Archive for the ‘Siti Nurhaliza’ Category

Zon Abie: Selebriti Kita ‘Tak Berkira’

April 25, 2009




Oleh Abie Abdullah

Rap
SIAPA kata artis kita ‘demand’? Tak baik tuduh artis kita bukan-bukan soal bayaran. Bukan saja tidak letak harga, malah bagi khidmat percuma lagi. Semua demi peminat walaupun yang membayar untuk ‘bersama’ mereka itu bukan seringgit dua.

Ini berlaku di Minggu Setiausaha anjuran Hotel Istana dan Lord’s Tailor, Rabu lalu. Pelik bin hairan juga, sebab biasanya, keraian yang diadakan sepanjang April ini adalah bulan untuk artis menambah isi dalam akaun bank masing-masing selain bertemu peminat.

Malah bayaran untuk persembahan makan tengah hari atau malam, bukan sedikit yang dibayar kepada penghibur negara. Tidak cukup artis Malaysia, Kris Dayanti saban tahun tidak terkecuali daripada acara ini. Bukan seribu dua ringgit bayaran artis.

Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Anita Sarawak dan Ning Baizura, bukan kecil anak pengalaman mereka dalam dunia nyanyian, jadi bukan kecil juga jumlah yang harus dibayar buat mereka. Ini bukan soal ‘demand’ tak bertempat tetapi ‘demand’ kerana hak mereka.

Lain pula yang berlaku depan mata saya. Bukan nak mempertikaikan keluhuran hati lebih 20 lelaki yang didatangkan khas untuk menyedapkan mata setiausaha apabila dikatakan mereka berkhidmat percuma selama hampir sehari suntuk di majlis itu.

Situasi itu membuatkan hati saya terdetik, baik sungguh mereka! Tidak hanya mereka, penyanyi yang diundang seperti Jaclyn Victor, Sarah Raisuddin, Azharina Azhar dan Shila ND Lala turut sama membuat ‘amal’.

Walaupun ada antara mereka yang terpaksa mengosongkan jadual daripada rutin kebiasaan di lokasi serta ada yang bergegas dari majlis lain atau ke majlis lain selepas itu, artis ini sangat komited. Mereka menyanyi percuma!

Semua artis wanita mengenakan gaun merah, sesuai dengan tema barangkali. Baju pula rekaan pereka muda, kecuali Jaclyn yang terpaksa membuka almari sendiri. Bagaimana dengan bayaran mekap? Opps, mungkin ada yang taja, baguslah!

Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus antara yang menjadi tatapan hadirin. Malah artis Indonesia turut dijemput seperti Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal, Ello, Rio Febrian, Delon dan Didi Riyadi.

Puaslah peminat yang rata-ratanya wanita mengabadikan gambar mereka bersama bintang kacak ini. Sebelum majlis bermula, mereka berlegar sekitar muka pintu ‘ballroom’ untuk memberi layanan kepada peminat. Kemudian dipanggil ke dewan, tamat sesi perkenalan di pentas, mereka perlu keluar.

 

 

Keluar ke mana? Sebenarnya kembali ke ruang legar depan pintu masuk dewan tadi. Dah mati kutu, tidak tahu apa nak buat sebab hadirin semuanya sedang menikmati celoteh Adflin Shauki dan AC Mizal selalu pengacara majlis serta ayam goreng garing keras yang menjadi antara menu hidangan Padang untuk makan tengah hari itu.

Sebelum saya dan rakan-rakan masuk ke dewan itu, mula terdengar daripada teman yang membawa artis kerana mereka tidak disediakan kerusi atau meja, jauh sekali untuk sama-sama makan. Detik hati, mungkin penganjur sudah sediakan tempat khas.

Bagaimanapun, pertanyaan hati itu semakin bertambah apabila beberapa artis jantan pemanis majlis mundar-mandir dalam dewan, bagaikan pelayan yang tidak membawa dulang. Senyum tetap di bibir, jauh sekali untuk dibuang daripada tatapan peminat.

Dalam gelak dek lawak si pengacara, Afdlin sempat menyuruh orang menghantar makanan ke belakang pentas sebab masing-masing kelaparan. Biasalah Afdlin, bijak sungguh gurauannya!

Kasihan melihat artis pemanis majlis itu yang ‘dikoreografikan’ seperti kehilangan arah, saya bersama teman seperti bendul mengajak mereka turut sama menjamu selera yang kebetulan ada tempat kosong di meja kami. Ada yang menolak, tidak kurang juga yang tidak mempedulikan protokol kerana perut makin rancak berkeroncong.

Sememangnya telahan saya meleset mengenai meja, kerusi, makanan dan minuman. Semua itu tidak disediakan kerana tugas mereka hanya memaniskan muka sepanjang majlis berkenaan. Bayaran? Seperti yang saya katakan tadi, mereka pemurah beramal.

Setahu saya, sesetengah majlis amal pun, artis dibayar secara token kalau tidak sepenuhnya. Namun, dalam kes tadi, mereka sudah berpuas hati dengan sepasang persalinan yang diberikan Lord’s Tailor.

Cuma malangnya, ada juga yang terkebil-kebil tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Tidak tahu pun mereka perlu hadir untuk Minggu Setiausaha. Lawak sungguh artis kita, nampak sangat mudah dipergunakan mereka yang sememangnya kaki pengguna!

Bukan saja yang datang berseorangan, malah artis yang memasang pengurus juga ‘buta huruf’ pasal majlis ini sehingga mereka tersentak apabila melihat gambar dan nama mereka di dalam akhbar dan kain rentang di hotel berkenaan.

Syabas buat artis ini kerana sanggup beramal sehingga begitu rupa! Cuma kami di Harian Metro tidak sanggup berbuat begitu kerana memikirkan keringat dan periuk nasi masing-masing. Walaupun akhbar sering memberi publisiti untuk golongan ini, bayaran tetap bayaran!

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

Agenda Kris Dayanti, Siti

April 24, 2009

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


KRIS DAYANTI bersyukur kerana mampu mempertahankan popularitinya di Malaysia sejak sedekad lalu.

Mahu terus perkukuh nama di persada seni dengan sebuah album duet

POPULARITINYA mula menular di negara ini saat lagu nyanyiannya, Menghitung Hari meledak di corong radio. Sebelum itu si pemilik nama Krisdayanti ini hanya dikenali di kalangan penggemar program pertandingan nyanyian serantau, Asia Bagus yang menobatkan dirinya sebagai juara musim pertama.

Namun sedikit demi sedikit, penyanyi jelita bertaraf diva ini mula mencipta nama sekali gus menjadi antara penyanyi dari Indonesia yang cukup dikenali di sini sekali gus berjaya menghimpun ramai penggemar. Lagu nyanyiannya seperti Mencintaimu, Cobalah Untuk Setia, Pilihlah Aku, Cahaya semakin mendapat tempat di sini.

Siapa sangka tahun ini, genap sedekad ibu kepada dua cahaya mata ini membina populariti di Malaysia. Malah si empunya diri sendiri begitu terkejut dan teruja apabila mengenangkan perkara itu.

“Syukur alhamdulillah kerana peminat saya di Malaysia masih menyokong saya sehingga kini. Saya sendiri tak menyangka bahawa masih mendapat sokongan memandangkan sekarang ini begitu banyak muka-muka baru sama ada dari Malaysia atau Indonesia sendiri yang berkunjung ke sini.

“Ini adalah satu penghargaan buat saya kerana ini membuktikan muzik saya masih diterima. Dan lebih menyeronokkan saya apabila saya mempunyai ramai sahabat di kalangan rakan artis dan juga jurusolek dan kami sering berhubung dan bertanyakan khabar antara satu sama lain,” cerita Kris ketika ditemui selepas mengadakan persembahan sempena Secretaries Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, kelmarin.

Begitupun, walaupun menyedari dia mempunyai ramai peminat di negara ini namun itu bukanlah tiket untuk dia bersenang lenang tanpa perlu berusaha.

“Lebih-lebih lagi apabila persaingan semakin sengit sejak kebelakangan ini. Saya kena berusaha keras kerana saya bukannya muda lagi. Justeru, saya harus mencari peluang dengan supaya lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya optimis.

Terlanjur bercerita mengenai soal persahabatan, tidak dinafikan ramai yang sedia maklum bahawa Kris memang rapat dengan diva tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza. Dan sebagai tanda akrabnya jalinan persahabatan itu maka tercetuslah idea untuk mereka berdua bergabung menghasilkan sebuah album duet.

“Memang kami ada perancangan ke arah itu sebelum ini iaitu sekitar November lalu tetapi sering tertangguh kerana kami berlainan syarikat rakaman. Namun memandangkan masing-masing sudah bebas dan bernaung di bawah label sendiri jadi hasrat itu akan diteruskan.

“Kami juga sudah berbincang dengan Siti dan untuk album itu nanti, saya dan Siti akan berduet untuk empat buah lagu baru manakala dua lagu lagi adalah lagu lama kami berdua. Material dalam album ini nanti akan dihasilkan oleh komposer dari Malaysia dan Indonesia,” cerita Kris dalam nada teruja.

Bercerita mengenai kerjaya lakonan, Kris yang wajahnya sering dilihat di layar kaca berkata dia terpaksa menghentikan seketika aktiviti seni itu kerana ia tidak berbaloi buatnya.

“Ketika ini, semua penerbit sinetron memotong sebanyak 60 peratus bayaran kepada berlakon dan saya melihat perkara ini sebagai satu hinaan dalam kerjaya seorang pelakon dan satu tindakan seperti orang hilang akal.

“Terus terang, saya tidak akan berlakon jika perkara itu terus berlanjutan,” tegas si pelantun Mencintaimu ini.

Selepas hampir dua tahun tidak mengadakan sebarang konsert di luar negara, Kris berkata tanggal 9 Mei ini dia akan mengadakan persembahan di Esplanade, Singapura sempena meraikan Hari Ibu.

“Kali terakhir saya mengadakan konsert di luar adalah sekitar tahun 2007 di Malaysia untuk Konsert 3 Diva. Diharapkan moga konsert ini mampu memberi lembaran baru untuk kerjaya seni saya untuk tahun 2009 ini,” kata Kris yang akan muncul dalam album runut bunyi filem Tika Cinta Bertasbih berjudul Menanti Cinta hasil ciptaan Melly Goeslaw.

Kali kelima jayakan Minggu Setiausaha

SEDAR atau tidak, ini adalah tahun kelima Kris diundang ke ibu negara untuk menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha. Seperkara menarik mengenai persembahan penyanyi bermata galak ini adalah kebijaksanaannya menghiburkan tetamu dengan pelbagai rentak lagu.

Bukan itu saja, setiap kali wanita ini berdiri di atas pentas, perkara utama yang akan diberikan perhatian adalah seraut wajahnya yang cukup jelita serta busana yang membaluti tubuhnya.

Sewaktu mengadakan persembahan tempoh hari, Kris kelihatan cukup anggun dengan gaun bertingkat-tingkat roma hitam benang emas. Biarpun kelihatan sarat namun tetap kelihatan cantik di atas pentas sambil disimbah lampu neon berwarna-warni.

Sepanjang tempoh sejam, Kris menyanyikan pelbagai lagu popularnya seperti I’m Sorry Goodbye, Mencintaimu, Menghitung Hari, Rembulan dan I’m. Malah dia turut menyanyikan kembali lagu Nora berjudul Di Persimpangan Dilema yang diberi nafas baru.

“Acara ini memang saya tunggu setiap tahun kerana inilah masanya saya bertemu dengan peminat saya di sini. Justeru, saya perlu mencipta kelainan kerana mungkin ada di antara penonton pernah menyaksikan saya beraksi untuk acara sama sebelum ini,” katanya sambil melahirkan rasa bangga kerana masih menjadi pilihan penganjur iaitu Quality Hotel Kuala Lumpur.

Katanya lagi, walaupun dia mempunyai niat untuk menyanyikan pelbagai jenis lagu namun atas nasihat suaminya, Anang, dia lebih selesa menyanyikan lagu yang penonton atau peminatnya tahu dan boleh menyanyi bersamanya.

Majlis yang dikendalikan Dee sebagai pengacara itu turut menampilkan anak kepada bekas vokalis kumpulan Alleycats, mendiang Loga iaitu Dasha Logan sebagai pembuka tirai persembahan. Turut hadir menyaksikan acara itu adalah penyanyi bervokal mantap, Anuar Zain.

Berita Harian

Jomheboh Edisi Istimewa

April 24, 2009

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
BERBEZA dengan bandar utama yang pernah dikunjungi, Karnival Jom Heboh anjuran TV3 berlangsung esok dan lusa (25 dan 26 April) agak istimewa apabila penganjurannya dilakukan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia dilaksanakan bersempena sambutan jubli perak TV3 (ulang tahun ke-25) dan TLDM meraikan jubli intan (ulang tahun ke-75).

Sehubungan dengan itu, untuk lokasi ketiga Karnival Jom Heboh, TV3 akan berkampung di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin dalam kenyataan dikeluarkan, berkata Karnival Jom Heboh kali ini lebih istimewa memandang TLDM turut mengadakan Hari Terbuka ARMADA.

“Selain daripada beriadah bersama keluarga, pengunjung Karnival Jom Heboh berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai aktiviti menarik dan acara yang akan dilakukan sendiri pihak TLDM.”

“Masih berkonsepkan rekreasi dan riadah khusus untuk seisi keluarga, Karnival Jom Heboh kali ini turut menekankan kepentingan tabiat ‘bijak berbelanja’ selaras dengan promosi jualan barangan keluaran tempatan besar-besaran di karnival kali ini.

“Keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan bukan saja membabitkan rakyat tempatan tetapi seluruh dunia merasai kesannya. Oleh itu kita haruslah beringat untuk berjimat cermat dan bijak dalam perbelanjaan seharian.

“Melalui Karnival Jom Heboh, TV3 menyediakan landasan untuk pengunjung berbelanja dengan lebih berhemah. Semua gerai penaja menawarkan harga berpatutan dan lebih rendah berbanding pasaran biasa.

“Selain dari itu, kempen belilah barangan buatan Malaysia turut diadakan bagi mempromosikan produk-produk tempatan,” katanya.

Karnival yang sudah menjangkau tujuh tahun penganjurannya terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu karnival terbaik dilakukan TV3.

 

 

Pelbagai aktiviti dan acara menarik telah disusun sepanjang dua hari Karnival di Lumut ini. Pengunjung turut berpeluang beramah mesra dengan artis dan personaliti terkenal yang sudah memberikan pengesahan bagi menjayakan karnival diadakan.

Antara artis terbabit termasuklah Intan Ladyana, Fizz Fairuz, Wahid, Noor Hanis (Comel), Hafiz, Almy Nadia, Anita Baharom, Fezrul Khan, Ellyas Abdullah, Kanchana Dewi dan Shahaizy Sam.

Barisan personaliti TV3 yang turut turun padang antaranya Siti Hasffiza, Nurul Syuhada, Sasha Basir, Teh Syuhaida, Maria Tunku Sabri, Ally Iskandar, Aidid Marcello, Tabah Sazwan, Irin Putri Azmi, Ahmad Fedtri Yahya dan Azliyanti.

Karnival Jom Heboh di Lumut ini turut dijadualkan bakal mendapat kunjungan istimewa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang turut meninjau suasana di tapak Karnival Jom Heboh.

Turut dijadualkan hadir Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Abdul Mutalib Datuk Seri Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Farid Ridzuan.

Pastinya acara kemuncak dan dinanti-nantikan pengunjung adalah Konsert Jom Heboh, turut disiarkan secara langsung pada Ahad jam 9.00.

Pangkalan TLDM akan digegarkan dengan persembahan hebat daripada barisan artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Siti Saerah, Siti Saidah, Aizat, Misha Omar, Kumpulan Meet Uncle Hussein dan Jinbara.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro




© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid