Archive for the ‘One In A Million’ Category

Kongsi Pentas Rai Setiausaha

April 28, 2009




Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MINGGU Setiausaha yang disambut sepanjang bulan ini bukan saja dijayakan penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti yang mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Dan Pameran Matrade, Jalan Duta, 21 April lalu.

Malah minggu lalu juga dibanjiri beberapa lagi artis dari seberang menjayakannya di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 22 April.

Bukan sekadar empat penyanyi muda, Rio Febrian, Delon, Ello dan Irwansyah menjadi pilihan penganjur malah tiga pelakon, Samuel Rizal, Putra Ariffin serta Didi Riyadi.

Mereka digandingkan dengan penyanyi dan pelakon tanah air ketika acara permaidani merah menggayakan sut rekaan Lord’s Tailor bersama Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus.

Mereka juga berkongsi pentas secara duet bersama Jaclyn Victor, Siti Sarah dan Shila serta menjayakan sketsa bersama setiausaha. Betapa eratnya hubungan artis dua negara dalam satu majlis yang begitu meriah dapat disaksikan.

Walaupun setiap tetamu membayar RM290 dan RM350 setiap seorang untuk hidangan masakan Padang dan santapan mata bersama artis kacak serta terkenal, difahamkan, artis yang membuat persembahan pada hari itu tidak menerima bayaran.

Tujuh artis Indonesia yang datang dibayar dengan publisiti dan promosi sepanjang empat hari mereka berada di Kuala Lumpur. Banyaklah sesi fotografi dan pertemuan bersama media diatur penganjur dengan kerjasama syarikat rakaman Sony BMG Music dan Warner Music.

Untuk jejaka kacak yang melayan peminat di Grand Ballroom pula dibayar dengan sut Lord’s Tailor berharga RM3,500 hingga RM5,000 manakala penyanyi dibayar dengan peluang berkongsi pentas artis Malaysia dengan Indonesia.

Delon yang dicungkil bakatnya daripada program realiti Indonesian Idol 2004, berduet dengan bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor menerusi lagu popular Celine Dion dan Andrea Docelli, The Prayer; Siti Sarah duet dengan Ello (I Feel Good) manakala Irwansyah dengan Shila (One In A Million) melalui lagu duet Irwansyah dengan Acha Septriasa, My Heart. Delon juga muncul solo melalui lagu Adinda, Ello (Masih Ada) dan Irwansyah (Camelia).

Azharina Azhar pula berpeluang memperkenalkan dua single terbarunya, Rasa dan Rawan manakala Delon, Rio, Ello dan Irwansyah berpeluang bertemu wartawan Malaysia untuk promosi album terbaru mereka edaran Sony BMG Music dan Warner Music.

 

 

Untuk tiga pelakon Indonesia pula, mereka dibayar dengan publisiti dan peluang bertemu produser tanah air untuk mengintai peluang berlakon di negara ini. Bagi Samuel, nama dan wajahnya sudah dikenali peminat di sini menerusi lakonannya dalam Eifel…I’m In Love dan filem tempatan, Sayang You Can Dance, tetapi Putra Ariffin dan Didi agak asing di sini.

Jaclyn yang anggun dengan gaun merah koleksi peribadi rekaan Bill Keith juga berpeluang menyanyi dengan Rio Febrian. Petang itu juga menyaksikan pertemuan kali pertama Jaclyn dengan Rio di pentas besar seperti Minggu Setiausaha untuk lagu duet mereka, Ceritera Cinta yang dirakamkan pada 2006.

Jac berkata, sebelum ini mereka bertemu untuk rakaman klip video lagu itu manakala menyanyi bersama hanyalah untuk acara kecil anjuran majalah hiburan sebelum ini.

Katanya, masa rakaman lagu itu juga diadakan berasingan kemudian apabila lagu itu berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik kategori balada. Rio tidak dapat memberi kerjasama lalu tempatnya digantikan Lah VE.

“Tapi kami pernah bertemu menjayakan video klip lagu itu. Dia seorang yang peramah dan baik dan saya gembira dapat berkongsi pentas dengannya hari ini,” kata Jac.

Bagi Delon, kesempatan menjayakan Minggu Setiausaha dianggap peluang keemasan untuk berkenalan dengan masyarakat di sini sekali gus memperkenalkan album barunya, Perasaanku yang diedarkan di Malaysia penghujung bulan ini.

Selain duet dengan Jac, Delon atau nama sebenarnya, Alexander Liaw Dalon Thamrim, 31, menyampaikan lagu daripada album Perasaan, Adinda.

Katanya, Adinda istimewa kerana ia lagu lama Titiek Puspa yang dirakamkan semula dengan muzik baru yang lebih segar.

“Saya bangga dapat merakamkan semula lagu Titiek Puspa yang dianggap legenda di Indonesia. Gubahan muziknya dilakukan Tohpati supaya menjadi lebih enak didengar.

“Sebenarnya bukan mudah untuk saya mendapat izin merakamkan semula lagu itu, tetapi atas bantuan orang kuat Sony Music Indonesia, segalanya menjadi mudah. Saya juga bangga apabila Titiek Puspa memuji hasilnya.

“Untuk salam perkenalan di sini, saya pilih lagu ini kerana muziknya ada sentuhan Melayu. Saya juga sedar kurang dikenali di sini dan berharap kunjungan ini memberi pendedahan kepada semua.

“Sepanjang berada di sini, jadual harian saya padat dengan sesi bertemu wartawan. Malah saya berpeluang menghadiri majlis ulang tahun TV9 di Sunway Lagoon,” katanya.

Sementara itu Ello atau nama sebenarnya, Marcello Tahitoe baru saja melancarkan album keduanya, Realistis/Idealis di Indonesia Februari lalu dan untuk pasaran Malaysia sejak 24 Mac lalu. Rio Febrian mempertaruhkan album Aku Bertahan manakala Irwansyah album Soliter.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

Dengarnya… Suramnya Bintang RTM

April 28, 2009

Oleh Normah Becok

CIK Normah bukanlah berniat hendak menafikan kesungguhan RTM menganjurkan program berbentuk talentime seperti Bakat RTM (BRTM) yang sedang berlangsung sekarang.

Matlamat program itu memang bagus iaitu melahirkan bakat muda dalam bidang nyanyian. Malahan ia tidak berbeza dengan Akademi Fantasia (AF) di Astro Ria dan One In A Million (OIAM) di 8TV. Apa yang membezakan ialah cara persembahannya saja.

Pada Ahad lalu, atas cadangan kawan-kawan, Cik Normah menonton BRTM. Sebelum ini, memang Cik Normah sentiasa cuba meluangkan masa untuk menontonnya tetapi tidak berkesempatan.

Maklumlah hujung minggu selalunya Cik Normah ada macam-macam perkara yang hendak dibuat. Kalau ada masa memang Cik Normah nak juga tengok sendiri walaupun terpaksa memanjat bukit Angkasapuri yang boleh menjadikan tercungap-cungap dan berpeluh juga.

Cik Normah tidak boleh bias atau berat sebelah sebab sebelum ini diberitahu BRTM membosankan selagi belum menontonnya sendiri program itu.

Tapi sememangnya Cik Normah tak nafikan BRTM tidak jadi sebutan. Tidak mendapat perhatian macam program sepertinya di stesen TV lain. Bila Cik Normah tengok menerusi TV baru-baru, program itu nampak muram saja. Tiada daripada kebanyakan program hiburan lain terbitan RTM. Pencahayaan dan hiasan pentasnya juga nampak tak meriah.

Bagi Cik Normah, hiasan pentas dan pencahayaan penting sebab dari sinilah baru dapat membangkitkan suasana atau mood program ini.

Mungkin suasana itu berlainan kalau berada di Auditorium Angkasapuri, tapi BRTM disiarkan untuk ditonton menerusi TV.

Cik Normah rasa untuk menarik perhatian, bukan sekadar promosi dan publisiti saja, tetapi kemeriahan program itu sendiri juga penting. Bayangkan kalau kakitangan RTM sendiri pun macam kurang berminat untuk menonton BRTM, sebaliknya lebih mengikuti AF atau OIAM, apatah lagi dengan orang luar.

Buat masa ini, Cik Normah memang tidak kenal penerbit atau pengurus hiburan seperti mana mengenali orang yang sama di stesen TV lain untuk bertukar pendapat dan pandangan. Itulah yang menyebabkan program hiburan terbitan RTM kurang sikit berada dekat di hati.

Macam mana pun, Cik Normah haraplah supaya BRTM menjadi lebih baik bila masuk ke peringkat separuh akhir dan akhir nanti. RTM tidak boleh anggap Bintang RTM sekarang macam tahun 70-an hingga 90-an. Waktu itu memanglah BRTM jadi perhatian sebab tidak ada lagi atau tidak banyak program bercorak talentime diterbitkan.

Sekarang saluran TV sudah banyak dan mereka pun menerbitkan program seperti itu juga, malahan lebih baik dan menarik daripada RTM sendiri. Kalau BRTM asyik di takuk lama, kurang kreatif, susahlah!

Berita Harian

Penyeri Karpet Biru

April 27, 2009

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KARAKTER tiga pengacara popular, Sazzy Falak (Sazzy), Nazrudin Habibur Rahman (Naz) dan Awal Ashaari (Awal) mempunyai tiga persamaan – ceria, suka berceloteh dan mempunyai perwatakan gila-gila.

Justeru, gandingan mereka bertiga sebagai hos memang tepat untuk menyemarakkan lagi acara permaidani biru (Live From The Blue Carpet), Anugerah Industri Muzik yang ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini.

Acara permaidani biru ini akan disiarkan secara langsung menerusi Saluran Ceria Anda, ntv7 selama setengah jam bermula jam 8.30 malam.

Dalam sesi fotografi bersama Rap yang diatur ntv7 di Sri Pentas, Jumaat lalu, keserasian tiga pengacara berbakat besar ini, Sazzy, Naz dan Awal begitu terserlah.

Malah, sesi fotografi eksklusif yang bermula sejak jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang juga tidak membosankan dengan telatah Sazzy, Naz dan Awal yang masing-masing begitu mencuit hati dan menceriakan suasana.

Lebih menarik, mereka bertiga sempat bergaya dan bergambar bersama kereta mewah Bufori yang berharga setengah juta ringgit dan bakal menjadi kenderaan yang membawa mereka bertiga berarak ke acara permaidani biru itu nanti.

Menjadi bunga yang diapit dua kumbang, sudah pasti penampilan Sazzy paling mencuri tumpuan pada acara permaidani biru itu nanti.

“Saya memang menanti peluang untuk terbabit dalam acara berprestij seperti AIM16. Maklumlah, saya sudah lama tidak buat acara permaidani merah. Kali terakhir, saya menjadi hos permaidani merah sempena Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) pada 2007,” katanya.

Selain KLIFF, Sazzy pernah menjadi hos permaidani merah sempena seperti Anugerah Era (2004/06) dan Festival Filem Malaysia (2005/06).

Sekalipun berpengalaman sebagai hos acara permaidani merah, Sazzy masih bimbang untuk menjadi hos permaidani merah sempena AIM16.

 

 

“Siapa yang tidak bimbang kerana ini kali pertama saya menjadi hos permaidani merah untuk AIM16. Justeru, saya meminta tip daripada suami, Nazril Idrus yang pernah menjadi hos permaidani merah pada AIM 2007. “Saya juga banyak membuat kajian mengenai perkembangan terkini artis yang dicalonkan termasuk perkembangan industri seni tanah air sekarang.

“Saya juga mendapat tip daripada program Live From The Red Carpet menampilkan gandingan hos Ryan Seacrest dan Juliana yang disiarkan menerusi saluran hiburan E! Entertainment Televisyen (Astro 712),” katanya.

Apapun, kata Sazzy, dia lega apabila digandingkan dengan dua pengacara berpengalaman seperti Naz dan Awal.

“Awal berpengalaman luas sebagai hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij termasuk AIM dan Naz pula cukup berpengalaman sebagai pengacara dalam program yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

“Saya berasa lebih mudah bekerja dengan pengacara yang bagus kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan di pentas nanti. Pada masa sama, kami akan bersaing antara satu sama lain untuk memberikan yang terbaik pada acara itu nanti.

“Saya juga pernah bekerja dengan hos yang tidak berpengalaman dan terpaksa menutup banyak kelemahannya bagi memastikan acara itu tidak membosankan penonton,” katanya.

Bagi Naz, peluang julung kalinya menjadi hos permaidani biru sempena AIM16 begitu bermakna buat dirinya.

“Ini kali pertama saya diberi tugas sebagai hos acara hiburan berprestij seperti AIM16.

Sebelum ini, saya pernah hadir ke AIM untuk memberi semangat kepada kawan rapat sejak di bangku sekolah, Damian (VE) yang menang anugerah dalam AIM untuk lagu Anak Ayam.

“Justeru, apabila diberi peluang menjadi hos pula, saya sangat teruja untuk memberikan yang terbaik pada acara ini nanti,” katanya.

Naz yang dikenali menerusi program The Breakfast Show (ntv7) pernah bergandingan dengan pelakon Nur Fazura sebagai hos Anugerah Skrin TV3 berkata, ini kali pertama dia bergandingan dengan Sazzy dan Awal dalam acara hiburan berprestij seperti AIM16.

“Sazzy dan Awal memang tidak asing dalam acara permaidani merah. Justeru, saya akan meminta tunjuk ajar daripada mereka berdua nanti.

“Kami juga diberikan tugas sama rata saja dan tidak timbul isu, Sazzy dan Awal membayangi saya atau sebaliknya,” katanya.

Naz berkata, mereka juga tidak mempunyai skrip yang khusus kerana semuanya akan dilakukan secara spontan saja.

“Apapun persediaan tetap dibuat membabitkan senarai pencalonan artis dan komposer yang bertanding kali ini. Kami juga diberi peluang menemu bual VIP yang diundang, calon yang bertanding, calon komposer dan ramalan siapa yang menang kali ini serta pereka fesyen terbabit.

“Bagi memastikan acara ini berjalan lancar, kami bertiga akan duduk berbincang untuk bertukar fikiran sebelum majlis anugerah berlangsung nanti,” katanya.

Berbanding Naz dan Sazzy, ini kali kedua Awal diberi peluang menjadi hos untuk AIM. Tahun lalu, Awal bergandingan dengan penyampai Hot FM, Tini sebagai hos permaidani merah AIM15.

“Saya pernah bergandingan dengan Sazzy ketika acara permaidani merah, Anugerah Era sebelum ini dan Naz pula baru kali pertama.

“Sekalipun baru kali pertama bergandingan, saya tidak bimbang kerana Naz sangat profesional ketika bekerja. Naz juga pengacara berpengalaman dan dia juga sudah lama berkecimpung dalam bidang pengacaraan,” katanya.

.Awal berkata, dia memang menanti peluang untuk terbabit dalam AIM16.

“Saya sudah 10 kali menjadi hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij dalam industri hiburan tanah air.

“Justeru, apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi hos buat kali kedua, saya pastikan prestasi saya lebih baik berbanding dulu,” katanya.

Mengenai kombinasi mereka bertiga, Awal berkata, ia menampilkan kelainan dan variasi dalam acara AIM16.

“Anugerah Era juga menampilkan gabungan empat artis sebagai hos acara permaidani merah sebelum ini.

“Acara ini tidak terlalu rasmi dan kami juga menemu bual artis mengikut situasi majlis ketika itu. Apa yang boleh kami janjikan pada peminat, ia adalah malam menyeronokkan buat semua orang. Ia bukan saja meriah tapi penuh dengan informasi buat penonton,” katanya.

>Profil

NAMA: Sazzy Falak

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1980

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Nazril Idrus

KERJAYA: Pengacara, pelakon dan ahli perniagaan syarikat Sinclair Falak Sdn Bhd.

PROGRAM: Beat TV, Ria Sentral

ANTARA DRAMA: Doa Kamalia, Goda, Kami, Gol & Gincu, Kerana Karina (drama

online)

ANTARA FILEM: Gol & Gincu, Jin Notti

>Profil

NAMA: Nazrudin Habibur Rahman

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 9 November 1978

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sheahnee Iman Lee

KERJAYA: Pengacara dan pelakon

PROGRAM: The Breakfast Show (ntv7), My Aussie Adventure dan Celebrity Karaoke

ANTARA DRAMA: Ghost musim pertama dan kedua.

Profil

NAMA PENUH: Ahmad Awaluddin Ashaari

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1981

KERJAYA: Pelakon, pengacara, model dan ahli perniagaan (pemilik Butik fesyen online DNA celebrityStyle bersama Dynas Mokhtar)

PROGRAM: Beat TV, Teh Tarik & Cabaran Tariking F&N 2006, Sensasi, One In A Million, Sehati Berdansa dan Generasi Y (TV1)

FILEM: Diva, Diva Popular, Impak Maksima, Malaikat Maut, Apa Kata

Hati, I’m Not Single dan Syurga Cinta.

DRAMA: Drama: Cinta Medik, Impak Maksima The Series & A Time For Us (usaha sama Malaysia – Filipina)

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro




© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid