawan pelbagai corak dan warna. Ada juga membawa pulut kuning bersama rendang. Puncak Niaga pula membawa cenderahati ikan laga seorang seekor bersama air mineral. Panjang lebar pula cerita ulang tahun itu.

Dalam kegawatan ekonomi ini, ramai mengambil langkah berjimat-cermat dan hanya berbelanja untuk barang keperluan harian. Tetapi harapan saya, walaupun harga barang naik, jangan lupa membeli Harian Metro setiap hari.

Mungkin ada berasakan harga RM1.50 mahal tapi apalah sangat berbanding rokok yang dibakar setiap hari. Sedangkan belanja anak ke sekolah kurang-kurang RM2 sehari dan ada lebih lagi. Tapi satu akhbar boleh dikongsi seisi keluarga.

Seperti saya katakan tadi, perubahan dilakukan untuk menjadikan akhbar ini lebih baik. Sememangnya kita perlu memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa bukan saja penampilan, perangai dan juga taraf ekonomi.

Senario hiburan tanah air juga perlukan perubahan. Selepas bertahun-tahun industri muzik kita lesu hingga penyertaan lagu di Anugerah Juara Lagu (AJL) dan juga Anugerah Industri Muzik (AIM) berkurangan manakala lagu yang diputarkan di radio terpaksa bergantung kepada lagu luar.

Akhir-akhir ini sudah menampakkan perubahan dengan kemunculan band indie hingga menguasai AJL menerusi kejayaan Estranged dan Meet Uncle Hussain serta artis solo seperti Faizal Tahir dan Yuna.

 

 

Ketika rancak berbual dengan David Teo, produser popular ini juga menekankan perubahan. Katanya, karya filem perlu berubah menjadi lebih baik dan tidak terikat dengan konsep sama untuk beberapa karya. Kalau tidak nanti penonton bosan kerana sudah boleh mengagak corak persembahan.

“Hasilkan pelbagaikan genre daripada horor, aksi sehingga komedi seperti Ahmad Idham berjaya melalui Remp-It, kemudian seram (Jangan Pandang Belakang) dan juga komedi (Senario The Movie Episod 1),”katanya.

David adalah contoh produser yang dekat dengan media dan tahu menghargai media. Walaupun produksinya sibuk menghasilkan satu demi satu filem dan drama hingga ada berjalan dua tiga judul serentak, apabila ada majlis membabitkan media, David tidak pernah lepaskan peluang untuk hadir.

Khamis lalu juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak umumkan Kabinet baru. Kementerian Penerangan bukan saja dapat menteri baru, Datuk Seri Dr Rais Yatim malah disatukan dengan dua kementerian lain, Komunikasi serta Kesenian dan Kebudayaan.

Diharap ia turut membawa perubahan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kini mencecah usia 63 tahun supaya lebih dekat di hati masyarakat dan juga media. Tambah-tambah pula mendapat Ketua Pengarah Penyiaran baru, Datuk Ibrahim Yahya dan baru saja memasuki era digital.

Malam tadi berlangsung Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08). Walaupun akan ada keputusan mengejutkan, saban tahun banyak keputusan sama diumumkan, kalau tidak masakan Datuk Siti Nurhaliza pegang gelaran Penyanyi Wanita Popular sampai 10 kali, Rosyam Nor tujuh kali Pelakon Filem Lelaki Popular, Aznil Nawawi lima kali, Pengacara TV Lelaki Popular, Sheila Rusly lima kali Pelakon Komedi Wanita Popular, Mawi tiga kali Penyanyi Lelaki Popular.

Yang bertukar saban tahun hanyalah Artis Baru Popular kemudian naik gred dan kalau nasib tidak baik terus hilang tiada pencalonan lain tahun berikutnya.

Tahniah kepada semua yang dianggap sebagai penyanyi, pelakon, pengacara TV dan penyampai radio popular semoga tingkatkan usaha dan bekerja keras untuk menjadi lebih baik.

Namun, satu perkara diharapkan tidak berubah iaitu kedudukan akhbar ini diharapkan terus kukuh dan utuh di tangga teratas, seterusnya memberi keuntungan kepada syarikat.

Sebagai ganjaran, kakitangan Harian Metro setiap tahun menerima ganjaran bonus lebih daripada rakan-rakan di akhbar lain dan juga dapat mengikuti rombongan ke luar negara. Bulan depan, destinasi dipilih ialah Ho Chih Min, Vietnam selepas Bandung, Bangkok dan Bali.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro




© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid