‘Saya Bukan Punca Aril Tersingkir’

April 30, 2009




Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


RAMAI meramalkan Aril bakal ke konsert akhir, malangnya dia tersingkir pada minggu ke-7.

Marsha tolak dakwaan jadi boneka ciptaan Astro apabila terima undangan sebagai pembantu residen AF

KECOH seketika apabila peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Aril tersingkir pada konsert minggu lalu. Ramai tidak menyangka adik kepada Izwan Pilus itu harus melangkah pergi meninggalkan akademi biarpun memberikan persembahan hebat menerusi lagu Nakal nyanyian kumpulan Dewa.

Pelbagai spekulasi timbul punca penyingkiran jejaka bernama Khairil Azam Pilus ini termasuk dikatakan bersikap ‘poyo’ (perasaan bagus). Tetapi paling kecoh apabila nama bekas peserta AF, Marsha Milan Londoh dikatakan sebagai punca penyingkiran itu.

Siapa sangka bintang jelita yang turut melakar nama daripada pertandingan realiti yang sama itu menjadi panas gara-gara memenuhi undangan produksi pihak Astro menggalas tugas sebagai pembantu residen kepada pelajar perempuan AF7.

Bagaimanapun bekas teman rapat Kefli itu yang dihubungi Hip baru-baru ini untuk mendapatkan kenyataan mengenai isu ini tidak mudah melatah.

Gadis jelita itu tidak menganggap kehadirannya selama seminggu di akademi itu sebagai boneka yang dicipta Astro, malahan undangan yang diterima itu dilakukan atas dasar profesionalisme.


Marsha Milan Londoh

Katanya lagi, dirinya tidak patut dijadikan sebab mengapa Aril tersingkir biarpun jejaka itu disebut antara calon kegemaran yang bakal ke peringkat akhir.

“Saya bukan punca Aril tersingkir. Saya sendiri terkedu dan menangis seketika saat nama Aril disebut sebagai pelajar yang tersingkir. Berdasarkan sepanjang minggu berada di akademi, saya sendiri berasa dia tidak patut tersingkir lebih awal kerana prestasi yang ditunjukkannya cukup baik.

“Bagaimanapun saya tidak boleh berkata apa-apa kalau orang terus menuduh saya sebagai punca dia tersingkir. Kenapa sepanjang minggu berada di dalam akademi dan disiarkan menerusi diari, peratusan Aril naik mencanak? Apa yang saya dapat rumuskan mungkin pengundi dan peminatnya menganggap dia sudah selamat dan berada di zon selesa hingga terlupa untuk mengundinya. Dia hanya mangsa keadaan.

“Saya tidak beranggapan kehadiran saya ke akademi seperti diperalatkan kerana tujuan ke sana sekadar membantu dan berkongsi pengalaman yang ada dengan pelajar AF7. Mengenai babak yang menunjukkan hanya saya dan Aril di dalam diari itu mungkin ada yang tahu ia adalah di luar bidang kuasa saya kerana pihak produksi yang melakukan suntingan untuk menyiarkan apa klip sekalipun sebagai gimik,” katanya sambil menjelaskan hakikat dan situasi sebenar yang berlaku di akademi mungkin tidak diketahui sepenuhnya peminat program realiti itu.

Apa juga hentaman dan cercaan yang singgah ke hatinya selepas muncul di akademi, peluang berada di situ ibarat kenangan terindah yang kembali segar dalam ingatannya. Ironinya, Marsha juga pernah berada di dalam situasi yang sama ketika menyertai AF musim ketiga.

Ditanya mengenai Aril yang dikatakan bersikap ‘poyo’, gadis Tamparuli Sabah ini pada mulanya turut menyangkakan hal yang sama. Namun selepas seminggu berada di dalam akademi, ternyata tanggapannya terhadap Aril mula terhakis.

“Saya gembira dan bertuah kerana diundang ke akademi biarpun saya tahu ada yang mempersoalkan layakkah saya dipanggil sebagai pembantu residen. Saya percaya setiap inci perkara mesti ada baik dan buruknya. Terpulanglah kepada orang yang nak menilai kerana saya tidak boleh memuaskan hati semua orang.

“Biarpun seminggu berada di sana, hubungan saya dengan pelajar ibarat sebagai sebuah keluarga yang rapat. Mereka pun bagus dan saya tahu bagaimana perasaan berada terasing daripada keluarga kerana saya sudah melalui perkara yang sama. Mungkin juga kehadiran saya sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga,” katanya.

Berita Harian

Penghormatan Besar

April 29, 2009

BUKAN kemenangan yang dikejar namun penghormatan yang diberikan AIM16 untuk memperkenalkan muzik mereka pada acara kemuncak nanti membuatkan Goldkartz begitu berbangga menjadi sebahagian daripada anugerah muzik berprestij itu.

Penghormatan yang diberikan untuk menjayakan satu segmen khas persembahan pada malam kemuncak AIM16 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini membuatkan mereka terharu.

“Ia permulaan yang baik kerana mencerminkan kepelbagaian budaya serta genre muzik yang melatari industri hiburan di negara ini,” kata Manjit Singh Gill atau M-Ji ketika ditemui, baru-baru ini.

Menubuhkan Goldkartz bersama adiknya, Sukhjit Singh Gill atau Surj, M-Ji berkata, mereka terharu kerana acara berprestij itu turut mengiktiraf muzik yang diperjuangkan iaitu urban banghra apabila ciptaan mereka membolosi Lagu India Tempatan Terbaik.

Tambahnya lagi, pengiktirafan itu secara tidak langsung membayar segala penat lelah mereka selama tiga tahun untuk menyiapkan pembikinan album Loaded.

Kelahiran Loaded, bagi M-Ji cukup unik kerana ia membawakan dimensi baru yang lebih segar dalam muzik Asia. Malah usaha mereka mencipta sejarah tersendiri apabila usaha mereka diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai album bhangra tempatan pertama diterbitkan di negara ini.

“Pengiktirafan AIM16 membuatkan kami terharu kerana ia mengangkat prestij irama urban bhangra dalam satu acara yang gemilang kepada penggiat industri muzik,” katanya.

Loaded yang mempertaruhkan gabungan muzik bhangra dan urban serta mendapat sedikit sentuhan hip hop, R&B, selain elektronik house, trance, dram dan bass juga membuka laluan bermakna buat Goldkartz.

Lagu sentuhan mereka, Tu Khendi Seh yang dihasilkan bersama penulis lirik, Arivinder Raina turut tercalon dalam kategori Lagu India Elemen majmuk yang ditonjolkan menerusi penulisan lirik yang menggabungkan bahasa Inggeris, Melayu, Tamil dan Punjabi menjadikan Loaded begitu istimewa.

“Sambutan diterima cukup positif, bukan saja di negara ini malah di luar negara. Ketika ini kami sedang berbincang untuk memasarkan Loaded di United Kingdom, Amerika Syarikat dan India,” katanya.

Selain Goldkartz, AIM16 juga diserikan dengan persembahan Chakrasonic dan Man Jiang Hong selain penyanyi yang sinonim dengan industri hiburan Melayu seperti Faizal Tahir, Hujan, Joe Flizzow, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, M Nasir, Datuk Sheila Majid dan artis Indonesia, Rossa.

Penantian panjang berakhir

TUJUH tahun melayari bakat dalam industri muzik membuatkan Chakrasonic sentiasa menanti peluang untuk beraksi dalam acara muzik berprestij seperti AIM16.

Penantian panjang trio ini untuk beraksi pada acara hiburan berprestij itu berakhir apabila diberi penghormatan menjayakan segmen persembahan bersama Goldkartz dan Man Jiang Hong nanti.

“Penghormatan yang diberikan membuatkan kami berasa seperti akan mengadakan persembahan untuk Anugerah Grammy,” kata Viveck yang begitu terharu kerana penantian panjang mereka berakhir pada AIM16.

Melihat acara itu sebagai satu pengiktirafan besar terutama untuk pemuzik bukan Melayu seperti mereka, Chakrasonic yang sudah merakamkan empat album juga mencipta sejarah mereka tersendiri.

“Kami ialah kumpulan hip hop pertama yang merakamkan lagu Tamil, malah mempunyai kelompok peminat sendiri termasuk penggemar Melayu membuatkan kami turut merakamkan lagu dalam bahasa itu.

“Antara lagu Melayu yang pernah kami rakamkan adalah Ulik Mayang dan Sang Puteri serta terbaru, Lagu Hebat cuma malangnya ia agak jarang dimainkan berbanding dua lagu terdahulu,” katanya.

AIM16 juga menghadiahkan kejutan kepada Chakrasonic apabila album mereka, Veera Puranam membolosi senarai finalis Album India Tempatan Terbaik.

“Pencalonan ini umpama durian runtuh buat kami kerana daripada lima penyertaan yang dihantar, album itu membolosi kategori Album India Tempatan Terbaik. Ia agak mengejutkan,” katanya.

Menyentuh mengenai persembahan pada malam AIM16, Chakrasonic yang turut dianggotai Jack dan J Brawl cuba menyajikan sesuatu yang menghiburkan dan mampu membuat penonton terpaku dengan kemunculan mereka.

“Kami percaya kepada kualiti persembahan dan untuk tujuan itu, kami akan merombak susunan muzik supaya khalayak dapat berhibur dengan lagu yang dibawakan,” katanya.

Berita Harian

Pencarian Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008 Bermula

April 29, 2009

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my


ANTARA pereka yang merebut gelaran Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008

REKAAN pereka muda Sya Syaharani dan Hatta Dolmat, pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008) lalu, diangkat sebagai busana paling glamor. Adakah ini bererti Anugerah Pereka Fesyen Popular turut dibolot dua nama yang semakin meningkat naik ini?

Kemenangan sentuhan pereka itu dipilih Pengarang Life & Times, the New straits Times Press, Suraya Al-Attas; Pengarang Wanita Berita Harian, Fadzlena Jafar; Pengarang XY (sisipan Berita Harian), Shamsul Azree Samsir dan Pengarang Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim pada malam anugerah berlangsung 12 April lalu.

Juri melihat selebriti yang menggayakan busana itu iaitu Zizie Ezette yang menggayakan busana rekaan Sya Syaharani sebagai busana paling glam untuk kategori wanita dan penyanyi baru Iz OIAM yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat untuk kategori lelaki, sebagai kreatif, berbeza dan menepati tema, sentuhan tenun.

Setuju atau sebaliknya, pembaca berhak menentukan populariti pereka melalui undi sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada pembaca akhbar Berita Harian/Berita Minggu yang berdaftar sebagai R@kanBH. Seramai 24 pereka bertanding dan rekaan itu diperagakan 58 selebriti popular tanah air yang hadir pada malam anugerah itu.

Bagi membantu pembaca membuat pilihan, mereka boleh melayari lama web www.bharian.com.my yang memaparkan gambar selebriti yang memperagakan rekaan pereka bertanding.

Pertandingan bermula dari 24 April 2009 hingga 31 Mei 2009 dan pemenang akan diumumkan pada satu majlis yang akan diberitahu kelak.

Pereka yang menang bakal membawa pulang barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre dan sebuah trofi setiap seorang sumbangan Berita Harian.

Sementara selebriti lelaki dan wanita yang memperagakan rekaan yang menang menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 setiap seorang. Seramai 20 pembaca bertuah yang membuat undian paling tinggi pula menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM1,000 setiap seorang.

Tahun lalu, Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2007 kategori selebriti lelaki dimenangi oleh Kenny Loh dan Micheal Shu untuk pakaian yang diperagakan oleh Mawi, pemenang Bintang Paling Popular ABPBH2007. Untuk kategori selebriti wanita, pemenang adalah Julia Ziegler yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat.

Berita Harian









© 2010 - LoveNotePress.Com - Powered by WordPress - Designed by XHTML Valid